SEJAK akhir-akhir ini, penampilan Aishah Sinclair (gambar) semakin menjadi perhatian umum. Tambah pula dengan gaya rambut pendek ala “pixie cut” itu memperlihatkan wajah ibu kepada Soraya Ann, 1, ini tampak lebih muda berbanding usianya.
Pada 27 Oktober depan Aishah bakal menginjak usia 31 tahun.
Dia juga mengakui sejak memotong rambut pada Februari lalu, keyakinan hidupnya menjadi lebih tinggi, malah rambutnya kini lebih mudah diuruskan.
“Kalau nak tahu, bukan mudah saya membuat keputusan untuk berambut pendek seperti ini. Malah, sebulan sebelum melakukan tindakan itu, suami saya, Sheikh Abdul Shahnaz, menunjukkan reaksi kurang bersetuju dengan keinginan saya itu.
“Kemudian, tiba-tiba dia pula yang sibuk tanya saya bila nak potong rambut? Bila saya nampak dia juga beria-ia mahu melihat perubahan rambut saya, tanpa berfikir panjang, saya terus ke salon. Seterusnya saya memilih Emma Watson dan Halle Berry sebagai inspirasi saya untuk mendapatkan imej itu,” tuturnya.
Kata Aishah atau nama sebenarnya Aishah Jennifer Mohamed Sinclair, berambut pendek lebih memudahkan dia untuk mempersiapkan diri memandangkan dia sibuk menguruskan anak.
Cuma, gaya sebegitu membuatkan pengacara jelita ini berasa segan apabila tersedar potongan itu membuatkan wajahnya tampak seperti seorang lelaki.
“Bila berambut pendek, wajah saya nampak macam tomboi. Jadi saya pun mulalah merajinkan diri menyolekkan wajah agar nampak lebih feminin. Seronoknya, berambut pendek tidak memerlukan kita fokus tentang penjagaan rambut.
“Saya masih lagi ingat ketika berambut panjang, berbotol-botol produk rambut berada dalam bilik air,” selorohnya yang begitu peka tentang penjagaan kecantikan diri.
Dalam pada itu, sebagai seorang wanita, lebih-lebih lagi apabila bergelar ibu, masalah sibuk menjaga anak tidak boleh dijadikan alasan untuknya mengabaikan diri.
Ujar anak kacukan Melayu-Inggeris ini, dia tahu, anak akan menjadi keutamaan apabila tibanya soal membeli belah atau keperluan-keperluan lain.
Namun, Aishah bersikap sedikit ‘pentingkan diri’ di mana dia akan memastikan, dirinya juga tidak terabai dek kerana terlalu fokus dengan anak pertamanya itu.
“Rasanya semua wanita gemar membelai diri masing-masing. Justeru itu, kita perlu bijak mencuri masa dengan membuat urutan, membeli belah atau ke spa agar tubuh badan kita juga mendapat penjagaan yang secukupnya. Saya percaya, kita tidak akan menjadi ibu yang bagus jika diri sendiri pun tidak terjaga,” katanya.
Risau gagal didik anak
Jiwa ibu mana yang tenang apabila melihat gejala sosial semakin menjadi-jadi di zaman ini dan ia mungkin boleh mempengaruhi anak-anak mereka.
Perasaan itu turut terpaut di hati Aishah apabila memikirkan adakah perkara itu juga akan berlaku kepada anak perempuannya pada masa akan datang?
“Entahlah, susah kita nak jangka apa yang akan terjadi kepada anak kita apabila memasuki zaman remaja nanti.
“Sebagai seorang ibu, semestinya saya takut jika Soraya tersilap langkah dalam melalui cabaran kehidupan. Bagaimanapun, saya juga kena sedar bahawa kita tidak boleh menjadi terlalu sempurna dalam mendidik.
“Malah cara mendidik pada zaman kini dan dulu juga lain kerana kanak-kanak sekarang cepat belajar dengan apa yang mereka lihat. Saya pun tidak mahu mengongkong Soraya kerana takut dia memberontak pula,” ujarnya.
Bagaimanapun, Aishah bersyukur kerana bukan sahaja dia yang menjaga anak kesayangannya itu, tetapi ibu kandung dan ibu mertuanya turut membantu dalam cara mendidik anak dengan betul.
“Saya tahu bahawa saya bukanlah ibu yang sempurna lebih-lebih lagi menjadi ibu kepada anak sulung.
“Alhamdulillah, selain suami, ibu dan bapa mertua saya banyak membantu dan menyokong. Malah saya akan hantar ke taska kendalian makcik saya jika mempunyai hal kerja. Sekurang-kurangnya Soraya dijaga oleh orang yang saya percayai,” katanya pengacara The Breakfast Show di ntv7 ini.
Tanam pokok di Mongolia
Seperti umum tahu, Aishah seorang yang begitu peka tentang masalah alam sekitar yang semakin pupus dek kerana kerakusan manusia yang tidak peka dengan penjagaan alam.
Selain menjadi jurucakap Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA), Aishah baru sahaja menandatangani kontrak menjadi duta alam sekitar, Timberland Earthkeepers (TE) pada Jun lalu.
Menariknya, Aishah telah ke Mongolia bersama pihak TE dan beberapa pemenang yang menyertai peraduan soal jawab yang dianjurkan oleh TE, selama dua hari untuk menanam pokok di gurun Horqin.
“Di sana, kami telah menanam sebanyak 800 pokok dan projek ini telah dilakukan sejak 10 tahun yang lalu. Dan dalam masa 10 tahun TE telah menanam sebanyak 1 juta pokok.
“Alhamdulillah, pokok-pokok yang ditanam sudah membesar dan masih lagi hidup hingga sekarang. Sekurang-kurangnya kita dapat menyelamatkan bumi yang kepupusan pokok-pokok hijau,” ujarnya bersemangat.
Selain itu Aishah juga seorang pencinta haiwan dan kata adik kepada pelakon Ashraf Sinclair ini, dia kerap membela kucing yang terbiar dalam jangka masa tertentu.
“Hati saya menjadi kurang senang apabila mendengar kucing mengiau. Saya akan cari kucing itu sampai dapat dan membawanya pulang ke rumah. Lagipun di rumah saya ada kucing dan sangkarnya sekali. Kemudian saya akan serahkan kepada orang yang ingin membelanya.
“Rasanya saya mengikut jejak ayah yang juga tidak senang melihat haiwan terseksa. Dahulu, ketika ayah dalam perjalanan pulang ke rumah, dia melihat seekor anjing didera oleh tuannya. Ayah terus berhentikan keretanya dan marah tuan punya anjing itu,” selorohnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: