Tuesday, April 12, 2011

Ramli MS Sangkal Aiman (Mentor 5) Tak Boleh Menyanyi

Aiman menyanyikan empat lagu medley ketika konsert kedua Mentor 5 kumpulan B di Dewan MBSA, Ahad.

SHAH ALAM: Datuk Ramli MS, selaku juri tetap Mentor musim kelima, menyangkal dakwaan mengatakan Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakin Ridza Abdoh , iaitu protégé kepada Rahim Maarof tidak boleh menyanyi.

Malah dakwaan berbaur sinis itu turut mengatakan penyertaan Aiman dalam Mentor 5 hanya bersandarkan kepada rupa paras yang kacak semata-mata sedangkan suaranya tidak mampu menyerlahkan bakat nyanyiannya.

“Aiman bukan tidak boleh menyanyi langsung sebaliknya dia mempunyai kelemahan dari segi pengalaman berbanding protégé lain,” kata Ramli ketika menjawab soalan yang ditujukan kepada Aiman.

Datuk Ramli MS.

Sementara Aiman,22, hanya terdiam seolah-olah tergamam dengan soalan tersebut ketika sidang media selepas selesai konsert kedua kumpulan B di Dewan Majlis Bandaraya di sini, Ahad.

Bagaimanapun dalam sesi soal jawab selepas itu, peserta berasal Shah Alam itu akui tertekan kerana mendapat markah terendah berbanding dua peserta kumpulan tersebut iaitu Salma (Erra Fazira) dan Iqa (Edry Abdul Halim).

“Saya rasa tertekan tetapi tekanan yang positif. Tetapi saya rasa persembahan pada malam ini (Ahad) sudah all out.

“Saya boleh menyanyikan pelbagai jenis rentak lagu seperti balada, R&B dan rock. Selepas ini, terpulang pada Abang Rahim untuk menentukan jenis lagu yang saya akan persembahkan,” kata Aiman.

Aiman ketika berduet lagu Aku dan Dirimu dengan Shiha.

Dia menyanyikan medley empat lagu iaitu Ekstravaganza (Bunkface), Larut (Dewa), ACKKC (Rahim Maarof) dan Holy Diver (Killswitch Engage) serta duet lagu Aku Dan Dirimu (Ari Lasso dan Bunga Cinta Lestari) dengan Shiha.

Dalam pada itu, Rahim akui Aiman menunjukkan prestasi yang semakin meningkat berbanding sebelum ini.

“Saya rasa Aiman melakukan banyak peningkatan kerana saya mengambilnya dari tiada apa-apa dan dia tidak pernah menyertai pertandingan nyanyian.

“Saya lihat kekuatan Aiman kerana dia mampu menyanyikan lagu blues, soul dan R&B. Dia juga boleh menari kerana dia juga merupakan bekas pemain bola sepak di posisi penyerang dan pemain tengah.

“Ini kerana semasa berlatih bola sepak, biasanya dia akan melakukan gerakan seperti menari,” jelasnya.

Mentor 5 disiarkan di TV3 pada setiap Ahad, pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: