Wednesday, September 21, 2011

Amy terus ligat

pix_gal0
Kerjaya seninya tidak pernah berhenti

KALAU melihat pada wajah dan gelagatnya, tidak sangka Amy Mastura sudah berumur 40 tahun.
Ini kerana pada umur memasuki empat dekad itu, wanita ini masih kelihatan seperti gadis di awal tahun 20-an tahun dengan tubuhnya yang genit dan wajah yang seolah-olah tidak dimakan usia.
Di sebalik rupanya yang sentiasa ceria itu, dia sudah menceburi dunia hiburan tempatan hampir 18 tahun lamanya, iaitu sejak dari tahun 1993 lagi.

Sehinggakan, ada beberapa bakat baru yang menggelarkan diri mereka peminat kepada artis ini. Popular dengan filem Puteri Impian, siapa yang tidak kenal penyanyi, pengacara dan pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini yang bakatnya dicungkil daripada program Asia Bagus, Amy Mastura.

Mesra dengan panggilan Amy, wanita ini akui selama pembabitannya, dia sudah mencuba pelbagai watak iaitu dari watak antagonis sehingga ke watak hantu yang kini sering dijayakannya. Di sebalik wajahnya yang lembut, Amy mampu menjayakan drama seram seperti Penanggal, Hantu Susu dan filem, Damping Malam.

Amy yang ditemui di Majlis Rumah Terbuka Kose Cosmetic bersama peminatnya di pusat beli di ibu negara baru-baru ini berkata, dia bersyukur dari dulu sehingga kini rezekinya tidak pernah putus dan walaupun sudah berusia, masih menerima tawaran berlakon.
Ditanya mengenai watak idamannya yang belum pernah dipegang, lantas Amy menjawab bahawa dia menginginkan watak seperti wanita koma, iaitu tidak banyak menggunakan dialog tapi dari segi penyampaiannya agak mencabar kerana perlu pandai bermain dengan emosi, anak mata dan riak muka sahaja.

Walaupun sibuk dengan dunia lakonan, Amy juga banyak menjayakan projek sebagai duta untuk produk kesihatan dan kosmetik. Sesuai dengan kulit halusnya, Amy kini dilantik sebagai duta untuk produk kecantikan dari Jepun, Kose, sejak dari Mac lalu. Selain itu, Amy juga adalah duta kepada makanan kesihatan Quaker Oat, produk kesihatan, Takashima, dan sering menjayakan kempen sabun Lifebouy.

Selain lakonan lakonan dan pembabitannya sebagai duta produk, Amy turut sibuk sebagai hos, berganding bersama Adlin Aman Ramli di dalam rancangan realiti, Serasi Bersama.

"Pada mulanya, pihak bertanggungjawab memberitahu saya akan digandingkan bersama Aznil Haji Nawawi tapi disebabkan Pak Nil terlalu sibuk dengan jadual seninya, Adlin dipilih menggantikan tempatnya. Saya akan merakamkan rancangan ini selama 13 minggu.

"Terbaru, saya ada menerima tawaran untuk membintangi telefilem bertajuk Langkah Bendul. Selain itu, setakat ini tiada tawaran filem yang diterima dan memang agak kurang buat masa ini. Saya banyak menjayakan drama, dan melihat kepada watak yang diberikan, saya akan memilih yang bersesuaian dengan diri dan tidak mengganggu kehidupan saya sebagai isteri dan label jenama kepada produk kesihatan yang saya bawa.

"Saya sebenarnya tidaklah tidak memilih watak. Cuma, asalkan watak tersebut tidak mengganggu ketenteraman rumah tangga saya, saya tiada masalah untuk menerimanya. Syukur, setakat ini saya tidak pernah ditawarkan watak perempuan seksi atau yang bukan-bukan, mungkin ramai yang memahami imej saya," katanya ibu kepada dua anak perempuan yang berusia 10 tahun dan 6 tahun, Adriana dan Adalia

Tak campur aduk kerjaya, keluarga

BAHAGIA melayari bahtera rumah tangganya yang sudah mencecah 11 tahun, Pelakon Wanita Terbaik Filem Festival Malaysia ke-14 ini berkata, untuk mengekalkan kebahagiaan itu, ialah tidak mencampur adukkan dunia hiburan dengan kehidupan peribadinya.

Bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami kerjaya seninya iaitu Alvin Tham Suffian, Amy juga menjelaskan kalau terdapat perselisihan faham, dia lebih gemar mendiamkan diri daripada pengetahuan umum kerana tidak mahu menjatuhkan air muka masing-masing.

Sebagai artis yang sudah mendirikan rumah tangga, berkeluarga dan mempunyai anak, Amy begitu menjaga batasnya sebagai isteri. Menurutnya, dia harus menjaga penampilannya tetapi tidaklah sampai berlebih-lebihan kerana dirinya yang juga semakin dimamah usia, serta menjaga kepercayaan yang diberikan oleh suami dengan sebaik-baiknya.

Tambahnya lagi, di sebalik keseronokan dunia hiburan, ramai yang tidak nampak cabaran yang turut terselit. "
Bagaimana kita bekerja kuat untuk hidup, ramai yang tidak tahu. Tapi ia tidak perlulah dihebahkan, cukuplah peminat dunia seni tempatan mengetahui apa yang dipaparkan di hadapan mata mereka saja. Tidak pernah berputus asa ataupun penat, saya akan terus mewarnai dunia hiburan ini," katanya.

Di samping itu, setelah lama tidak muncul dengan album terbaru selepas album Happy pada 2009, Amy tidak meletakkan noktah kepada dunia nyanyian, yang mana Amy ada merakam runut bunyi untuk siri kartun animasi Upin dan Ipin yang akan keluar tidak lama lagi.

Buat masa ini Amy tidak akan mengeluarkan album dan akan menumpukan sepenuhnya kepada dunia lakonan serta pengacaraan. Tapi tidak menolak tawaran jika diberi peluang untuk berduet bersama penyanyi baru yang sedang bersinar bintangnya, iaitu antaranya ialah Aizat, Yuna, Faizal Tahir, Mizz Nina, Hujan dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: