![]() |
| Labu tanah kini bertukar fungsi daripada tempat menyimpan air kepada produk hiasan. |
INDUSTRI labu tanah merupakan sebahagian daripada produk warisan yang mampu dipertahankan hingga ke hari ini.
Ia terbukti menyumbang pendapatan lumayan kepada pengusahanya terutama penduduk Melayu luar bandar yang tinggal di tepi Sungai Perak.
Antara yang kekal mewarisi industri seramik tersebut dari zaman berzaman ialah ahli keluarga Allahyarham Kayah Idris.
Allahyarham Kayah yang meninggal dunia ketika berusia 130 tahun mengusahakan industri ini lebih 100 tahun di Kampung Tanjung Bidara, Kampong Gajah, Perak.
Tiga daripada lapan anaknya iaitu Jamiah Ngah Salam, Hawa dan Sum mewarisi seni ini dengan menjalankan usaha niaga secara kecil-kecilan
Seorang pengusaha industri seramik tempatan yang juga cucu Kayah dan Setiausaha Koperasi Industri Kampung Tanjung Bidara Kampung Gajah Berhad (KIKTBKGB), Shamsudin Abdul Majid, 46, berkata, koperasi itu ditubuhkan pada 1986 untuk mengusaha dan mengembangkan industri seramik tempatan.
Hasil kerjasama bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib ketika itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) telah membina sebuah bangunan untuk industri seramik di situ.
Melalui kerjasama penduduk dan pemimpin tempatan industri ini dapat berjalan sehingga kini walaupun tidak semua ahli menghasilkan produk secara bersama di bengkel koperasi berkenaan.
Shamsuddin mengusahakan industri seramik bersama lima lagi ahli keluarganya yang menjadi ahli koperasi berkenaan di samping mengambil beberapa pekerja tempatan.
"Saya mengambil keputusan menyewa bangunan ini daripada koperasi dan mengusahakan industri seramik ini bersama ahli keluarga kerana bimbang seni kraf tangan warisan nenek saya akan pupus," katanya.
Beliau berkata, generasi muda kurang berminat menyertai industri seramik kerana mereka tidak dapat melihat potensi perniagaan ini dengan jelas.
Shamsuddin berkata, hasil pendedahan teknologi moden yang diterima membolehkan beliau mengubah corak dan seni kraf tangan yang berasas tanah liat itu.
Menurutnya, corak dan reka bentuk dikekalkan tetapi diwarnakan permukaan luarnya untuk menjadikan ia lebih cantik dan menarik.
Beliau berkata, bengkelnya memproses dan menyediakan produk seperti labu, gelok, belanga, lampu tidur, barang hiasan pasu, bekas tisu, cawan pensel.
Beliau berkata, baru-baru ini Kementerian Perdagangan Industri Antarabangsa (MITI) dan KKLBW memberinya peluang mengadakan pameran produk seramik di Lisbon, Portugal, Madrid, Sepanyol dan Mesir.
Katanya, maklum balas yang diterima melalui ekspo itu amat baik dan sesetengah usahawan di sana bersedia memasarkan produk keluarannya.
Bagaimanapun permintaan mereka terpaksa ditolak kerana koperasi beliau kurang mampu menyediakan jumlah produk yang perlu dihantar pada masa tertentu.
"Mereka mahu kami menyediakan sekurang-kurangnya satu kontena produk ke negara mereka setiap bulan," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, produk seramik mempunyai potensi pasaran dunia tetapi perlukan sokongan kerajaan menyediakan infrastruktur.
Seorang lagi pengusaha, Madzriah Ismail, 45, berkata produk seramik sememangnya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan tetapi ia perlukan promosi dan sokongan meluas daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Beliau berkata, pengusaha memerlukan peralatan teknologi lebih canggih yang mampu mengeluarkan jumlah yang tinggi setiap hari.
Menurutnya, kekurangan tenaga mahir juga menyebabkan kos operasi meningkat berbanding dengan produktiviti.
"Kerajaan negeri juga patut menganugerahkan kawasan tanah seramik yang luas supaya bahan mentah sentiasa mudah diperolehi di waktu kritikal," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: