![]() |
| HATTAN bersama anak tunggalnya, Adam Eiman ketika hadir pada satu majlis di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur, dua tahun lalu. |
ELEPAS enam tahun bercerai dengan Arianie Mohd. Abidin, penyanyi lagu Biso Bonar, Hattan mengakui dia lebih memahami erti sebuah kehidupan. Bagi bapa tunggal yang berusia 47 tahun ini, walaupun rumah tangganya berkecai namun kehidupannya hari ini lebih tenang dan teratur.
Hattan atau nama sebenar, Mohd. Shukri Shahbuddin mengakui, perceraian telah menyedarkannya untuk bangkit dan sedar daripada lamunan dan nalurinya mendesak untuk dia mencari siapakah dirinya yang sebenar.
"Saya mengalami transisi dengan meninggalkan segala perbuatan nakal yang pernah saya lakukan selama bergelar artis.
"Dulu, saya memang kaki kelab (clubing) keluar dan masuk dari satu kelab ke satu kelab dan banyak menabur duit di situ. Larut malam barulah saya balik ke rumah.
"Selepas bercerai dengan Arianie, barulah saya tersedar bahawa saya perlu bawa satu tanggung jawab yang besar.
"Apabila saya renung semula kehidupan yang telah dilalui, secara perlahan-lahan saya tinggalkan tabiat lama saya kerana bukan mudah untuk berubah.
"Ia tidak boleh berubah 360 darjah dalam satu malam, namun saya bersyukur usaha dan hasrat saya dimakbulkan Allah SWT," cerita Hattan tatkala menyingkap zaman gelapnya sebagai artis.
Menurut Hattan, sebagai manusia bila sampai waktu berubah sudah tentu dia tidak mahu menjalani kehidupan lalu yang lalai terhadap perintah-Nya dan lupa akan tanggung jawab kepada keluarga.
Mengambil iktibar daripada keruntuhan rumah tangganya, Hattan kini lebih matang dalam tindak tanduknya dan iltizamnya mahu menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak tunggalnya, Adam Eiman yang kini berusia 13 tahun.
Hattan yang popular dengan lagu Mahligai Syahdu, Rindu Bertandang Lagi dan Rendang Tak berbuah berkata;
"Kehadiran Eiman menguatkan semangat saya untuk terus hidup biarpun kadang kala hati ini terasa sepi tanpa kehadiran seorang wanita yang bergelar isteri.
"Bohong kalau saya katakan tidak sunyi. Sepi hidup ini, hanya Tuhan yang tahu namun untuk mencari pengganti, biarlah dahulu kerana soal jodoh pertemuan, ajal maut ditentukan Allah SWT.
"Sebagai hamba-Nya, saya bersyukur kerana diberi peluang kali kedua untuk mengenali dan mencari siapakah diri saya yang sebenar.
"Hari ini, saya mampu berbakti kepada orang tua di kampung. Rezeki yang Allah bagi, saya buatkan rumah baru untuk emak.
"Semoga kehidupan saya lebih diberkati dan diredai Allah SWT kerana meniti perjalanan hidup hari ini seolah-olah saya dilahirkan semula," kata anak kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: