|
| PELAKON jelita ini kini semakin bahagia menjalani hidup sebagai seorang isteri dan ibu. |
TAHUN ini merupakan tahun kedua wanita ini menyambut lebaran dalam suasana yang berbeza seputar hidupnya kini.
Itu yang dituturkan oleh
pelakon popular, Siti Shahrizah Saifuddinm, 39, atau Eja saat Pancaindera berpeluang menjejakkan kaki ke kediamannya di Bukit Kiara, Selagor, baru-baru ini.
Kalau 10 tahun lalu, dia cuma menyambutnya dengan suami tercinta, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 51.
Namun situasi itu berubah selepas hadirnya Nur Eishal, 2, dalam hidup mereka. Puteri tunggal itulah yang menjadi penglipurlara menghiasi hari-hari mereka saat ini.
Kata Eja, sejak tahun lalu, sambutan hari raya dia dan suami tidak terhad kepada kaum keluarga semata-mata.
Baginya, saat gembira apatah lagi di hari dimana umat Islam meraikan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa itu harus dikongsi bersama masyarakat.
Kerana itu, anak kelahiran Kuala Kubu, Selangor ini mahu meraikannya dengan penuh keberkatan apatah lagi Syawal tahun ini disifatkannya sangat istimewa berbanding tahun lepas.
Kata Eja, lebaran keempat merupakan hari lahir puteri kecilnya itu. Sebagaimana tahun sebelumnya, sambutan hari lahir Nur Eishal diraikan bersama anak-anak yatim.
“Semasa Eishal berusia setahun, saya dan suami meraikan hari lahirnya bersama anak-anak yatim.
“Bukan apa, Eishal pun tak ada adik, jadi kami rasa untuk merasai kemeriahan, tak salah kalau kami meraikannya bersama golongan susah apalagi anak-anak yatim.
“Eja rasa tahun ini lebih istimewa sebab Eishal dapat menyambut hari lahir dan berhari raya sekali bersama mereka, meriah sikit, ” katanya.
Lanjut bercerita mengenai sambutan Aidilfitri, pelakon drama Durja Ningsun ini memberitahu sebagaimana lazimnya saban tahun, pulang ke kampung halaman adalah merupakan satu kewajipan.
Hari raya pertama kata Eja, ketiga-tiga mereka biasanya telah pulang ke rumah ibunya di Puchong dan menziarahi kubur arwah ayahnya di Petaling Jaya, Selangor.
Kemudian, kata Eja, dia sekeluarga akan pulang ke Ipoh, Perak, untuk berhari raya bersama keluarga di sebelah suaminya pula selama beberapa hari.
Main mercun
Kalau dikenang zaman ketika dirinya masih kanak-kanak, kata Eja, persepsi meriahnya raya baginya ketika itu tentulah perlu adanya bunga api dan mercun.
Kata Eja, kalau tak ada bunga api, hari rayanya seolah-olah suram dan hambar.
Sekarang, bermain mercun mungkin tidak boleh terlalu ekstrem seperti di zaman dahulu.
Pun begitu, demi mahu mencipta kemeriahan suasana hari raya, dia dan suami tidak pernah gagal untuk membeli bunga api dan mercun setiap tahun.
“Suami saya memang suka membelikan anak-anak buahnya bunga api dan mercun setiap kali menjelang raya.
“Pada kami, kalau tak ada benda-benda ini, macam tak seronok. Budak-budak pun seronok dapat bermain bersama bukan?
“Tapi bila Eishal hadir dalam hidup kami, keterujaan untuk membeli bunga api itu semakin kuat sebab dia boleh bermain bersama sepupu-sepupunya yang lain.
“Tapi itu tak bermakna kita tak pantau. Mesti kena ada orang dewasa semasa mereka bermain sama. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga,” ujarnya.
Eishal murah rezeki
Selain bunga api, pemberian duit raya juga merupakan acara wajib yang akan berlangsung setiap kali Syawal menjelma.
Eja dan suami juga tidak ketinggalan memberi duit raya kepada anak-anak buah mereka.
Cuma, menurut wanita berbintang Capricorn ini, sejak tahun lepas, mereka pula yang banyak menerima duit raya daripada saudara-mara lain.
“Saya dan suami tak pernah lupa untuk beri duit raya pada anak-anak buah. Iyalah, sebab kami berdua saja yang belum punya anak ketika itu.
“Tapi tahun lepas, kami pula yang dapat duit raya. Duit raya untuk Eishal lah.
“Bila kira-kira balik, cecah ribu jugalah duit raya Eishal pada tahun lepas. Kaya betul dia, murah rezeki. Tahun ini tak tahulah pula bagaimana.
“Tapi kesemua duit raya tu saya tak gunakan. Sebaliknya disimpan dalam bank sebagai jaminan masa depan dia,” katanya dalam santun.
Puteri Seputeh Qaseh
Kalau hendak tahu, bukan mudah mengendalikan sesi fotografi bersama anak-anak kecil.
Namun, Pancaindera cukup bertuah kerana Eishal tidak banyak kerenahnya. Malah jelas, dia cukup seronok saat lensa kamera dihala kepadanya.
Macam-macam gaya diberikan. Tapi apa yang boleh dikatakan, dia lebih suka buat gaya ‘bebas’.
Terdetik di hati, “wah...Eishal kecil-kecil lagi sudah pandai mengikut jejak langkah ibunya!”
Melanjutkan bicara mengenai keletah puteri kesayangannya itu saat dia semakin menginjak membesar, kata Eja, di sebalik karakternya yang periang, Eishal sebenarnya merupakan anak yang sensitif.
Kata Eja, pantang ditegur sedikit walau dengan suara yang lembut, air mata si kecil itu lekas meruntun bagai dicarik-carik hatinya.
“Betul, pernah saja terjadi bila saya tegur dia, air mata keluar menitik. Yang ajaibnya, dia tidak menangis seperti anak-anak kecil lain.
“Bila ditegur, anak matanya mulalah bergenang, tapi sedikit pun tidak keluar suara. Begitu sekali.
“Itulah yang saya fikir, Eishal ini jiwanya sensitif. kecil-kecil lagi sudah pandai bermain emosi dalaman.
“Agaknya sebab saya selalu berlakon watak sedih-sedih kot? Macam drama Seputeh Qaseh pula,” katanya dalam canda.
Dalam pada itu, di kesempatan yang sama, Eja dalam kerendahan hati menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua peminat dan mereka-mereka yang sering bekerjasama dengannya sempena Syawal yang mulia ini.
“Kadang-kadang kita ada buat salah dengan orang tapi kita tak sedar dan kemudian menyebabkan individu itu terasa.
“Jadi, saya nak mohon maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki kepada semua di kesempatan ini. Selamat Hari Raya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: