Saturday, September 10, 2011

Gaya gila-gila

SERENA WILLIAMS
SERENA WILLIAMS

SEBELUM dia menjadi tajuk berita kerana menarik diri daripada Terbuka Amerika Syarikat 2011 disebabkan gangguan autoimun, Venus Williams mencuri tumpuan dengan menyarung pakaian yang dihiasi renda.

Dua belas tahun lalu, Madison Keys menyertai sukan tenis dan minggu lalu, pemain berusia 16 tahun itu menarik perhatian pemerhati tenis apabila mara ke pusingan kedua, mungkin memberi bayangan mengenai masa depan pemain tenis AS dengan servis dan pukulan lantun yang bertenaga.

  • Foto

    BETHANIE MATTEK-SANDS

  • Foto

    VENUS WILLIAMS

  • Foto

    MARIA SHARAPOVA

Kisah bagaimana Madison mula bergiat dalam sukan itu bukan lagi rahsia kepada peminat tenis.

“Ketika itu saya berusia empat tahun dan masuk ke bilik ibu bapa saya. Saya fikir ketika itu mereka sedang menonton Wimbledon dan saya mahu memakai pakaian seperti Venus,” katanya.


“Mereka memberitahu jika saya bermain tenis, mereka akan membelikan saya baju tenis. Saya katakan, ‘Baiklah, saya akan cuba’ dan sejak itu saya terus bermain tenis.”


Moral kisah itu?

“Saya fikir ia menunjukkan betapa pentingnya kuasa pakaian,” kata Madison.

Seorang lagi pemain muda yang turut mencuri perhatian minggu lalu adalah Sloane Stephens, 18 yang mara ke pusingan ketiga.

“Apa yang saya paling suka mengenai Venus?” kata Sloane.

“Dia cantik. Saya suka dengan kesanggupannya mengambil risiko dengan pakaiannya itu. Ia bukan sesuatu yang sering dilakukan kebanyakan pemain, jadi ia adalah satu langkah ke hadapan.”

Daripada semua sukan yang tidak memberi mata kepada gaya berpakaian, adakah mana-masa sukan yang turut memberi perhatian kepada pakaian selain tenis?

Ia berkait dengan unsur praktikal dan kebudayaan. Tenis adalah sukan individu, bebas daripada belenggu pakaian seragam. Sifat persaingan satu lawan satu menggalakkan pemain memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk menonjolkan diri.

Tanyalah mana-mana pemain. Selain kesan fizikal, tenis turut memberi kesan psikologi. Pemenang perlu menyerlahkan penampilannya dan cuba menguasai lawan.

Pakaian tidak menentukan keunggulan pemain tetapi daripada pinafor yang digayakan Tracy Austin kepada catsuit yang dipakai Serena Williams, mereka menjelaskan perwatakan seseorang pemain itu.

Dalam era wang lumayan, peningkatan rating dan kehebatan stadium, pakaian mampu menjalinkan hubungan dengan penyokong atau sebaliknya.

“Saya sedang menonton perlawanan. Dua pemain wanita berpakaian sama dari hujung rambut hingga ke kaki, kedua-duanya berambut perang dengan ikatan ekor kuda hingga anda tidak boleh membezakan kedua-duanya,” kata Bethanie Mattek-Sands, pemain AS yang menarik perhatian dengan gaya keterlaluan berbanding permainan tenisnya.

“Saya terfikir, perkara itu tidak akan berlaku kepada saya dan setakat ini belum lagi.”

Pada Terbuka AS tahun ini, Bethanie turun ke gelanggang dengan stokin paras lutut bercorak jalur dan bintang dengan jalur mata (eye black) bercorak bintang dan jalur dan memakai baju tanpa sebelah lengan.

Dia juga mempunyai sentuhan tersendiri dalam penggunaan jalur mata yang dipinjamnya daripada suaminya, pemain American football dan kini Bethanie mempunyai rangkaian jalur mata bercorak harimau bintang.

“Tenis adalah sesuatu yang hebat di mana kami bebas memilih apa yang mahu dipakai, baik konservatif atau klasik, punk atau apa saja,” katanya.

“Tenis sering dikaitkan dengan sesuatu yang konservatif dan seragam tetapi saya suka melawan arus dan itulah yang saya bawa ke gelanggang.”

Tidak ramai pemain sanggup melakukan seperti Bethanie tetapi ramai di kalangan pemain ternama mencari pengaruh luar untuk mencipta gaya berbeza dan mengumumkan kehadiran mereka ke gelanggang.

Selain catsuit, Serena juga pernah menyarung skirt denim dan but separas lutut untuk Nike. Dia menggunakan tema pelakon dalam pakaiannya tahun ini. Baju merah jambu yang sepatutnya dipakai sewaktu Terbuka Perancis direka dengan gaya Brigitte Bardot.

Begitu juga dengan kakaknya, Venus yang lebih menarik perhatian dengan gayanya sebelum mengumumkan menarik diri kerana gangguan autoimun yang menjejaskan permainannya.

Venus yang menyarung jenama pakaiannya, EleVen memberikan kebebasan bereksperimen dengan pakaian berenda dan seluar dalam dengan warna kulit, malah turut mencipta gaya bukan konvensional sejak beberapa tahun lalu.

Maria Sharapova turut menggayakan pakaian Nike termasuk gaya yang diilhamkan Audrey Hepburn di Terbuka AS dan gaya tuxedo dan angsa di Wimbledon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: