![]() |
| Dua beranak yang saling melengkapi antara satu sama lain. |
USIA pembabitannya dalam bidang seni sudah pun menjangkau 31 tahun. Jika diimbas kembali, catatan perjalanan hidup seni berjalan sederhana saja. Selepas bergelar Juara Bintang RTM tahun 1980, tiada cerita kontroversi yang pernah dihebahkan membabitkan dirinya. Bagaimanapun, nama Rohana Jalil kembali disebut-sebut kala ini. Ia berlaku selepas masyarakat mula mengenali anaknya, Syakila Nisha atau nama pentas, Kilafairy.
KEHADIRAN bintang baru yang semakin mendapat tempat pada hari ini berkait rapat dengan ibunya. Bila penyanyi lagu Rayuan Ku ciptaan A. Ali ini didakwa ‘‘menjaja’’ anaknya kepada kalangan orang berpengaruh dalam industri seni. Alasannya agar Kilafairy lebih cepat dikenali. Khabar angin tersebut dusta, katanya.
Penyanyi berusia 56 tahun itu memberitahu, dia sendiri tak mengetahui bakat terpendam anaknya dalam bidang lakonan.
‘‘Saya orang yang sedar diri. Saya tahu, dulu saya bukan kesayangan peminat macam Allahyarham Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Khatijah Ibrahim atau Uji Rashid yang punya ribuan peminat.
‘‘Saya cuma Rohana Jalil yang tak berapa cantik, tak lawa berbanding rakan-rakan seperjuangan saya itu. Cukup sederhana dalam semua hal.
‘‘Tapi, apabila ada yang cakap saya tolong perkenalkan anak bongsu saya itu kepada orang-orang dalam seni ini, sebenarnya tak betul. Dia sendiri yang berusaha cipta nama sendiri tanpa pertolongan saya,’’ reaksi awal Rohana tatkala persoalan itu dibangkitkan.
Pun begitu, sehingga ke hari ini, Rohana masih terkejut dengan keupayaan Kilafairy dalam bidang yang diminati anaknya itu.
Telahan wanita ini, Kilafairy bakal menjejaki langkah sepertinya dalam bidang nyanyian. Apatah lagi sering menemani Rohana tatkala menjayakan persembahan pentas.
‘‘Saya memang perasan dia suka menyanyi. Lebih-lebih lagi lagu Hindustan. Ada juga dia menyanyi sambil berlakon dalam satu program televisyen masa kecil dulu. Tapi saya fikir ia sekadar berakhir di situ saja,’’ ujarnya.
Bagaimanapun, Rohana tak pernah menegah minat anaknya itu selain membenarkan perumpamaan ‘‘ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.’’
Pada masa yang sama, ibu kepada tiga anak ini berulang kali menerangkan selok belok dalam dunia seni kepada Kilafairy. Didikan itu bertujuan untuk menjadikan Kilafairy lebih bersedia untuk berdepan dengan cabaran sebagai anak seni.
‘‘Saya nak tengok dia hidup senang. Tak nak dia rasa susah payah. Macam yang pernah saya alami. Pergi merata ceruk tempat di seluruh negara untuk menghiburkan peminat. Perit sebenarnya.
‘‘Sebab itu saya ajar adik semua perkara asas. Tugas mendidik adik ini berterusan. Biarpun satu masa nanti adik popular dan punya kelompok peminat sendiri,’’ harapan wanita ini.
Rohana juga mahu Kilafairy tidak mudah lupa diri. Perlu menghormati orang lebih tua agar hidupnya lebih diberkati. Mengambil tauladan daripada dirinya bergelar penyanyi untuk menampung hidup keluarga.
‘‘Jadi anak seni ini bukan satu kerja mudah. Artis sekarang lebih beruntung sebab mereka mudah meraih publisiti berbanding zaman saya dulu. Sebab itu, guna peluang itu sebaik-baiknya,’’ nasihatnya yang turut ditujukan buat artis generasi baru hari ini.
Punya misi sendiri
Pelakon filem Karak ini pula menegaskan bahawa dia tak pernah menggunakan pengaruh ibunya untuk bertapak dalam industri. Apa yang berlaku adalah kebetulan selepas berada dalam set drama rantaian Hotel Mania. Masa itu menemani ibunya bertemu artis yang juga teman baik ibunya, Jaafar Onn.
‘‘Di situ titik permulaan segalanya. Selepas melepasi ujian uji bakat, perasaan untuk berlakon semakin memuncak. Walaupun hanya satu babak saja, tapi saya mahu lebih. Saya beruntung kerana ditawarkan untuk berlakon filem pada saat awal kemunculan menerusi KRU Studios.
‘‘Sebab itu, saya mahu tunjukkan sesuatu bahawa Kilafairy, anak Rohana Jalil ini sebenarnya mampu untuk berlakon. Bukan bersandarkan kepada rupa atau menumpang populariti mama semata-mata,’’ katanya bersemangat.
Pelajar Diploma Lanjutan Pengurusan dan Pemasaran Fesyen di Raffles International Advance, Ampang Selangor ini juga dilihat bersedia apabila persoalan risiko bergelar anak seni dilontarkan.
Katanya, dia tak terlalu mengambil berat tentang gosip. Apatah lagi kalau perkara itu tak betul. Perlu kuat semangat dan mental. Jangan sampai perkara itu memakan diri.
‘‘Saya baru berusia 19 tahun. Jauh lagi perjalanan yang perlu ditempuh. Sebab itu, banyak misi yang belum disasar. Saya perlu habis belajar dan rancang baik-baik masa depan.
‘‘Bila langkah awal saya digugat dengan kata-kata kurang enak, saya hanya berdiam. Saya tak boleh salahkan mereka. Mungkin mereka selama ini, hanya kelihatan wajah baik dan cantik. Tiba-tiba wajah eksotik ini keluar, ramai yang mengata macam-macam,’’ ceritanya.
Tak pernah bercinta
Topik ini memang paling diminati. Kilafairy mendedahkan bahawa dia tak pernah bercinta sejak sekolah rendah hingga kini. Bagaimana rasa di alam percintaan itu hanya didengari daripada rakan-rakan terdekat.
Bila ditanya kenapa Kilafairy enggan bercinta, jawabnya, dia belum jumpa lelaki yang benar-benar faham dan serasi dengan jiwa.
‘‘Mungkin ramai yang gelak apabila dapat tahu saya tak pernah ada kekasih. Saya takut menyerahkan cinta saya kepada lelaki. Bimbang kalau terluka. Orang cakap kalau tak pernah rasa, macam mana boleh cakap macam itu. Bagi saya, tak salah.
‘‘Mungkin juga sebab saya jenis yang keras hati. Saya tak suka mudah jatuh hati atas alasan tak kukuh. Tak kisah kalau perlu tunggu lama. Biarlah, asalkan dia benar-benar ikhlas menerima saya dan keluarga seadanya,’’ ceritanya.
Mengulas tentang apa yang menyebabkan Kilafairy membulatkan hatinya sebegitu, jawabnya dia mahu bakal pasangan itu berhati cekal. Sedia berkongsi di kala suka dan duka bersamanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: