BARU...Bashir (kiri) melawat kedai kosmetik Colours dan Fragrances yang baru dibuka di KLIA, kelmarin.
MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) mengunjurkan satu pertiga daripada sasaran perolehannya akan disumbangkan oleh perkhidmatan komersial menjelang 2014.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Komersial, Faizah Khairuddin berkata, menjelang 2014 MAHB menyasarkan satu bilion ringgit daripada perkhidmatan komersial “Bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2010, perolehan MAHB ialah RM1.812 bilion dengan perkhidmatan komersial menyumbang kira-kira 35 peratus daripada jumlah itu,” katanya pada majlis pelancaran kedai komestik baru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, kelmarin.
Beliau berkata pada masa ini sumbangan utama jualan komersial ialah daripada KLIA yang dianggap sebagai hab membeli-belah, selain daripada empat lapangan terbang antarabangsa lain yang diselia MAHB.
“KLIA hampir penuh disewa. Lebih 90 peratus ruang dipenuhi. Bagi kawasan selebihnya yang kami tetapkan jenis produk, jenama dan rakan kongsi yang kini diperingkat akhir,” katanya.
OSK Research Sdn Bhd dalam laporan kajiannya berkata MAHB bergantung besar ke atas potensi pertumbuhan dalam jualan komersil berbanding pendapatan projek dalam tempoh terdekat.
“Pengurusan menyasarkan kepada perbelanjaan penumpang untuk berkembang daripada RM36 semasa kepada RM50 seorang menjelang 2014,” katanya.
Menurut firma itu, ruang bagi beberapa kedai makanan baharu dan minuman diperluaskan selain kempen MAHB ‘Indulge Till You Fly’ baru-baru ini yang menyumbang jualan RM30 juta.
Sementara itu, dalam acara berasingan, Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad berkata jumlah pergerakan penumpang bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini meningkat 10 peratus daripada 8.688 juta penumpang dalam tempoh yang sama tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: