Wednesday, April 13, 2011

Pengalaman agih zakat Mabims


Kesedaran syarikat korporat menunaikan zakat membolehkan lebih ramai golongan asnaf mendapat pembelaan dan manfaat menerusi sistem agihan di bawah Baitulmal.


Tidak ada manusia yang ingin hidup dalam kemiskinan. Namun, ada di antara kita yang menghadapi cabaran tersebut. Kemiskinan dan kesusahan adalah sebahagian daripada ujian Allah terutama di kalangan orang beriman.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dalam harta benda dan jiwa serta hasil tanaman, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155)

Memanglah kemiskinan berlaku di mana-mana. Ia bukan sahaja menimpa umat Islam tetapi juga lain-lain bangsa termasuk di negara maju sekali pun.

Cuma, yang indahnya, Islam mempunyai jalan penyelesaian dalam masalah kemiskinan ini. Antaranya, kewajipan berzakat di samping amalan sunat lain seperti sedekah, hibah, wakaf dan sebagainya.

Dalam bab zakat, isu paling menarik untuk dibahaskan adalah soal agihan atau pengurusan dana zakat yang jumlahnya menjangkau jutaan ringgit setiap tahun.

Antara soalan yang sering dibangkitkan, di manakah wang zakat diagihkan dan sekali pun wang zakat ini dibelanjakan kesemuanya mengapa masih ada asnaf fakir miskin dalam sesebuah negeri dan negara.

Menyedari bahawa zakat boleh menjadi instrumen yang berkesan dalam pembasmian kemiskinan di kalangan asnaf fakir dan miskin, wakil negara-negara anggota Mabims iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura berhimpun dalam Seminar Zakat Serantau 2011 di Hotel Legend, Kuala Lumpur, akhir Mac lalu.

Seminar dua hari bermula 22 Mac itu bertemakan 'Dana Zakat: Wasilah Pembasmi Kemiskinan Asnaf' dan dihadiri oleh kira-kira 200 peserta dalam dan luar negara.

Ia dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Turut hadir, Ketua Pengarah Jawhar, Datuk Dr. Sohaimi Mohd. Salleh.

Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan oleh wakil-wakil negara Mabims.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail memberitahu, setakat ini Baitulmal MAIWP mempunyai 27 skim bantuan zakat.

Katanya, kesemua skim tersebut mendapat peruntukan masing-masing hasil kutipan zakat dan pendapatan berkaitan seperti hasil sewaan dan keuntungan pelaburan sebanyak RM293.4 juta tahun 2010.

Jumlah yang dibelanjakan untuk agihan zakat pada tahun 2009 adalah RM304 juta manakala bagi tahun 2008 (RM213.2 juta).

"Terdapat tiga program khas MAIWP dalam menjadikan zakat sebagai salah satu instrumen membasmi kemiskinan.

"Program itu adalah program pembangunan sosial, program pembangunan pendidikan dan program pembangunan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja Zakat Wasilah Pembasmi Kemiskinan: Pengalaman MAIWP.

Dana agihan paling banyak disalurkan kepada program pembangunan sosial terutama program bantuan bulanan sebanyak RM250 ke RM500 kepada asnaf fakir miskin selama setahun.

Jumlah bantuan pada tahun 2010 meningkat kepada RM42.1 juta (10,768 penerima) berbanding tahun 2009 iaitu RM29.2 juta (8,729 penerima).

Lain-lain bantuan yang diterima adalah tempat tinggal, pendidikan untuk anak-anak dan bantuan perubatan.

Menurut Dr. Yamin, di bawah program pembangunan ekonomi, bantuan disalurkan kepada aspek bantuan perniagaan, deposit sewa beli teksi, deposit bas/van sekolah dan pertanian.

Bagi tempoh tahun 2008 hingga 2010, katanya, MAIWP membantu 2,674 penerima dengan nilai RM10.5 juta untuk bantuan perniagaan.

"Dalam tempoh yang sama MAIWP mengagihkan dana zakat sebanyak RM5.24 juta untuk bantuan deposit membeli teksi dan RM194,504 untuk bantuan pertanian," katanya.

Dr. Yamin memberitahu, pendidikan mendapat perhatian utama MAIWP kerana melaluinya dapat melahirkan generasi yang bebas daripada kemiskinan.

Untuk itu, katanya, MAIWP menyediakan bantuan dermasiswa untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Pelajar sekolah rendah menerima antara RM420 hingga RM540 manakala sekolah menengah antara RM600 hingga RM1,200.

Pada masa yang sama, kata beliau, pihaknya turut menyediakan bantuan dalam bentuk Bantuan Am Pelajaran dan Biasiswa Baitulmal MAIWP kepada pelajar di institusi pengajian tinggi.

"Dalam tempoh 2008 hingga 2010, kira-kira RM50 juta diagihkan untuk dermasiswa, bantuan am pelajaran dan biasiswa," jelasnya.

Di Brunei, selain menyediakan bantuan untuk pendidikan, bantuan keperluan asasi dan bantuan serta merta, kerajaan Brunei memperkenalkan Program Pengupayaan Asnaf Zakat (Propaz) mulai Disember 2005.

Ia bertujuan memberi latihan dan kemahiran kepada asnaf fakir miskin supaya mereka berupaya berusaha sendiri dan melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

Pegawai Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Brunei Darussalam, Muhammad Shukri Ahmad berkata, Propaz dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Belia dan Sukan Brunei.

"Antara kursus yang ditawarkan adalah masakan dan penyajian makanan, kerja paip dan pendingin hawa, solekan, kemahiran mengimpal dan kemahiran komputer," jelasnya.

Menurut Shukri, jabatan itu juga bercadang memperkenalkan Skim Perantis dalam masa terdekat ini kepada golongan fakir dan miskin.

Katanya, ia bagi memberi latihan kemahiran dan penempatan kerja kepada asnaf terlibat sesuai dengan kehendak pasaran.

"Pada masa yang sama, usaha menubuhkan Koperasi Pegawai-pegawai dan kakitangan KHEU sedang giat dijalankan.

"Ia bertujuan membantu peserta lepasan Propaz untuk memudahkan mereka berdikari sama ada sebagai pekerja atau menguruskan peniagaan sendiri," katanya.

Bagaimanapun, Shukri berkata, cabaran utama adalah segelintir pemohon menganggap zakat sebagai bantuan biasa dan tidak mempedulikan hak yang telah ditentukan oleh syarak.

Katanya, kebanyakan penerima zakat juga terlalu bergantung kepada agihan tersebut berbanding berusaha untuk lebih berdikari.

"Penglibatan semua peringkat masyarakat dan latar belakang adalah penting dalam menangani kemiskinan tanpa berharap kepada pihak kerajaan sahaja," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: