Saturday, April 23, 2011

Makan hati diabai isteri berpangkat

APABila difikir dan dikenang, benar juga kata pepatah, enggang dan pipit masakan dapat terbang bersama.

Dulu, semasa bercinta semua itu tidak diambil kira sebab sudah terlalu suka dan sayang. Kini setelah hidup bersama segala yang baik dulu mula menampakkan negatifnya.

Ketika ini apa lagi yang harus dilakukan, bertahan atau membuat keputusan untuk berpisah?

Begitu persoalan yang bermain di fikiran lelaki ini, yang menamakan dirinya sebagai Roy (bukan nama sebenar), berusia lewat 20-an.

Perkahwinan Roy dengan Ima (bukan nama sebenar) yang lima tahun lebih tua, mula menampakkan masalah setelah tiga tahun hidup bersama. Mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Saya bertemu Roy atas permintaannya kerana dia mahu meluahkan segala yang terbuku di hati secara berdepan. Pertemuan di sebuah kafe di Shah Alam membuatkan saya kagum ketelusan lelaki ini dalam mempertahankan rumah tangganya.

Sayangnya, kata Roy, hanya dia yang berusaha ke arah itu tetapi isterinya hanya seperti melepas batuk di tangga. Kita ikuti apa cerita Roy seterusnya.

"Saya tidak berpangkat besar, hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Isteri berkelulusan tinggi dari luar negara. Dia pegawai tinggi di sebuah agensi pemasaran yang popular.

"Kami berkenalan dalam satu majlis. Kemudian berterusan di tempat kerja kerana syarikat tempat saya bekerja dan syarikat yang dia terajui mempunyai urusan bisnes yang agak besar.

"Tiga bulan berkawan, saya mula jatuh hati kepada Ima begitu juga dengan dia. Kami selalu keluar bersama dan Ima juga selalu meminta tolong saya jika dia ada masalah.

"Kemesraan itu berputik menjadi cinta dan akhirnya kami mengaku saling cinta mencintai dan tidak boleh berpisah lagi. Saya kemudian melamar Ima walaupun tahu kedudukan saya dan dia bagaikan pipit dengan enggang.

"Kata Ima dia tidak pandang itu semua asalkan saya sayang dan boleh menjaga dan membimbingnya apabila kami telah menjadi suami isteri.

"Keluarga saya mulanya menentang begitu juga keluarga Ima. Ima sudah tidak mempunyai ibu bapa kecuali seorang adik lelaki dan kakak yang telah mempunyai keluarga sendiri.

"Tahun pertama rumah tangga kami aman bahagia. Saya dinaikkan pangkat sebagai eksekutif hasil usaha saya untuk mencapai kejayaan agar tidak dikatakan menumpang kedudukan Ima.

"Begitu juga dengan Ima, rezekinya melimpah ruah selepas kami bernikah. Di sebalik kejayaan itu, Ima sering pula ke luar negara meninggalkan saya seorang diri. Ada masa sampai sebulan dua dia ke luar negara.

"Pada mulanya saya boleh tahan tetapi lama-kelamaan saya mula bosan kerana selalu ditinggalkan isteri. Selain bekerja di luar negara, Ima juga selalu bercuti dengan kawan-kawannya. Hujung minggu pula dia selalu tidak ada di rumah, aktiviti sosial pula katanya.

"Begitulah hidup saya sebagai suami. Sunyi sama seperti hidup semasa bujang. Namun sebagai suami saya juga selalu menegur dan menasihatinya supaya memberi ruang juga kepada rumah tangga kami.

"Apabila ditegur, dia melenting dan mengatakan saya mengongkong hidupnya. Ini bukan soal mengongkong tetapi tanggungjawab sebagai isteri terhadap rumah tangga. Saya juga teringin mengisi masa bersama isteri sama seperti pasangan suami isteri lain.

"Paling saya tidak tahan, sekarang Ima mula mengungkit tentang perkahwinan kami. Katanya kalau dia tidak terima saya, entah apa jadi dengan saya sekarang.

"Begitu juga dengan kemewahan yang saya kecapi sekarang, katanya semua kerana dia.

"Pada hal saya berusaha sendiri untuk berjaya seperti yang saya ada sekarang selepas kami berkahwin sebab saya tahu suatu hari nanti dia akan mengungkit. Sekarang perkara itu sudah menjadi kenyataan.

"Saya geram dengan sikapnya. Di rumah saya dilayan macam kawan-kawan. Makan minum, pakaian semuanya saya buat sendiri. Ibu bapa dan keluarga mula memulang paku buah keras kepada saya, itulah hendak sangat wanita berkerjaya yang hebat.

"Saya berharap rumah tangga saya dengan Ima masih boleh diselamatkan. Cinta saya kepadanya tidak pernah padam. Saya akui sebagai suami saya mungkin gagal membimbing Ima menjadi isteri yang baik tetapi tu tidak bermakna saya telah kecewa.

"Saya akan berusaha memulihkan hubungan kami. Pada saya ia bukan perkara mustahil sebab saya tahu Ima jadi begitu sebab terpengaruh dengan kawan-kawan. Saya akan berusaha memujuk dan menasihatinya supaya ingat janji kami dulu.

"Saya berdoa agar suatu hari nanti Ima akan sedar kesilapannya dan kembali ke pangkal jalan. Saya yakin dia boleh menjadi seorang isteri yang baik," kata Roy menutup cerita.

Itulah luahan hati seorang suami yang tercalar dek sikap isteri yang terlalu mementingkan kerjaya dan melupakan suami.

Saya beritahu Roy masih ada ruang untuk memulihkan keadaan. Cadangan saya, ajak Ima bercuti, pilihlah destinasi yang boleh membantu mengembalikan kenangan manis seperti zaman anda berdua bercinta dulu.

Kata orang, sekeras-keras kerak nasi, apabila dicurah air, akan lembut juga. Saya mendoakan rumah tangga Roy dan Ima akan kembali bahagia. Semoga segala urusan ke arah itu akan dipermudahkan Allah SWT.

Pesanan saya kepadanya, semalam adalah mimpi yang telah berlalu, esok adalah impian yang indah sementara hari ini adalah satu kenyataan. Salam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: