Friday, September 16, 2011

5,000 'askar' kuning gegar stadium UKM


WAKIL dari Kedutaan Filipina tidak ketinggalan turut serta dalam program Relay For Life 2011.


STADIUM Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini dibanjiri orang awam yang memakai kemeja-T berwarna kuning. Tidak kira bangsa dan peringkat umur, mereka berjalan mengelilingi padang memegang sepanduk sambil bersorak.

Sorakan ribuan ‘askar’ berbaju kuning tersebut bukan dalam kalangan orang awam yang menyertai perhimpunan yang mencetuskan kontroversi tetapi mereka merupakan penyokong kuat pesakit-pesakit kanser yang menyertai program larian Relay For Life 2011 anjuran Majlis Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Relay For Life menuntut para peserta membuat larian selama 16 jam tanpa henti yang bermula pukul 6 petang 16 Julai dan berakhir pukul 10 pagi keesokan harinya. Larian tersebut disertai lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara.


UJIAN kesihatan disediakan untuk kemudahan orang ramai memeriksa tahap kesihatan masing-masing.


Ramai yang teruja melihat kumpulan survivor kanser yang memakai kemeja-T berwarna ungu yang mendahului larian. Walaupun menghidap barah, mereka sangat bersemangat berjalan kaki mengelilingi trek dengan pantas sambil bersorak.

Sorakan yang bergema di stadium ketika itu jelas menjadi perlambangan bahawa kanser tidak dapat menghalang mereka daripada menikmati kehidupan.

Larian tersebut kemudiannya diikuti oleh penyokong pesakit kanser, penjaga dan para peserta lain bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pesakit kanser.

“Mereka yang hadir hari ini terdiri daripada pesakit kanser, sukarelawan, orang awam, wakil pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat, institut pengajian tinggi awam dan swasta, sekolah-sekolah dan wakil kedutaan asing.


KEDAI cenderamata turut menjadi tumpuan orang ramai di tengah-tengah padang stadium.


“Larian ini dilakukan selama 16 jam tanpa henti sebagai simbolik bahawa kanser yang ‘menghuni’ tubuh pesakit-pesakit kanser tidak pernah tidur,” kata Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan.

Katanya lagi, larian Relay For Life kali ketujuh itu telah dilakukan di 22 buah negara.

Selain larian tanpa henti, terdapat banyak lagi aktiviti menarik diadakan. Antaranya adalah persembahan taekwando, nyanyian, pameran kesihatan dan jualan cenderahati untuk tujuan amal yang dilakukan oleh survivor kanser itu sendiri.

“Dalam pada itu, pengunjung boleh membuat ucapan dengan menghias beg kertas untuk memberi semangat kepada pesakit kanser yang berjuang memerangi kanser mahupun mengenang pesakit kanser yang sudah meninggal dunia.


SEKUMPULAN peserta larian sepakat memakai baju ala retro bagi memeriahkan suasana.


“Beg yang sudah dihias akan disusun di sepanjang trek kemudian lilin di dalamnya dinyalakan. Satu stadium akan bergelap sambil hadirin senyap tanda bertafakur bagi menghormati mereka yang sudah tiada kira-kira 10 hingga 15 minit,” ujarnya.

Antara bait-bait kata yang tertulis di beg-beg kertas tersebut ialah stay positive, live longer and prosper, cancer can cure, nobody can help unless you help yourself, let’s beat cancer together dan sebagainya.

Lebih 100 khemah sedia untuk disewa dengan kadar RM50 bagi sebuah khemah buat mereka yang mahu bermalam di stadium.

Pameran

Dalam pada itu, pameran turut diadakan memaparkan jenis kanser yang paling umum menyerang rakyat Malaysia iaitu kanser payudara, kanser serviks, kanser kolon, kanser paru-paru, kanser testis dan kanser prostat.


BAWAH: Para peserta berehat sebentar di khemah yang mereka sewa sebelum memulakan semula larian.


Lebih menarik, ada kios yang memaparkan pelbagai baju dalam yang dihias cantik dengan labuci, manik dan reben oleh suami pesakit-pesakit kanser.

Terdahulu sebelum majlis perasmian, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut hadir sebagai tanda sokongan selain Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul W. Jones dan wakil dari Kedutaan Filipina serta Britian.

“Program ini sangat meriah dan saya begitu teruja melihat pesakit-pesakit kanser begitu bersemangat melaksanakan larian.

“Selain memberikan sokongan kepada pesakit-pesakit kanser, saya berpeluang mengenali penyokong-penyokong dan sukarelawan di sini,” kata seorang kakitangan swasta, Merlia Mohamad, 27, yang datang bersama rakannya.

Bagi kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Zulhilmi Zaizan, 24, dia bersama rombongan UUM datang dari Sintok, Kedah datang dari jauh semata-mata untuk menyertai acara yang penuh makna tersebut.

“Ini pertama kali saya menyertai Relay For Life. Melihatkan kemeriahan dan wajah ceria pesakit-pesakit kanser, saya mungkin akan menyertainya pada tahun depan.

“Hanya sokongan seperti ini yang mampu saya lakukan kerana tidak dapat bantu dari segi wang ringgit. Saya akan melakukan larian hingga ke titisan peluh yang terakhir,” katanya.

Pada majlis tersebut juga, NCSM menerima sumbangan daripada beberapa syarikat iaitu Sime Darby Foundation, Oriental Metal Industries (M) Sdn. Bhd., Brother International (M) Sdn. Bhd., Dow Chemical (M) Sdn. Bhd. dan La Senza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: