![]() |
| Ubi rebus panas enak dihidang bersama kopi O. |
KEENAKAN ubi kayu rebus panas yang dicicah dengan kelapa, sambal ikan bilis mahupun ikan kering sambil menikmati secawan kopi panas pastinya membangkitkan selera.
Rasanya yang manis ditambah pula makan bersama ahli keluarga bukan sahaja mengeratkan lagi perhubungan malah ia pastinya mengimbau kembali nostalgia.
Bagi warga kota, hari ini mereka tidak lagi perlu bersusah payah balik kampung semata-mata ingin menikmati hidangan tersebut kerana sudah terdapat restoran-restoran yang menawarkan menu tersebut.
Sekali sekala sekiranya teringin menikmati hidangan ubi rebus panas, mereka bolehlah mengunjungi Kafe Malaya yang terletak di No. 38, Jalan Diplomatik 3/1, Presint 15, Putrajaya.
Sememangnya menawarkan menu tersebut untuk hidangan petang, Kafe Malaya turut menyediakan pelbagai hidangan istimewa untuk dinikmati bersama.
Menurut Penyelia kafe, Khairuddin Mohd. Daham, sesuai dengan namanya menu yang disajikan juga merupakan makanan kegemaran orang Melayu sejak zaman berzaman.
‘‘Apa yang unik di Kafe Malaya ini adalah hidangan petangnya yang terdiri daripada ubi rebus yang dicicah bersama kelapa ataupun gula Melaka, pengat durian yang boleh dinikmati bersama pulut atau roti, pengat labu, pengat pisang, bubur kacang dan keropok lekor.
‘‘Bagaimanapun untuk pengat durian, pengat labu dan pengat pisang, ia tidak disediakan setiap masa sebaliknya bergantung kepada bahan mentah kerana tidak setiap masa ia boleh didapati.
‘‘Yang pasti, kami cuba memberikan kelainan kepada para pelanggan yang singgah ke sini dan kalau boleh apabila teringin makan ubi kayu, mereka akan teringat kafe ini,’’ ujarnya ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, untuk menu ubi rebus, ia sudah tentu sesuai dinikmati bersama kopi O panas.
Mereka yang menikmati hidangan di kafe yang berkonsepkan kedai kopi mini ini juga boleh mencuba set sarapan pagi, set makan tengah hari dan juga menu ala carte untuk hidangan tengah hari dan malam.
Boleh memuatkan 30 hingga 40 orang pada satu-satu masa, Kafe Malaya dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam (Isnin hingga Khamis) dilanjutkan sehingga 12 tengah malam.
Sementara itu, setiap hari Sabtu ia hanya dibuka bermula pukul 5 petang hingga 12 tengah malam. Ia ditutup setiap Sabtu minggu keempat dan hari Ahad.
Menurut Khairuddin lagi, antara masakan ala carte yang istimewa ditawarkan di Kafe Malaya ialah nasi goreng Malaya.
Selain itu ia turut menawarkan makanan barat seperti chicken chop, lamb chop, fish n chips, lamb stew dan masakan kampung seperti asam pedas, masak lemak cili api, gulai kawah daging, sup tulang dan sebagainya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: