UNIK...Muhammad Zainal (kanan) bersama Pengarah Kanan Operasi Legoland Malaysia, Siegfried Borst melihat contoh replika bangunan Lego.
PEMBINAAN Legoland Malaysia yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM720 juta dijangka akan mula beroperasi pada suku keempat tahun depan, sekali gus mewujudkan sekurang-kurangnya 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Ketua Eksekutif IDR Resorts Sdn Bhd, Muhammad Zainal Ashikin Muhammad Rejab berkata, taman tema pertama Legoland akan membentuk sinergi antara pelbagai industri di Iskandar Malaysia, manakala peluang pekerjaan pula terbuka luas kepada rakyat Malaysia.
Katanya, Legoland Malaysia yang disasarkan untuk kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun itu akan menyerupai empat taman tema seperti yang terdapat di Legoland Billund di Denmark, Legoland Windsor (di luar London), Legoland California (Amerika Syarikat) dan Legoland Deutschland (Gunzburg, Jerman).
“Pembangunan taman tema Legoland Malaysia di Iskandar Malaysia akan menjadikan Johor sebagai destinasi tumpuan pelancongan antarabangsa dan kami juga menyasarkan lebih sejuta pengunjung bagi tahun pertama beroperasi.
“Ini satu-satunya Legoland di Asia, justeru kami yakin ia akan menambah pendapatan industri pelancongan negara selain berupaya menarik minat pelabur asing,” katanya.
Menurutnya, selain akan menarik pengunjung dari seluruh Malaysia, taman tema itu juga memberi peluang kepada negara jiran seperti Singapura untuk membawa keluarga bercuti ke Legoland.
Muhammad Zainal berkata, kawasan taman tema itu turut dilengkapi dua hotel sebagai kemudahan kediaman untuk pengunjung kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk merasai keseronokan yang ditawarkan di sana. “Ia dijangka menjadi satu lagi mercu tanda tarikan pelancong di Asia dan mampu menarik kemasukan jutaan pengunjung.
“Mengenai harga tiket kami akan menetapkannya pada harga yang paling kompetitif,” katanya.Projek pembangunan bersepadu dengan kerjasama Merlin Entertainment iaitu pengusaha taman tema kedua terbesar di dunia selepas Walt Disney itu mempunyai lebih 40 tarikan, permainan interaktif dan pertunjukan sesuai untuk hiburan seisi keluarga.
Legoland menggunakan lebih 20 juta bata Lego bagi membina replika bangunan ikon terutama dari rantau Asia. Antara yang dijangka dibina termasuk Menara Berkembar Petronas, Taj Mahal, Angkor Wat dan patung singa Merlion yang menjadi identiti negara jiran, Singapura selain menara pencakar lain dunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: