KOMPOSER dan pemilik Millenium Art tidak terkejut apabila dua bakat baru di bawah pengurusan syarikatnya, Mohammad Syahrul Mohammad, 23, atau Syahz dan Shahila Shariff, 18 (Heela) menggunakan media untuk menyuarakan rasa kurang puas hati berhubung kontrak yang ditandatangani mereka.Sama ada tidak memahami butiran sebenar isi kandungan perjanjian itu atau sengaja mencari isu untuk lebih cepat dikenali, Julfekar menganggap mereka mempunyai agenda tersendiri kerana segala-galanya sudah diperjelaskan di dalam dokumen berkaitan.
“Perkara ini boleh dibawa berbincang. Kali terakhir berjumpa mereka kira-kira dua minggu lalu ketika di Sabah, namun tiada apa yang disampaikan. Kalau nak kata soal kontrak, sebenarnya mereka yang sudah membelakangi perjanjian dengan curi-curi makan luar.
“Di dalam kontrak sudah jelas menggariskan setiap tawaran perlu dimaklumkan kepada syarikat. Setiap syarikat rakaman dan pengurusan juga mengamalkan konsep sama.
“Saya tutup mata saja memikirkan mereka hanya cari makan namun apabila isu ‘janji tinggal janji’ dibangkitkan, saya perlu bersuara,” katanya.
Pada 13 April lalu di ruangan Hip, dua bakat yang dilahirkan daripada pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) meminta Julfekar selaku pemilik Millenium Art membuat pilihan sama ada melepaskan mereka atau mematuhi kontrak terutama berkaitan pembikinan album.
“Banyak perkara dibangkitkan hanya perkara diperbesarkan berbanding fakta. Mereka kata sudah ‘diikat’ tiga tahun tetapi perjanjian hanya ditandatangani pada Julai 2009 sekali gus bermakna baru setahun lebih bersama syarikat ini. Bagaimana boleh mengaku sudah tiga tahun?
“Dalam kontrak pula sudah jelas tertulis lima rakaman untuk lima tahun bukan lima album. Jangan mereka keliru. Sila rujuk semula kontrak. Mereka sudah merakamkan single yang dimuatkan dalam album Impian bersama artis naungan Millineum Art yang lain. Kita ada strategi, keluar dulu dua, tiga single untuk perkenalkan nama baru album penuh menyusul.
“Lainlah kalau syarikat ‘pendam’ saja bakat mereka tanpa produk. Sedangkan penyanyi yang sudah ada nama pun hanya buat single atau mini album melihatkan situasi pasaran sekarang, dua bakat baru ini minta album penuh setiap tahun sepanjang lima tahun kontrak? Seperti saya katakan, fahami dulu kontrak sebelum mengeluarkan kenyataan,” katanya lagi.
Komposer merangkap penerbit album, sewajarnya Shahz dan Heela bersyukur apabila pembikinan album penuh sedang menyusul yang memulakan rakaman sejak September tahun lalu dengan Shahz merakamkan enam lagu manakala Heela sudah menyiapkan lima dendangan.
Mereka perlu bersabar
Berhubung dakwaan Shahz yang mengatakan salinan kontrak tidak diberikan kepadanya, akui Julfekar anak muda itu langsung tidak pernah bertanyakan atau mengambil salinan itu daripadanya.
“Kalau saya boleh berikan salinan kepada artis naungan Millenium Art lain termasuk Heela, kenapa perlu saya simpan salinan Shahz. Dia tidak minta, jadi saya pun terlupa. Tak sangka perkara ini dijadikan isu.
“Apa pun, kontrak setiap artis di bawah naungan syarikat ini sama, begitu juga dengan perancangan album namun perlu mengikut giliran. Soal persembahan kalau kita sudah ajukan nama mereka tetapi penganjur memilih artis lain, apakah itu salah saya? Mereka perlu bersabar, bina nama dan mantapkan dulu persembahan, baru orang nampak,” katanya lagi.
Julfekar juga hairan dengan kenyataan Heela yang mendakwa dirinya tidak dipedulikan sedangkan ketika awal dulu keluarganya meminta sebarang urusan berkaitan nyanyian hanya boleh dijalankan selepas anak gadis mereka selesai menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Tahun lalu Heela menduduki SPM dan sejak awal tahun lalu syarikat tidak mengganggu kerana sudah berjanji secara lisan dengan keluarganya. Saya memahami rasa prihatin keluarganya yang mahu dia berjaya dalam pelajaran.
“Hanya selepas SPM berakhir barulah segala urusan nyanyiannya dimulakan termasuk rakaman lagu. Jadi apabila timbul isu ini, saya terfikir kenapa keluarganya tidak tampil menyatakan perkara sebenar?
“Cukuplah semua ini. Jangan kerana mahu cepat popular sanggup melemparkan kenyataan tanpa usul periksa. Mereka terang-terangan mengakui punyai single dibikin sendiri, dapat undangan lakonan dan iklan tanpa memaklumkan kepada syarikat sedangkan semua perkara itu sudah dimeterai bersama. Jadi siapa yang melanggar kontrak?” katanya yang buat masa ini mengambil sikap tunggu dan lihat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: