Thursday, April 21, 2011

Mahu kahwin tahun ini




SUDAH hampir beberapa bulan desas-desus majlis pertunangan antara aktor Zahiril Adzim dan pengacara program Wanita Hari Ini, Shera Ayob bertebaran.

Pasangan merpati dua sejoli itu yang mula rapat sejak terlibat sama dalam filem seram Sesuatu Yang Tertinggal dilihat sudah tidak segan untuk melihatkan kemesraan seperti pasangan kekasih yang lain di depan khalayak ramai.

Ke mana sahaja langkah Zahiril dalam acara hiburan pastinya ditemani Shera. Saat disoal status hubungan, kedua-duanya tersipu malu, namun yang pasti cinta sedang mekar di hati kedua-duanya.

Zahiril ketika ditemui selepas beraksi di pentas teater berjudul Short Eyes di The Actor Studio pada pertengahan Mac lalu enggan bercerita lanjut mengenai isu pertunangan. Namun, ditemui sekali lagi selepas tayangan perdana filem seram pertama lakonannya, Senjakala baru-baru ini, Zahiril mula membuka mulut.

Katanya, dia bakal bergelar tunangan orang pada 1 Mei ini, malah kad jemputan untuk majlis tersebut juga sudah mula diedarkan kepada pihak media.

"Ya, saya akan bertunang pada 1 Mei ini di kediaman keluarga Shera di Ipoh, Perak," akuinya.

Soal persediaan untuk majlis pertunangannya itu, jelas Zahiril, pihaknya tidak membuat persediaan yang besar kerana majlis akan berlangsung di kediamaan keluarga Shera, jadi sudah pastilah sebelah pihak perempuan yang lebih sibuk membuat persiapan.

"Persiapan saya tidak berapa hebat sebab saya hanya menghantar rombongan sahaja. Cuma selesai sahaja penggambaran drama lakonan terbaru saya iaitu Juvana, saya akan bercuti sehinggalah majlis pertunangan itu nanti," jelasnya.

Jejaka berusia 27 tahun itu memberitahu meskipun perkenalan antaranya dan Shera belum menjangkau masa setahun, tetapi dia yakin dengan pilihannya.

Menurut Zahiril lagi, perkenalan yang lama bukan penentu kepada sesuatu hubungan.

"Saya kenal diri saya selepas kegagalan dalam beberapa hubungan cinta daripada saya kecil hinggalah dewasa.


ZAHIRIL bergandingan dengan gurunya, Namron dalam teater Short Eyes dan filem Bunohan.


"Perasaan saya terhadap Shera berbeza. Setiap hubungan pasti ada pasang surutnya, begitu juga dengan kami. Walaupun kami bergaduh, kami tidak ada masalah untuk berbaik balik," ungkapnya.

Tutur Zahiril lagi: "Bila saya yakin saya sudah jumpa wanita yang saya cari-cari selama ini, buat apa nak tangguh perkara yang baik.

"Lagipun saya bukannya muda lagi, saya yakin saya mampu untuk membawa hubungan kami ke fasa yang seterusnya."

Bercakap mengenai cabaran bercinta sesama selebriti, akui Zahiril cabarannya lebih besar, bagaimanapun sudah pilihannya orang yang sama bidang dengannya, apa yang penting adalah kepercayaan dan menghormati kerjaya masing-masing.

"Saya rasa tidak ada masalah kerana semuanya terpulang kepada diri sendiri, bagaimana untuk menguruskan hubungan itu. Paling penting, pada saya adalah kami harus saling percaya dan menghormati kerjaya masing-masing," luahnya.

Anak kelahiran Taiping, Perak yang dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor itu juga tidak gusar andai popularitinya menurun selepas bertukar status kepada tunangan orang ataupun suami orang selepas ini kerana yakin peminat drama dan filem kini sudah lebih matang.

"Ramai juga yang tanya tidak takutkah populariti menurun sebab bertunang sedangkan nama saya tengah naik, bagi saya tidak ada sebarang masalah. Peminat hari ini lebih matang, benda elok dan niat yang betul insya-Allah rezeki saya akan sentiasa ada.

"Lagipun saya tengok ramai pelakon lelaki yang sudah berkahwin tetapi masih mempunyai peminat yang ramai. Kalau lakonan saya diminati, saya masih akan berlakon," katanya.

Zahiril, dia tidak mahu bertunang dalam tempoh yang lama kerana jika boleh, dia mahu menjadi raja sehari dalam tahun ini juga.

"Cabaran bertunang ini saya dengar macam-macam, jadi kalau boleh saya tidak mahu lama-lama.

"Kalau ada rezeki tahun ini juga saya mahu kahwin. Lagipun kami berdua sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab selepas berkahwin kelak," katanya lagi dalam nada gembira.

Zahiril pilihan tepat - Shera

Shera Ayob atau nama sebenarnya Nur Syahirah Aiyob, yang dihubungi Kosmo! juga tidak menyembunyikan majlis pertunangannya.


ZAHIRIL dan Shera nekad dan tekad melalui cabaran dalam menjalinkan hubungan sesama selebriti.


Dia yang sebelum ini pernah bercinta dengan aktor Kamal Adli memberitahu dia menyukai Zahiril kerana sikap lelaki itu yang gemarkan hidup berkeluarga.

Tutur gadis berusia 25 tahun itu lagi, sikap penyayang dan bertanggungjawab yang ada dalam diri Zahiril menyebabkannya yakin untuk menjadi suri hati aktor itu.

"Apa yang saya nampak, dia lelaki yang sukakan keluarga, mengambil berat dan bertanggungjawab. Dia yakin dan tahu apa yang dia lakukan. Saya yakin saya boleh bergantung kepadanya dalam apa jua situasi," kata Shera mengenai kekasihnya itu.

Shera yang juga pelakon utama dalam filem seram terbitan KRU Studios yang berjudul Karak menjelaskan, pada mulanya keluarganya tidak yakin dengan pilihannya selepas kegagalan hubungannya dengan pelakon Kamal Adli.

Bagaimanapun, selepas dia membawa sendiri Zahiril berjumpa kedua-dua orang tuanya, barulah mereka yakin dan memberi restu sepenuhnya terhadap hubungan mereka.

"Keluarga takut saya terluka lagi sebab itu mereka berhati-hati dengan pilihan saya. Selepas mereka kenal Zahiril, semuanya jadi okey. Sebelum ini, saya kenal Kamal sebelum dia jadi pelakon, jadi sukar untuk saya untuk mengawal dan memahami yang saya harus berkongsi kekasih saya dengan orang ramai.

"Tetapi sekarang saya sudah banyak belajar daripada perhubungan yang lalu. Saya kena faham kerjayanya dan faham yang dia bukanlah milik saya seorang tetapi juga peminat. Bertolak ansur dan saling percaya antara satu sama lain merupakan kunci utama buat kami berdua," kata anak sulung daripada tiga beradik itu lagi.

Sambung Shera, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab seorang isteri, justeru itu sama seperti Zahiril, dia juga enggan mengikat tali pertunangan dalam tempoh yang lama.

"Kami merancang untuk berkahwin dalam tahun ini juga, tetapi setakat hari ini belum ada sebarang tarikh yang dapat disahkan," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: