
GELAK ketawa dan canda menjadi agenda tambahan selain sesi temuramah bersama Hujan yang dianggotai oleh tiga anak muda, Mohammad Noh Salleh (vokal), Hang Dimas Santoso (keyboard) dan Izzat Uzaini (bass) baru-baru ini.
Bicara dimulakan dengan bertanya khabar tentang perkembangan terkini album ketiga mereka berjudul Lonely Soldier Boy yang sudah menjengah pasaran sejak 25 November lalu.
Tampil menjawab persoalan, Dimas memberitahu, pihaknya masih belum dimaklumkan tentang status penjualan album yang diuruskan oleh Warner Music Malaysia (Warner) setakat ini.
“Kami belum lagi mendapat laporan tentang unit album yang telah dipasarkan di bawah naungan Warner. Apa yang saya tahu ialah ada lagi permintaan untuk album itu.
“Selain dipasarkan oleh Warner, kami turut menjual album itu secara sendiri menerusi atas talian dan boleh dikatakan mendapat sambutan yang menggalakkan,” ujar Dimas sambil memberitahu album yang dipasarkan oleh mereka setakat ini lebih daripada 400 keping.
Mengakui tahun ini lebih rileks berbanding tahun lalu yang agak sibuk, masa senggang yang terhidang diisikan dengan penuh manfaat.
Menurut Dimas, mereka telah selesai menjalani penggambaran klip video single berjudul Inspektor Remos pada Februari lalu.
Inspektor Remos
Jika tiada aral melintang, klip video tersebut akan menemui penonton secara eksklusif menerusi saluran MTV yang bakal diuruskan oleh Warner.
“Tahun ini kami tidak sesibuk tahun lalu dan sempat untuk kami menunaikan apa yang masih belum selesai antaranya pembikinan klip video Inspektor Remos.
“Dengan adanya masa terluang, kami ada ruang untuk menguruskan hal sendiri. Saya dengan Morning Rocket dan Izzat dengan pengajian dia,” tuturnya lanjut.
Meskipun begitu, Hujan masih lagi mempunyai hasrat yang tidak pasti entah bila akan terlaksana.
“Kami ada merancang untuk mengadakan jelajah bagi mempromosi album terbaru, namun sehingga kini belum ada rezeki ke arah itu.
“Kami masih belum mempunyai penaja, tetapi itu tidak bermakna kami akan lupakan saja hasrat itu. Kami akan tetap berusaha bagi merealitikan jelajah tersebut,” luahnya sambil memberitahu Hujan kini bukan lagi duta produk perbankan dalam talian untuk Bank Simpanan Nasional (BSN) selepas tamat kontrak selama setahun.
Meneruskan bicara, Dimas dan anggota Hujan tidak keterlaluan meletakkan posisi mereka kini sebagai sebuah zon yang selesa.

Perjalanan mereka lancar bak air sungai yang mengalir dan sepi daripada sebarang kekecohan sehinggakan terdetik di hati mereka untuk berkongsi selain daripada muzik menerusi Morning Rocket.
“Kami berada dalam ruang yang selesa dan sebab itulah kami mampu untuk berkongsi apa yang ada dengan tertubuhnya syarikat Morning Rocket.
“Kami tubuhkan Morning Rocket untuk berkongsi dengan mereka-mereka yang baru hendak memulakan langkah ke arah perniagaan sama ada yang baru mula hendak menjual album atau pakaian dalam konteks mencipta rekaan dan penjualan.
“Morning Rocket bagi kami sebagai satu platform untuk semua itu. Bukan hanya membantu dari segi pemasaran dan pengeluaran, tetapi ia saya anggap sebagai sebahagian daripada balasan kami kepada peminat di luar sana,” jelasnya sambil memberitahu Morning Rocket baru sahaja mula beroperasi pada September lalu.
Perkahwinan Noh
Mengalihkan butir bicara kepada sang vokalis yang bakal bergelar raja sehari bersama Mizz Nina dalam masa beberapa bulan lagi, Noh menjadi subjek untuk topik yang seterusnya.
“Kami akan rehat sekejap sebab saya perlu fokus pada perkahwinan selepas tahun-tahun yang sibuk. Itupun tidak lama sebab dalam pertengahan antara resepsi di sini dan di Sarawak, kami ada persembahan.
“Itu akan jadi sejarah sebab ia adalah persembahan saya yang pertama bagi saya selepas bergelar suami,” luah Noh sebelum tertawa besar.
Menyentuh tentang persediaan yang dikira sudah hampir selesai, Noh sejak awal lagi telah mendidik dirinya untuk mula menabung dan ia telah menjadi amalannya sejak sekian lama.
Selain menabung, pemuda berusia 27 tahun itu juga sudah mula mempraktikkan pengurusan masa sebaik sahaja dia dan tunangnya sudah menetapkan untuk bersama.
Mengulas tentang pergerakan karier seninya selepas berkahwin, Noh dengan ringkas menyahut semuanya masih akan kekal sama seperti sekarang.
“Berkahwin tidak bermakna saya akan perlahankan karier seni saya. Meskipun sudah berkahwin, karier kena teruskan. Dimas pun sudah berkahwin dan dia masih lagi kekal sehingga sekarang.
“Bila sudah beristeri, saya rasa lagi meriah dan bersemangat. Ada isteri yang akan menyokong karier saya pada setiap masa,” ungkap Noh.
Selain sibuk menguruskan perihal perkahwinan, Noh juga tidak ketinggalan bertindak selaku mentor kepada Muhammad Faris Mohamed Razali (Ayish) melalui Mentor 5.
Ayish kawan Noh?
![]() |
| |
Noh memberitahu, untuk tidak mengelirukan keadaan, dia sudah membuat sebuah jadual antara aktivitinya bersama Hujan dan Ayish.
“Keutamaan saya tetap Hujan. Awal- awal lagi saya sudah bersiap dengan jadual. Katakan minggu ini saya membuat persembahan dengan Hujan, minggu yang berikutnya dengan Mentor.
“Sewaktu saya sibuk dengan Mentor, anggota yang lain pada masa yang sama boleh lakukan tugas masing-masing, jadi ia bukan satu masalah,” akui Noh.
Sementara itu, terdapat desas-desus yang mengatakan Ayish itu adalah teman baik Noh.
“Saya tidak kenal dia pun sebelum ini, malah dia juga bukan kawan saya. Dia seperti yang lain-lain juga datang untuk uji bakat.
“Apa yang saya tahu pasal Ayish daripada ibunya, dia seorang anak yang manja. Apapun, saya hanya memberi tunjuk ajar kepadanya setakat yang saya mampu. Saya pun bukanlah hebat mana,” ujar Noh.
Bertanyakan tentang progres yang telah dicipta Ayish, Noh pada awalnya melihat protegenya itu tidak begitu yakin dengan apa yang akan dilaluinya.
Melihat kepada aspek itu, Noh turut membayangkan bahawa itulah dirinya di awal pembabitan dalam industri hiburan satu ketika dulu.
“Pada peringkat awal, saya lihat dia sedikit kabur dengan apa yang bakal ditempuhinya. Namun setakat hari ini, Ayish semakin baik dan secara tidak langsung, kami mempelajari apa yang sepatutnya bersama-sama,” jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: