
MULA membuat debut sulungnya pada tanggal 6 Januari 2009, sisipan GenK dalam Kosmo! dicetuskan sebagai satu wadah dan platform suara bagi golongan muda.
Mencari kelainan dengan memaparkan apa jua aktiviti, trend, hobi, dunia kampus, ikon, kerjaya, fesyen dan isu semasa berkaitan anak muda, GenK bermula dengan sisipan sebanyak 15 muka surat.
GenK atau singkatan kepada Generasi Kosmo! diwujudkan sebagai melengkapi idea enam hari enam sisipan dalam akhbar kompak paling pesat berkembang di tanah air ini.
Disiarkan setiap minggu pada hari Selasa, lima lagi sisipan lain yang mewarnai Kosmo! termasuklah Stailo (Isnin), Infiniti (Rabu), Urban (Khamis), Pesona (Jumaat) dan Horizon (Sabtu).
Dengan tajuk rencana utama pertamanya, Gila Kereta Lama yang menceritakan mengenai minat dan obses sekumpulan anak muda kepada kereta-kereta terpakai yang dibaik pulih menjadi sebuah jentera mengagumkan, ia menjadi petunjuk hala tuju GenK yang dekat dengan hati generasi baru.
Ini kerana berbeza daripada belia sebelum ini, generasi baru zaman Kosmo! ternyata lebih lasak, agresif dan kreatif dalam aktiviti seharian.
Artikel nukilan wartawan Julia Ismail merakamkan minat anak muda Syed Nabil Athrash Syed Ahmad, Khairul Hazri Abdul Latif dan Fairuz Nadzly Harun yang menggemari kereta-kereta terpakai seperti Toyota TE71, Mazda 323, Toyota Corolla KE70 dan Toyota Corolla KE35.
Ketika itu, bersama-sama Julia menggerakkan sisipan tersebut ialah wartawan Adham Shadan. Dalam tempoh dua tahun tiga bulan ini, menyaksikan sebanyak 119 edisi sisipan GenK disiarkan dengan memaparkan pelbagai topik menarik.

Antara rencana utama yang menarik termasuklah Sukarelawan Braille, Sudut Pidato Kembali, Rakan Muda Seni, Lensa Si Cilik, Imaginasi Kreatif Kanak-kanak, Kuasa Helah Aikido, Cerita Si Junior, Delegasi Remaja Jepun dan Graduan Automotif.
Selain kolum Rencana Utama, sisipan GenK juga menawarkan ruangan lain seperti Dulu Saya, Remaja, Kerjaya, Aktiviti, Akademi, Tip, Diari Wartawan dan Layar Kaca.
Perubahan demi perubahan GenK turut menyaksikan penampilan wartawan-wartawan berjiwa muda seperti Khadijah Mohamad, Faten Saphilla Mohamed Isa, Mohd. Yunus Yaakub, Aqmar Alladad, Syalmizi Abd. Hamid dan Mazlina Abdul Majid.
Akhbar Kosmo! yang semakin ‘membesar’ dengan jumlah sirkulasi dan pembacanya menyebabkan GenK terpaksa tampil lapan muka surat. Lebih padat dan ringkas sesuai dengan mood belia.
Perubahan tersebut sudah pun menjangkau sembilan bulan.
Apa yang pasti, dalam tempoh dua tahun tiga bulan ini GenK berjaya memaparkan segala macam kisah mengenai belia atau lebih tepat menyelongkar dunia generasi muda secara menyeluruh.
Daripada kisah belia di kampus, anak muda di jalanan, remaja ceruk kampung bahkan generasi muda luar negara.
Bagaimanapun, demi sebuah transformasi dalam usaha menguatkan lagi paparan Kosmo! kepada golongan belia, mulai minggu depan GenK akan bertitik noktah.
Ia bukan bermakna sebagai sebuah akhbar orang muda Kosmo! menafikan ruangan khas untuk generasi itu. Sebaliknya kami tampil dengan nama baru, wajah baru, tagline baru dan sudah tentunya penampilan yang serba segar.
Ia akan menemui pembaca mulai minggu hadapan.
Bagaimanapun, bagi melabuhkan tirai sebuah sisipan GenK, minggu ini kami mengajak pembaca mengembara kembali kenangan GenK menerusi beberapa muka depannya yang mungkin masih lagi mengusik minda anda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: