Tuesday, September 20, 2011

Akademi Amber di Kuala Lumpur


AMBER CHIA bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Airmata Ibu.


USIA sekadar angka, bidalan itu tepat mengena pada figura tinggi lampai, Amber Chia. Bukan hanya kekal aktif berkarier, dalam masa yang sama menatang keluarga sepenuh jiwa apatah lagi setelah bergelar seorang ibu.

Malah, Amber,30, juga tidak lari daripada kesibukan bergelar seorang usahawan wanita di samping berjaya mengekalkan sosoknya yang langsing dan menawan.

Buktinya, Amber Chia Academy yang ditubuhkannya pada tahun 2010 itu kini sudah pun punyai cawangannya yang keempat.

“Cawangan pertama di Petaling Jaya, kemudiannya berkembang ke Melaka dan Pulau Pinang dan kini sudah bertapak di pusat beli-belah Times Square, Kuala Lumpur,” cerita bekas juara Pencarian Peragawati Antarabangsa Guess 2004 itu.

Bukan itu saja, akademi peragaan itu juga sudah memiliki lebih 400 orang pelajar yang berderap menapak mengikut langkah dan pesona model dan pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu.

“Saya anggap mereka (pelajar) seperti anak-anak saya, pada saya memberi mereka tunjuk ajar pada masa yang sama saya juga masih belajar selok-belok dalam perniagaan,” katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran Stepper Eyewear dan Pantone Universe Eyewear di pusat beli-belah Viva, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita mengenai petua kecantikannya biar pun menjengah ke usia 30-an, ujar Amber, rutin senaman dan yoga dipraktikkannya tika kelapangan masa.

“Jika ada masa saya akan bersenam, tak semestinya di gim tapi di mana-mana saja, kadangkala saya akan membuat yoga untuk mengekalkan bentuk badan dan kesihatan dalaman saya,” ujar si jelita itu lagi.


AMBER CHIA membuat yoga untuk mengekalkan bentuk badan dan kesihatan dalaman.


Bukan itu saja, pengambilan nutrisi tambahan dan makanan yang seimbang menjadi amalannya sementelah dia belum bergelar selebriti lagi.

“Buat masa sekarang saya akan mengambil vitamin tambahan seperti Vitamin C dan B, selain itu juga ada mengambil kalsium dan Omega-3 untuk diet,” tambah supermodel yang mula bergiat dalam bidang peragaan sejak berusia 17 tahun itu.

Ditebak pertanyaan penyusutan berat badannya yang kelihatan turun mendadak selepas melahirkan bayi lelakinya pada 28 September tahun lalu, bicara model yang membesar di Sabah itu berkenaan penurunan berat badannya akibat kesibukan berkarier.

“Ketika mengandung, berat badan saya hampir mencecah 68 kilogram, tapi selepas sebulan setengah berdiet, berat badan turun hingga 50 kilogram sampai ke hari ini.

“Orang nampak saya kurus mungkin sebab ketinggian saya, tapi sejujurnya saya akui disebabkan kesibukan sehari-hari sedikit sebanyak menyebabkan badan saya semakin kurus tapi dalam masa yang sama membentuk otot-otot pada lengan saya akibat sentiasa mendukung bayi lelaki saya,” tuturnya yang ceria berkongsi kisah bahagianya menimang cahaya mata sulungnya, Ashton Wong.

Dilantik menjadi 20 duta produk di Malaysia, Indonesia dan Taiwan, Amber kini masih dipegang untuk menjadi jurucakap kepada S2 Slimming dan Huggies. Sebelum ini, Amber pernah menjadi duta produk Guess Watches, Stila, Whisper (P&G) dan L’Oreal.

Namun kariernya sebagai pelakon tidak ditolak ke tepi. Amber bakal muncul dalam filem berjudul Airmata Ibu yang mencerminkan budaya masyarakat Malaysia selain menerapkan elemen 1Malaysia.

Dalam filem itu, Amber mendukung watak seorang wanita yang bercita-cita tinggi untuk menjadi supermodel selain diselitkan dengan kisah cinta dan konflik keluarga.

“Saya akan bercakap dalam pelbagai bahasa dan rasanya watak saya dalam filem ini hampir sama dengan realiti dunia sebenar saya,” katanya yang pernah muncul dalam filem The 3rd Generation, Trio & a Bed, Possessed dan Seed of Darkness itu penuh teruja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: