Friday, April 1, 2011

'Rasa Macam Nak Mati, Tertidur Dalam Tandas' - Zizan Nin

Zizan Nin agak sibuk dengan tawaran berlakon sejak akhir-akhir ini.

KUALA LUMPUR: Pelakon Zizan Nin meluahkan perasaan apabila merasakan dirinya seperti hendak mati kerana terlalu sibuk dengan jadual penggambaran.

Zizan berkata, kesibukan itu menyebabkan waktu rehatnya terganggu sehingga dia pernah tertidur di dalam tandas akibat terlalu penat.

"Pada hari pertama saya menjalani penggambaran sebuah program kecantikan Ayu & Tampan, saya sudah bangun seawal pukul 3 pagi kerana perlu berada di lokasi pada pukul 5.30 pagi.

“Disebabkan saya tidak sihat, saya tertidur dalam tandas sehinggalah dikejutkan oleh isteri saya,” ujarnya.

Menurut Zizan, selepas dia ke klinik, doktor menasihatinya supaya berehat dengan memberinya cuti sakit tetapi dia terpaksa juga ke lokasi penggambaran kerana perlu meneruskan kerja yang telah dijanjikan

Zizan dan Juliana bergandingan dalam Ayu & Tampan.

Kata Zizan, sebelum ini dia sibuk dengan penggambaran drama 13 episodMimi Mencari Cinta di samping pelakon Scha Al-Yahya selain berlakon untuk siri televisyen Ayu & Tampan sebagai penyiasat imej.

Siri tersebut merupakan program berbentuk drama dan temu bual melibatkan tiga jenama kecantikan dan kesihatan iaitu Yun Nam Hair Care, London Weight Management dan New York Skin Solutions.

Ia akan disiarkan bermula 4 April ini pukul 5.30 petang di TV3. Selain Zizan, siri berkenaan turut dilakonkan oleh Juliana Ibrahim.

Jelas Zizan, dia perlu mematuhi masa yang ditetapkan semasa penggambaran siri tersebut walaupun tugasnya agak berat.

"Jadual saya sangat sibuk sehingga kadangkala saya hanya boleh tidur dua hingga tiga jam. Walaupun tidak sihat, saya tidak boleh batalkan temu janji untuk menemu bual pakar dan pelanggan untuk program berkenaan kerana ia telah melibatkan jadual mereka.

"Jika tidak, saya akan menimbulkan masalah kepada pihak produksi dan pihak lain yang terlibat kerana kami perlu menyelesaikannya pada masa yang ditetapkan," katanya.

Bercerita tentang pengalaman menemu bual pihak terbabit, Zizan tiada masalah kerana dia pernah mengendalikan program yang hampir sama berjudul Pakar Kecantikan musim ketiga.

"Saya suka bertanya seperti bagaimana mereka mendapatkan rawatan dan kebanyakan pelanggan menjawab berdasarkan pengalaman sendiri. Untuk permulaan dan akhir siri ini, saya dan Juliana perlu berlakon sedikit sebagai wartawan imej sebuah syarikat majalah

"Saya lebih fokuskan kepada persoalan melibatkan masalah kulit dan rambut manakala Juliana lebih kepada masalah berat badan," katanya yang sibuk dengan penggambaran siri tersebut sepanjang Mac dan April ini.

Sempena pelancaran siri 12 episod ini, ketiga-tiga jenama itu memulakan peraduan pencarian 'Cover Model' bagi mereka yang inginkan perubahan imej.

Peraduan ini bermula 31 Mac lalu dan dibuka kepada lelaki dan wanita yang mempunyai masalah rambut, berat badan atau kulit. Mereka harus berumur 18 tahun ke atas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: