|
|
WALAUPUN bertubuh kecil, kelantangan vokal yang dimiliki oleh naib juara program realiti televisyen (TV) My Starz LG musim kedua, Nashrin, mampu meremangkan bulu roma pendengar.
Menyedari pentas hiburan kini dibanjiri artis yang lahir daripada pelbagai program realiti, jejaka berusia 22 tahun itu optimis dalam memberi saingan untuk diterima peminat.
Katanya, sebagai permulaan, single pertamanya berjudul Fobia Cinta gubahan Audi Mok sementara lirik oleh Shah Shamsiri, mendapat sambutan daripada pendengar setia dua stesen radio swasta popular, Hot FM dan Era FM.
Malah, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu mampu menarik nafas lega apabila lagu percubaannya itu berjaya menghuni carta lagu popular buat kedua-dua stesen radio berkenaan.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kredibiliti nyanyian saya mendapat respons positif banyak pihak.
“Apabila lagu saya menjadi pilihan ramai, saya menganggap langkah seni saya direstui oleh para peminat.
“Saya akui, lambakan bintang realiti memberi saingan yang sengit sebagai seorang penyanyi.
“Namun saya percaya, setiap individu mempunyai pintu rezeki masing-masing. Dengan adanya pesaing, ia boleh dijadikan pemangkin buat saya untuk menjadi lebih baik,” ujar bekas kakitangan Public Bank itu.
Mengulas mengenai kariernya kini, Nashrin atau nama sebenarnya Wann Nashrinie Zafri itu memberitahu, single keduanya telah pun siap dan bakal dihantar ke stesen-stesen radio untuk diputarkan.
Lagu berjudul Percaya Pada Luka itu adalah ciptaan sepenuhnya oleh Ashraf yang merupakan suami kepada penyampai radio Hot FM, Leya.
“Ia adalah sebuah lagu berentak pop balada dengan susunan muzik yang begitu membelai jiwa,” katanya sambil menjelaskan, klip video lagu berkenaan telah pun disiapkan di bawah arahan pelakon dan penyanyi, Sein.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: