Monday, September 19, 2011

Bandar Sungai Golok ibarat kalis peluru, bom


PIHAK berkuasa Thailand telah menutup salah satu lokasi letupan bom untuk tujuan siasatan di bandar Sungai Golok semalam.


SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand) - Kejadian tiga butir bom yang meletup sehingga mengorbankan lima orang termasuk empat pelancong dari Malaysia Jumaat lalu dipercayai tidak banyak memberi kesan ke atas daya tarikan bandar ini sebagai syurga beli-belah dan pusat hiburan kepada pelancong asing.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rosdi Che Omar berkata, aktiviti di bandar itu kini pulih seperti sedia kala dengan pusat-pusat perniagaan sudah mula beroperasi dan dibuka kepada pengunjung.

Menurutnya, kebanyakan penduduk Golok serta beberapa kawasan berhampiran sudah lali dengan kejadian letupan dan keganasan.

"Kejadian seperti ini tidak begitu meninggalkan rasa trauma dalam kalangan penduduk namun ia pastinya memberi kesan kepada pelancong terutama dari Malaysia yang sering ke sini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, pihak berkuasa Thailand akan terus mengetatkan kawalan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Saya melahirkan rasa dukacita terutama kepada rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kejadian tersebut dan sebagai tanda simpati kita akan menanggung semua kos rawatan serta sedikit sumbangan lain untuk mangsa.

"Justeru, saya memohon supaya rakyat Malaysia tidak serik untuk terus datang melancong ke sini bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk di bandar ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: