
HARIMAU yang mati dibunuh selepas pencerobohan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq lapan tahun lalu di Zoo Baghdad masih diingati orang ramai. Hari ini, harimau itu menjadi inspirasi sebuah teater yang telah menghimpunkan ulasan hebat di pentas teater Broadway di New York.
Penulis drama Rajiv Joseph memberitahu, teater Bengal Tiger at The Baghdad Zoo yang dipersembahkan baru-baru ini di Broadway, New York bersama peneraju utama, Robin Williams dibuat berdasarkan kejadian sebenar.
Enam bulan selepas pencerobohan pada Mac 2003, harimau yang dinamakan Mamdouh mati ditembak oleh tentera AS yang mabuk menyebabkan peristiwa tersebut dijadikan tajuk utama berita antarabangsa.
Pengarah zoo berkenaan, Adel Salman Musa berkata, Mamdouh sangat istimewa dan ia merupakan anugerah paling berharga di zoo berkenaan.
“Bagi kami, haiwan itu istimewa bukan hanya kerana ia spesies harimau Bengal yang sukar ditemui tetapi juga kerana kami telah membesarkannya sejak ia dilahirkan.
“Mamdouh yang berusia kira-kira 14 bulan pada masa itu sangat kuat. Ia selamat daripada lapar dan haus. Ia hanya mati secara tidak masuk akal beberapa bulan kemudian,” kata Adel yang berusia 54 tahun.
Mati kelaparan
Adel mengimbau kembali perkara tersebut selepas pencerobohan tentera AS yang menyebabkan beratus-ratus haiwan di zoo dibunuh, dicuri atau mati kelaparan dalam sangkar.
Dedahnya, disebabkan keadaan begitu sukar, dia terpaksa membunuh babi untuk diberi makan kepada harimau dan beberapa haiwan lain yang kebuluran.
Pencerobohan ke atas Iraq telah menyebabkan pemberontakan Al-Qaeda menyasarkan askar AS sebagai mangsa, bahkan setiap hari di mana-mana sahaja orang awam yang tidak berdosa ditangkap ketika pertempuran dan yang lebih malang ada yang kehilangan nyawa.
Jalan utama serta lorong di negara yang bersempadan dengan enam negara itu kemudian dikawal oleh askar-askar muda AS yang tidak faham bahasa penduduk tempatan mahupun adat mereka.
Hanya beberapa bulan lalu, WikiLeaks mendedahkan tentera AS sendiri mengakui membunuh rakyat Iraq yang tidak bersalah kerana mereka dihantui ketakutan.
Antara mangsa keganasan tersebut adalah harimau Bengal, yang merupakan spesies yang semakin terancam dan berkurangan.

Haiwan yang dilindungi di seluruh dunia dibunuh ketika beberapa askar AS mengadakan parti di zoo berkenaan. Seorang askar AS kemudian memutuskan untuk berkongsi makanannya dengan harimau itu.
Tindakan berani anggota tentera tersebut menjangkau tangannya ke dalam sangkar dengan sepotong daging menyebabkan harimau yang sedang lapar bertindak pantas menerpa ke hadapan dan membaham lengannya. Situasi itu mengakibatkan harimau itu mati ditembak rakan mangsa.
“Ada antara kakitangan zoo menitiskan air mata apabila mendengar Mamdouh mati. Selain itu, kami juga menanggung begitu banyak penderitaan seperti sekatan dan kebuluran apabila zoo kami tidak mempunyai bekalan makanan,” kata seorang doktor haiwan zoo berkenaan, Abubakr Farouq.
Keganasan
Kini di atas pentas, ‘hantu’ Mamdouh menghidupkan semula aksi sebagai seekor harimau ‘mulut cabul’ menyaksikan keganasan Baghdad dan menghantui askar yang membawa kematiannya.
The New York Times menggelar teater itu sebagai pintar, keganasan berkonsep lucu dan teater AS yang penuh visi baru.
“Saya terkejut dan gembira apabila Mamdouh masih diingati terutama dalam bentuk teater,” kata Abubakr.
Pada hujung minggu Jumaat lepas, orang ramai berpusu-pusu berbaris sepanjang dua kilometer untuk memasuki taman Zawra Baghdad, tempat perkelahan keluarga yang lengkap dengan sebuah zoo dan kemudahan lain.
Di dalam zoo, Mamdouh telah digantikan oleh Riley dan Hope yang merupakan dua ekor harimau Bengal sumbangan AS, malah negara berkenaan turut membayar pampasan sebanyak AS$23,000 (RM69,529) untuk harimau yang telah mati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: