Friday, April 15, 2011

Nasi kandar daun pisang di SDCC


Zainuddin Abu Hassan bersama hidangan nasi kandar.


SEPANJANG bulan April ini, restoran Halia, di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, akan menghidangkan menu istimewa, nasi kandar khusus untuk penggemar makanan itu.

Nama nasi kandar mengambil nama sempena peniaga zaman dahulu yang memikul (kandar) dua bekas besar yang mengandungi nasi dan bahan-bahannya untuk jualan.

Kini, nasi kandar merupakan hidangan yang popular untuk seisi keluarga terutamanya di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Hanya berharga RM18 setiap set, Nasi Kandar Daun Pisang boleh anda miliki di SDCC dengan pilihan mewah dua atau empat lauk digoreng seperti ayam, ikan, udang dan sotong sebagai menu utama.

Hidangan ini juga akan bertemankan perasa seperti sayur-sayuran dan acar bersama kari ayam, ikan dan dalca.

Diketuai Chef Sous Eksekutif, Zainuddin Abu Hassan dan kumpulannya menyediakan hidangan ini menggunakan sentuhan elemen nasi kandar menggunakan daun pisang yang sudah tentu menaikkan aroma hidangan berkenaan.

Dalam pada itu Zainuddin berkata, istimewanya nasi kandar istimewa ini ialah apabila dia menggunakan pisang muda di dalam dalca kambing.

''Tambah lagi bagi kari kepala ikan, kita menggunakan ikan salmon sebagai menggantikan ikan yang biasa digunakan iaitu ikan merah, begitu juga kentang potong bergoreng cili, peria dan perasa-perasa lain.

''Bukan itu sahaja, nasi putih yang dimasak ditumis terlebih dahulu dengan bawang dan daun kari untuk menaikkan rasa dan aroma asli," jelasnya yang berasal dari Pulau Pinang.

Selain hidangan bergoreng seperti ikan, ayam, sotong, ia termasuk juga burung puyuh, ikan tenggiri, ikan selar, ikan kembung, bawal, udang dan sebagainya.

SDCC dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11 malam untuk makan malam dan tengah hari. Jika hendak membuat tempahan anda boleh menghubungi talian 03-20893799 atau emel, halia.sdcc@simedarby.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: