Monday, April 4, 2011

HD kuasa baru televisyen


ANTARA program TV tempatan terbitan Astro yang mengaplikasi teknologi HD (dari kiri), Konsert Akhir Astro Star Quest 2010 dan Konsert Akhir Vanaavil Superstar 2010.


HARI ini di mana-mana saja ramai yang memperkatakan tentang televisyen berdefinisi tinggi (TVHD) tetapi adakah mereka memahami apakah sebenarnya teknologi terbaru dunia penyiaran televisyen negara itu?

Merungkai sejarah TVHD, ia sebenarnya sejenis sistem penyiaran TV yang bercirikan peleraian yang jauh lebih tinggi berbanding format-format biasa seperti NTSC (sistem televisyen analog), SECAM (sistem televisyen berwarna analog) dan PAL (sitem pengekodan warna garisan bersilang tingkat).

Walaupun adanya format-format TVHD analog awal yang pernah dipancarkan di Eropah dan Jepun, TVHD biasanya dipancarkan secara digital, kerana penyiaran TV digital memerlukan lebar jalur yang kurang jika menggunakan mampatan video secukupnya.

Teknologi TVHD julung-julung kali diperkenalkan di Amerika Syarikat pada 1990-an oleh sekumpulan syarikat elektrik bergelar Perikatan Besar HDTV Digital.

Apa yang penting, TVHD menawarkan mutu gambar yang jauh lebih baik berbanding TV biasa.

Kejelasan imej definisi tinggi (HD) menawarkan kualiti kejelasan yang lebih baik dan mengurangkan kesan kabur. HD juga mempunyai kelebihan yang lain seperti gerakan yang lebih lancar dan pewarnaan yang lebih nyata dan natural.

Sehubungan itu, stesen TV Islam pertama negara, TV AlHijrah yang mula bersiaran pada 1 November tahun lepas melakar sejarah dengan menjadi stesen TVHD percuma yang menawarkan teknologi penyiaran HD.

Menurut Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat TV AlHijrah, Irwan A. Rahman, TV AlHijrah merupakan stesen TV percuma pertama negara yang menyiarkan kandungan kreatif dan berkualiti dalam format terkini HD.

“Stesen berteknologi digital ini dapat memenuhi keperluan terkini penonton dari segi kualiti penerbitan serta daripada aspek mutu tontonan yang menjanjikan kualiti terbaik,” jelasnya.

Tambahnya, perkara itu cukup membanggakan stesen TV yang mula bersiaran dengan 60 peratus daripada kandungannya adalah terbitan tempatan dan 40 peratus adalah kandungan asing itu.

Lebih membanggakan, 30 peratus daripada keseluruhan penerbitan tempatan diterbitkan sendiri oleh TV AlHijrah yang kesemuanya dihasilkan dalam format HD.

Program HD

Namun, sebelum kemunculan TV AlHijrah, stesen TV satelit berbayar Astro yang mula dilancarkan di negara ini pada tahun 1996 sebenarnya telah menjadi stesen TV pertama yang menghasilkan program-program TV tempatan dalam bentuk HD.

“Sejak melancarkan Astro B.yond pada 11 Disember 2009, penonton TV di negara ini telah diberi peluang untuk menikmati program-program TV import dalam bentuk HD melalui 12 saluran istimewa.

“Selain itu, Astro turut menerbitkan sendiri program-program tempatan yang menggunakan teknologi HD,” ujar Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.

Sebagai perintis sejarah penyiaran negara, Konsert Akhir Akademi Fantasia 8 (AF8) merupakan program sulung yang dirakam dan disiarkan secara langsung pada 22 Mei 2010 menggunakan teknologi HD.

Menurutnya, inisiatif tersebut tidak terhenti di situ apabila banyak lagi program-program tempatan diterbitkan menggunakan teknologi HD.

Antara program itu termasuklah Kejohanan Piala Thomas & Uber 2010 (Mei 2010), Konsert Akhir Astro Star Quest (Julai 2010), Majlis Pelancaran Audio Ethiran (Julai 2010), Konsert Akhir Vaanavil Superstar (September 2010), Natchattira Galatta (September 2010), Battleground Akhir (September 2010), Konsert Akhir Aatam 100 Vagai (Disember 2010), Kemuncak Mari Menari (Disember 2010) dan yang terbaru Gelanggang Akhir Raja Lawak Astro (Mac 2011).

“Pada tahun ini, banyak lagi program-program berjenama Astro akan diterbitkan menggunakan teknologi definisi tinggi yang termasuklah Maharaja Lawak (Akhir), Imam Muda (Akhir), Konsert Akhir Vaanavil Super Star 2011 dan Konsert Akhir Astro Star Quest 2011,” katanya.

Selepas langkah yang dirintis oleh Astro dan TV AlHijrah itu, aplikasi HD dalam penerbitan program-program TV tempatan bakal menjadi ikutan stesen-stesen TV lain yang terdapat di negara ini yang termasuklah RTM, TV3, 8TV, ntv7 dan sebagainya pada masa-masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: