Saturday, September 10, 2011

Ciptaan Kassim Masdor diminati


KASSIM Masdor masih kelihatan segak pada usia 73 tahun.


Ramai yang tahu lagu-lagu tersebut dendangan Allahyarham Fazidah Joned, Sanisah Huri dan Allahyarham Datin Rafeah Buang, namun tidak ada yang ambil kisah dengan pencipta lagu tersebut.

Pencipta asal lagu-lagu raya klasik yang tidak jemu didengar hingga hari ini adalah Kassim Masdor yang kini berusia 73 tahun.

Menurut komposer yang berasal dari Singapura itu, lagu-lagu raya itu masih diminati hingga kini kerana seni kata dan melodinya sesuai dengan suasana.

"Bila lagu dan liriknya serasi dengan suasana, barulah pendengar dapat merasai keindahan lagu tersebut, sekali gus dekat di hati," jelasnya.

Komposer yang mula mencipta lagu pada usia 16 tahun dengan lagu Sapu Tangan Tanda Mata, dendangan Allahyarham Puan Sri Saloma itu berkata, dia tidak kisah jika lagu-lagu ciptaannya dirakam semula oleh generasi muda.

Katanya, jika ramai yang merakam semula, itu tandanya lagu ciptaannya mendapat tempat di hati pendengar.

Bagaimanapun Kassim amat terkilan jika ada penyanyi yang merakam semula lagu ciptaannya dengan menggubah melodi asal.

"Saya seronok kalau orang menyanyi semula lagu ciptaan saya tetapi janganlah sampai merosakkan irama asal. Saya tidak kisah kalau penyanyi itu menyanyi ikut gaya sendiri tanpa perlu meniru gaya penyanyi asal," pintanya.

Menurut Kassim, setiap kali Syawal menjelang, dia hanya beraya bersama lima orang anak dan cucu-cucunya sahaja.

Dia yang menduda sejak 38 tahun lalu, berkata, hidupnya tidak pernah sunyi dan tidak terlintas untuk berumah tangga lagi kerana sentiasa dikelilingi cucu dan pelbagai kegiatan.

Malah dalam usia sekarang, dia masih diberi tanggungjawab menjadi tenaga pengajar vokal di sebuah kolej swasta di Singapura.

"Saya mengajar para pelajar yang berusia antara 14 hingga 25 tahun yang dipilih daripada uji bakat. Dalam seminggu, saya mengajar selama tiga jam di kelas dan perseorangan.

"Para pelajar ini mesti ada asas seni, barulah boleh mengikuti kelas bimbingan vokal saya ini. Bila tamat belajar dalam tempoh dua bulan, mereka akan diberi sijil," katanya yang masih lagi bermain piano jika diundang mengadakan persembahan.

Teman baik P. Ramlee

Kassim yang merupakan salah seorang perintis anggota kumpulan popular Pancha Sitara yang ditubuhkan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berkata, dia banyak belajar daripada Seniman Agong itu.

Ketika ditemui di Saloma Bistro, Jalan Ampang dalam satu majlis berbuka puasa baru-baru ini, komposer itu sempat berkongsi cerita lucunya bersama P.Ramlee.

Kata Kassim, P.Ramlee kalau marah matanya sepet dan ketika penggambaran filem Panca Delima, mood seniman itu tidak begitu baik menyebabkan semua pelakon dan krew diam.

"P.Ramlee kalau marah semua orang akan diam. Nak jadi cerita, sewaktu shooting filem Panca Delima, Udo Omar kena berlakon dengan ular sawa.

"Disebabkan takut dengan P.Ramlee yang sedang marah, dialognya bertukar. Udo sepatutnya sebut "wahai ular, janganlah makan aku" tapi tertukar jadi "wahai aku, janganlah makan ular".

Katanya, daripada kejadian itulah, tercipta dialog "Ani angkat kain hujan, jemuran dah turun" dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Kassim yang sering dilantik sebagai penjaga konti oleh P.Ramlee setiap kali mengarah filem berkata, selain dirinya, S.Sudarmaji, Mustafa Yassin dan Yusoff B adalah di antara mereka yang rapat dengan P.Ramlee.

Menurutnya, setiap seorang daripada mereka ada tugasan masing-masing dan kebolehan mereka itu memudahkan kerja-kerja P.Ramlee.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: