Tuesday, April 12, 2011

Keenakan stimbot Malaya


Rabiah menunjukkan seleksi hidangan yang boleh dinikmati di restorannya.


PESANAN arwah suami agar menjaga pemakanan yang diambil memandangkan ia akan menjadi darah daging dalam tubuh sentiasa terpahat di ingatan Datin Rabiah Othman.

Justeru, wanita berusia 59 tahun itu begitu teliti dalam menikmati sesuatu hidangan. Dek kerana itu juga, beliau rajin memasak untuk keluarga bagi memastikan sajian mereka diyakini halal dan suci.

Minat terhadap dunia masakan juga menyebabkan Rabiah akhirnya membuka perniagaan katering bagi berkongsi resipi keenakan air tangannya bersama masyarakat setempat.

Bagi mengembangkan lagi sayap perniagaannya, Rabiah kini memilih untuk mengusahakan Restoran Malaya Steambot yang menawarkan aneka hidangan stimbot yang mampu memenuhi selera penggemarnya.

“Berdasarkan tinjauan kami, kebanyakan restoran stimbot diusahakan oleh kaum Cina. Oleh itu, melalui Malaya Steambot, kami ingin menawarkan produk halal untuk orang Islam menikmatinya tanpa was-was,” ujar Rabiah sambil memberitahu sambutan yang diterima sejak restoran itu mula dibuka sangat menggalakkan.

Mula beroperasi sejak 15 Disember 2010 di Sri Gombak, Selangor, restoran itu menyediakan bufet stimbot dengan variasi lebih 100 item hidangan yang segar dan menyelerakan.

Pilihan makanan laut seperti ikan, udang, ketam, sotong, siput ambal dan lala pasti membuatkan pengunjung rambang mata memilih sajian yang berkenan. Selain itu, aneka bebola makanan laut diikuti sayur segar dan pelbagai jenis mi tidak kurang enaknya.

Kesemua hidangan itu boleh dinikmati bersama rebusan kuah tom yam atau sup ayam panas yang tersedia di atas meja masing-masing.

Menurut Rabiah, antara keistimewaan Malaya Steambot adalah sup yang dimasak berdasarkan cita rasa Melayu serta sos istimewa yang disediakan dalam beberapa pilihan.

Tidak ketinggalan, pihaknya turut menyediakan hidangan bufet lauk pauk bersama nasi putih atau nasi goreng sebagai nilai tambah kepada produk yang ditawarkan.

“Makanlah banyak mana yang anda mahu apabila berkunjung ke restoran ini kerana semua item yang ada disediakan untuk pelanggan kami,” tutur Rabiah yang mengakui buat masa ini pihaknya tidak bercadang untuk mengenakan bayaran bagi setiap hidangan yang telah diambil tetapi tidak dihabiskan.

Sebelum meninggalkan restoran, pengunjung boleh juga memaniskan mulut dengan seleksi ais kacang, bubur pulut hitam atau aiskrim yang lazat.

Bufet stimbot itu berharga RM23++ untuk dewasa dan RM10++ bagi kanak-kanak. Restoran Malaya Steambot dibuka setiap hari bermula pukul 4 petang hingga 11 malam.

Restoran itu mampu memuatkan kapasiti pengunjung seramai 200 orang pada satu-satu masa. Malah, ia turut menyediakan perkhidmatan Wi-Fi untuk pengunjung melayari Internet.

Bagi pengunjung yang datang seramai enam orang dewasa dan mahu meraikan hari lahir seseorang, maka individu yang menyambut hari jadinya tidak akan dikenakan bayaran. Jadi, apa tunggu lagi, kunjungilah Restoran Malaya Steambot untuk merasai pengalaman menikmati stimbot dalam suasana yang tenang dan selesa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: