![]() |
| Shila & Tasha |
KEDUA-DUANYA sama cantik, sama hebat. Mekar berkembang meski dalam dua bidang seni yang berbeza, Tasha Shila, 24, dan Shila Hamzah, 21, pada hakikatnya berkongsi satu atmosfera yang sama, sebagai anak seni tempatan yang semakin menempa nama.
Adatlah kalau orang sudah punya rupa dan nama, pasti ada sahaja sang kumbang yang mahu hinggap mencuba nasib menghulur salam perkenalan.
Mana tahu, kalau-kalau hati sang gadis terbuka untuk melanjutkan langkah ke fasa percintaan bukan? Jika itu yang terjadi, aduhai...bertuahlah badan!
Pun begitu, baik Tasha mahupun Shila, mereka sebenarnya berkongsi satu teori yang sama tentang cinta. Bagi mereka, selagi belum berkahwin, tiada ertinya menjalinkan hubungan cinta dengan sang pria.
Apalagi, kata mereka pada zaman ini, semakin sukar buat kaum wanita mencari lelaki yang benar-benar datang dalam pakej jujur dan ikhlas untuk berkawan. Berpeluang menemubual pelakon dan penyanyi ini, Pancaindera menyelongkar rasa hati Tasha dan Shila berhubung terma yang sangat universal ini.
Tasha mahu lelaki stabil
Pelakon yang mula menyinar menerusi drama bersiri Gemilang ini punya frasa yang berbeza tentang soal cinta. Mengaku sering sahaja ditanya mengenai hal yang satu ini setiap kali kemana-mana, baik teman-teman, keluarga mahupun peminat, Tasha lebih senang tersenyum.
Bukan mahu menyembunyikan kebenaran, tetapi empunya diri sememangnya masih solo dan selesa menjalani hidup begitu, sekurang-kurangnya buat masa ini.
“Memang saya solo dan tak ada teman lelaki sekarang. Selama ini kalau orang tanya pun saya tak pernah sorok dan saya akan cakap benda yang betul.
“Kalau nak tahu, saya sebenarnya lebih suka bercinta selepas kahwin. Mungkin akan ada orang yang tak percaya dengan kata-kata saya ni, tapi inilah yang saya mahukan,” katanya.
Akui Tasha lagi, dia lebih senang mendekati jejaka yang stabil bukan sahaja dari segi kerjaya, tetapi dari pelbagai sudut lain.
“Saya tak suka lelaki kata cinta tapi dirinya sendiri tak cukup stabil untuk menjaga anak dara orang. Kalau macam tu, saya pun boleh jaga diri sendiri bukan?
“Sebab tu saya tak pernah kisah ada teman lelaki atau tidak sekarang. Fokus saya lebih kepada kerjaya sebab saya pun masih baru lagi dalam bidang ini.
“Kalau ada kekasih sekarang rasanya mesti susah saya nak bina karier. Mungkin juga akan terkongkong.
“Walau apa pun, saya tak menolak kalau jodoh tu sampai dalam masa terdekat. Tapi cinta? Biarlah ia datang selepas kami sah sebagai pasangan suami isteri,” katanya.
Indah cinta selepas kahwin
Anak sulung kepada penyanyi ND Lala ini juga punya pandangan yang sama sebagaimana Tasha. Katanya, bercinta selepas kahwin adalah apa yang didambakan selama ini meski dirinya pernah dicuit dan digosip dengan beberapa artis lelaki tanah air.
Malah, tutur penyanyi lagu Memori Tercipta ini, dia juga kurang gemar dengan perkataan teman lelaki itu sendiri atas alasan ia tidak melambangkan keutuhan cinta itu.
“Hubungan cinta bagi saya adalah lebih manis dan bermakna bila sudah ada ikatan yang sah. Lepas kahwin, nak buat apa dan nak ke mana-mana pun tak kisah. Orang tak akan bercakap-cakap belakang. Saya tak pernah dipaksa untuk berkata begini, sebab ini memang kehendak saya.
“Bukan tak ada yang cuba mendekat, tapi saya sendiri dah bagi garis panduan yang saya tak mahu berkawan sampai tahap bercinta. Saya memang ramai kawan lelaki. Tapi untuk bercinta, biarlah dulu,” katanya.
Diusik dengan pertanyaan jika ada antara kenalan lelakinya pernah berkunjung ke rumah, akui Shila, perkara itu sering terjadi terutama di kala hari raya menjelma.
“Masa raya ramai yang datang ke rumah. Malah, kami juga akan pergi berhari raya ke rumah kawan-kawan lain pula selepas itu. Tetapi tak pernahlah keluar berdua. Biasanya kami akan bergerak secara berkumpulan,” katanya.
Raya dua Shila
Mengambil kesempatan berbual mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, kedua-dua gadis yang berkongsi satu nama ini ternyata cukup teruja mengenainya.
Lebih-lebih lagi bagi Tasha. Kata gadis berbintang Aquarius ini, setiap kali menyebut perkataan Aidilfitri, dia pasti tidak akan sabar-sabar untuk pulang ke kampung halaman.
Bercuti sehingga hari raya kesepuluh, tutur Tasha, hari raya pertama akan menyaksikan dia bersama keluarga ke kampung sebelah ibunya yang terletak di Batu Pahat, Johor.
Sebagaimana tradisi keluarga, Tasha akan melawat ke kubur arwah datuknya di pagi hari raya sebelum berkumpul di rumah ibu saudaranya di Simpang Pulai, Johor.
“Oleh kerana Tasha dah kehilangan datuk dan nenek, jadi kami semua satu keluarga akan berkumpul di rumah ibu saudara Tasha itu.
“Kemudian baru pulang ke Ulu Yam, kampung sebelah ayah Tasha pada hari raya ketiga.
“Tapi kalau tanya yang mana lebih seronok, saya lebih teruja nak balik kampung sebelah emak sebab di sana lebih meriah sebab adik-beradik emak ramai, 12 orang dan kesemuanya jenis riuh belaka!
“Tasha juga lebih rapat dengan keluarga di sebelah sana,” katanya.
Ditanya mengenai kenangan hari raya sewaktu dirinya masih kecil, Tasha sempat melemparkan senyuman.
“Saya ni lasak orangnya semasa kecil. Masih saya ingat, masa saya berusia lapan tahun, tapak kaki kanan saya ni terkena mercun semasa bermain dengan sepupu.
“Mercun biasa saja, tapi sebab suka mencuba, tak fasal-fasal mercun tu melompat terkena pada kaki. Apalagi, menangis sajalah. Sampai sekarang, parut tu ada pada tapak kaki saya,” ceritanya
Dalam pada itu, kata Tasha, memandangkan dia kini sudah punya kerjaya, maka dia mengambil alih peranan ibu untuk menyediakan kelengkapan hari raya buat keluarga.
Lebih-lebih lagi, sebagai anak sulung daripada tiga beradik, Tasha ternyata telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Sementara itu, lain pula halnya dengan Shila.
Jika Tasha mengutarakan rasa terujanya untuk menyambut Aidilfitri, Shila awal lagi sudah menyatakan rasa terkilannya kerana tidak dapat berhari raya dengan sempurna.
Dia yang juga merupakan anak sulung daripada empat beradik ini berkata, kesibukan kerjayanya telah menyebabkan sambutan Aidilfitri tahun ini sedikit terjejas.
Kata Shila, ini kerana hari raya kedua lalu dia sudah mula kembali bekerja dan memenuhi komitmennya menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) serta beberapa undangan program raya lain.
Bagaimanapun kesempatan menyambut lebaran bersama keluarga pada 1 Syawal lalu dimanfaat dengan sepenuhnya oleh Shila untuk pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak.
“Tahun ni memang sibuk. Semuanya sebab Shila dah kena uruskan segala aktiviti seni sendiri. Kalau dulu, syarikat pengurusan yang ambil alih, sekarang semua benda Shilalah yang kena uruskan terutama fokus Shila pada pemprosesan single terbaru berjudul Patah Seribu yang akan dilancarkan kelak.
“Tapi tak mengapa, sekurang-kurangnya Shila ada benda nak buat masa raya. Kalau tak buntu juga. Iyalah lepas ziarah semua keluarga, dah tak tahu hendak buat apa. Banyak masa kosong. Jadi lebih baik begini. Pada Shila, sekarang inilah masa Shila hendak membina karier dengan serius.
“Tapi memang Shila akui, kadang-kadang terpaksa mengorbankan beberapa faktor lain. Shila juga tak ada pilihan,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata Shila, rasa terkilan itu sekurang-kurangnya terubat apabila dia berpeluang bertemu sanak-saudara di lapangan masa yang lain dan tidak terhad pada hari raya semata.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: