Sunday, September 18, 2011

Berkongsi dengan ikan


Intan Ladyana


DI awal kemunculannya, Intan Ladyana kurang yakin terhadap kemampuannya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan aktres-aktres yang terlebih dahulu bertapak dalam industri hiburan tempatan. Keraguan itu masih bersarang walaupun dia sudah terlibat dalam pelbagai filem mahu dan drama bersiri.

Namun usai kemunculannya dalam filem Flat 3A yang menuntut dia bermain dengan pelbagai ekspresi dan emosi, umum sudah nampak sinar yang datang dari dalam dirinya.

Dia sudah mengeluarkan sisi-sisi bakat dirinya. Malah ramai yang memuji kebolehan dia bermain karakter dan perasaan melalui filem arahan Azhari Zain tersebut.

“Alhamdulillah dengan sambutan khalayak terhadap kemunculan saya dalam filem tersebut. Selepas ini saya akan lebih selektif dalam memilih karakter dan filem. Saya juga mahukan kepelbagaian,” ujar Intan Ladyana yang terpaksa menolak menghadiri jemputan rumah terbuka sepanjang Syawal ini gara-gara masalah kesihatan.

Belajar ‘bergaduh’ dan aksi sebagai salah satu langkah melengkapkan variasi kemahiran sebagai aktres, Intan mengaku ada kesukaran sewaktu membawakan watak Rania dalam filem Bini-biniku Gangster yang akan ditayangkan pada 22 September ini.

“Saya membawakan watak isteri kedua kepada Shaheizy Sam yang mempunyai grup gangster sendiri. Sebanyak 90 peratus aksi ngeri saya lakukannya sendiri. Banyak pergerakan yang saya pelajari dan sekarang ini sudah pandai nak bergaduh,” katanya di hujung corong telefon.

Terbaru untuk tontonan khalayak kaca televisyen, Intan yang merupakan kekasih aktor Kamal Adli ini muncul melalui drama bersiri Kekasihku Puyu. Siri drama yang turut menampilkan Zarina Zainudin dan Fazreen tersebut ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 4 petang di saluran TV3.

“Lucu kerana walaupun tampil sebagai pelakon utama tetapi saya perlu berkongsi karakter dengan seekor ikan puyu. Waktu siang karakter Bidasari tampil sebagai ikan tetapi menjadi manusia pada waktu malam. Ini kali pertama saya berlakon di bawah arahan sutradara Zul Arshad,” ujarnya yang berasa kelainan terlibat dalam set penggambaran drama yang berasaskan dongeng.

Intan akan muncul dalam beberapa buah produk untuk tatapan para peminat industri filem tanah air.

“Saya akan muncul dalam filem Halimunan arahan Ashim Rejab, lakonan bersama Fizo Omar dan Khatijah Tan. Saya juga baru selesai penggambaran filem X arahan Olyn Khadri dan akan muncul juga dengan filem Adnan Sempit 2 pada bulan Mac 2012,”ujarnya penuh syukur dengan tawaran yang datang kepada dirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: