KUALA LUMPUR – Gejala kenaikan harga barang dan perbuatan segelintir peniaga mengambil keuntungan secara keterlaluan dijangka berakhir selepas penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 mulai hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui akta itu, kerajaan diberi kuasa mengawal kenaikan secara lebih berkesan.
“Sebagai contoh, suatu ketika dahulu, harga topeng muka naik mendadak selepas negara dilanda wabak H1N1 tetapi kementerian tidak mampu mengawalnya.
“Melalui akta ini, sekiranya kes seperti itu berulang, kerajaan boleh mengambil tindakan segera ke atas peniaga terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Ketua-Ketua Pengarang Media dan pihak pengurusan tertinggi kementerian di sini semalam.
Menurut Ismail Sabri, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 itu diwartakan bagi menggantikan Akta Kawalan Harga 1946.
Berbanding Akta Kawalan Harga 1946, akta baru itu disifatkan lebih berkesan terutamanya bagi mengawal kenaikan harga barang secara mendadak ketika darurat seperti pada waktu bencana dan kekurangan bekalan.
Akta baru itu juga, katanya, menjadikan kementerian mempunyai kuasa mengambil tindakan ke atas peniaga yang mengambil kesempatan tanpa perlu menunggu sesuatu barang diwartakan seperti dalam Akta Kawalan Harga sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: