MUHYIDDIN diiringi isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang penderma di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berbangga mempunyai masyarakat yang sentiasa bersemangat untuk menyumbang dan melakukan kerja sukarela bagi membantu sesiapa saja yang memerlukan bantuan dan sokongan.Ia membuktikan rakyat Malaysia secara keseluruhan amat pemurah dan tidak hanya memikirkan kepentingan diri tetapi prihatin terhadap nasib malang yang menimpa pesakit atau mereka yang menghadapi bencana.
Beliau melancarkan kempen derma darah Golf Kebajikan Tan Sri Muhyiddin (TSMGC) di sebuah kompleks beli belah utama di ibu negara. Hadir sama Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Roshida Hassan dan Presiden TSMGC, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.
Muhyiddin berkata, semangat suka membantu dan menyumbang di kalangan rakyat negara ini membuktikan kejayaan gagasan 1Malaysia seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya bangga melihat semua lapisan masyarakat tidak mengira kaum atau keturunan, agama atau latar belakang fahaman, tampil memberikan sumbangan apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, pembabitan mahasiswa dan generasi muda dalam kerja amal juga perlu diperluaskan, bukan saja membantu menderma darah, malah aktiviti lain seperti bantuan kepada mangsa bencana, pesakit dan golongan kurang upaya (OKU).
Selain itu, pembabitan sektor swasta melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu dipertingkatkan bagi memastikan golongan yang malang dan kurang bernasib baik terus mendapat pembelaan.
“Saya gembira kerana program ini menunjukkan satu lagi aspek CSR oleh pusat beli belah Midvalley yang menyokong usaha ini dan diharapkan ia dapat diperkembangkan lagi,” katanya.
Kempen derma darah sehari anjuran TSMGC itu, mendapat sambutan menggalakkan termasuk penyertaan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertahanan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kuala Lumpur International University College dan Malaysian Medical University, sebagai penderma darah dan sukarelawan.
Dr Roshida dalam berkata, golongan mahasiswa mewakili 29 peratus daripada keseluruhan penyumbang darah di Lembah Klang tahun lalu.
“Pembabitan golongan belia penting kerana ia dapat mengelak gejala sosial kerana syarat untuk menjadi penderma darah mestilah seseorang yang bebas daripada risiko penyakit selain sihat tubuh badan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: