Tuesday, September 13, 2011

47 pelajar perintis ijazah doktor perubatan UPNM


ALLATIF Mohd. Noor (kanan) beramah mesra dengan sebahagian siswa Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan selepas majlis pemakaian kot putih di UPNM, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Prof. Dr. Mohd. Zin Bidin (dua dari kanan).


KUALA LUMPUR 12 Sept. - Seramai 47 pelajar berbilang kaum menjadi perintis kepada kursus Pegawai Perubatan Tentera yang baru diperkenalkan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Naib Canselornya, Lt. Jen. Datuk Allatif Mohd. Nor berkata, Program Ijazah Doktor Perubatan itu ditawarkan oleh UPNM di bawah Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan bermula pada sesi akademik 2010/2011.

''Mereka yang terlibat telah mengikuti Asasi Kedoktoran selama dua tahun sebelum ini dan hari ini mereka diserah kot putih sebagai simbolik bermulanya pembelajaran peringkat sarjana muda,'' katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kot itu di UPNM di sini hari ini.

Beliau berkata, penawaran kursus selama lima tahun itu bertujuan memenuhi keperluan dalam pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini mendapat pengiktirafan sebagai antara yang terbaik di dunia.

"Sumbangan kita semasa malapetaka di Pakistan, Bosnia, benua Afrika dan sewaktu tsunami di Acheh menjadi testimoni kepada kejayaan ATM selama ini," katanya.

Allatif juga berkata, Malaysia adalah negara kedua di rantau Asia Tenggara yang menyediakan program seumpama itu selepas Thailand dan negara Islam kedua di dunia selepas Turki,

"Dengan kombinasi pelajar yang komited, prasarana dan kelengkapan moden serta tenaga pengajar yang profesional dan berpengalaman, saya pasti matlamat untuk melahirkan lebih ramai pegawai perubatan dalam kalangan tentera dapat dicapai,'' ujarnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan UPNM, Mej. Jen. Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, ciri-ciri yang membezakan graduan ijazah doktor perubatan UPNM dengan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) lain adalah gabungan aspek rejimental ketenteraan dan profesion perubatan dalam masa yang sama.

"Graduan dari fakulti ini akan menjadi aset berkualiti negara yang bukan sahaja mahir dalam profesion perubatan tetapi juga mempunyai kewibawaan dan sahsiah yang tinggi," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: