Sunday, April 3, 2011

Hati sudah terkunci

  • Foto

  • Foto

Fasha Sandha tak mahu mengalah biarpun dirinya terus dilanda kontroversi

TANGAN kiri itu tidak akan pernah berhenti mahu menarik mereka ke bawah. Hasad dengki umpama duri yang menemani perjalanan hidup mereka, namun Tuhan sentiasa berlaku adil kepada hamba-Nya. Ketika badai dan gelora datang menghempas kejam, Tuhan menganugerahkan kemuliaan dengan menyalurkan kekuatan luar biasa biarpun dugaan itu terlalu berat untuk digalas.Tuhan memberikan mereka cahaya untuk melihat setiap ujian itu dari sudut positif, tanpa sesekali membiarkan diri menyerah kalah.
Tuhan tidak akan menurunkan ujian berat jika hamba-Nya itu tidak mampu menanggung takdir yang tertulis.

Aktres sensasi, Nur Fasha Sandha Hassan ialah antara insan yang sering menerima rentetan ujian silih ganti. Siapa pun yang berada di tempatnya pasti akan tertanya, bagaimana Fasha, 27, menerima semua dugaan itu?

"Sehingga satu peringkat, saya menjadi manusia yang tidak lagi punya perasaan. Apa saja yang dugaan datang saya menerimanya tanpa secalit perasaan kesal dan kecewa," beritahu Fasha pada sesi fotografi yang menggandingkannya dengan Fizz Fairuz - finalis Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, baru-baru ini.

Tanpa perlu menyalahkan takdir, anak kelahiran Johor Bahru yang membesar di Pulau Pinang itu menongkah hidup mengikut arus yang membawanya. Tatkala dihimpit duka, Fasha akan segera menyisihnya. Dia cuma mahu mengenang segala yang manis dan membuang jauh setiap noda hitam daripada membekas di sudut hatinya.
Usah merenung terlalu jauh, lihat saja perjalanan karier lakonan Fasha yang kembali mekar dengan satu persatu tawaran yang menguji karisma dirinya sebagai pelakon diserahkan. Sampaikan peminat tidak lagi mempedulikan segala kisah kontroversi yang melingkari dirinya, sebaliknya bakat Fasha terus disanjung.

Buktinya malam ini, Fasha kembali lagi berada ABPBH 2010 atas kepercayaan diberikan peminat untuk berada dalam Top 5 Pelakon TV Wanita Popular.

"Saya ambil positif setiap perkara. Orang yang menyenangi saya, akan menerima apa saja sama ada yang baik atau buruk. Tetapi jika diri mereka sudah disalut benci, sekalipun saya bentangkan seluruh kebaikan tetap keburukan yang dipandang. Saya tidak perlu berkecil hati kerana itu lumrah hidup, ada yang suka ada yang benci. Saya cuma mahu menjalani hidup ini dengan tenang, sampai masa kebenaran akan menyerlah," katanya.

Sinonim dengan acara prestij ABPBH kerana Fasha pernah empat kali menggenggam trofi kepercayaan peminat itu. Malam ini dia akan kembali untuk menyerikan detik bersejarah di Arena Of Stars, Genting Highlands sebagai penyampai trofi. Andai diimbas, tahun lalu memberikan cabaran besar kepada pemilik Chinta Salon ini apabila pencalonannya seperti tidak direstui segelintir peminat yang memberikan reaksi kurang selesa ketika namanya diumumkan dalam senarai Top 5.

"Saya tidak perlu terlalu mencuba untuk membuat peminat menyenangi saya.
Biarkan saja spekulasi itu terus mengalir kerana saya percaya, lambat laun kebenaran bersama saya. Untuk apa saya terus melayan perkara remeh yang menjejaskan tumpuan pada kerja lakonan dan perniagaan. Saya cuma mahu memandang ke depan dan usah membawa saya mengenang masa lalu yang tidak membawa apa-apa keuntungan," kata Fasha yang tiba dari Paris, pagi ini selepas hampir dua minggu menjalani penggambaran drama bersiri siaran RTM, 5 Tahun 5 Minit.

Duta Habib Jewel ini juga kembali meraih perhatian apabila kisah cintanya dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai, berakhir. Ekoran insiden itu, peminat disajikan rentetan kontroversi apabila Fasha bertingkah di dada media dengan bekas isteri Jejai, Nora Danish untuk mempertahankan kebenaran.

Bagaikan tiada kesudahan, media maya pula menghebohkan cerita yang Fasha dan Jejai kembali bersatu. Namun saat isu itu diajukan, Fasha cuma membisu. Tiada sebarang penjelasan yang keluar daripada bibirnya. Dalam nada tegas, Fasha berharap kisah percintaannya dengan Jejai tidak kembali diungkit. Baginya tidak perlu lagi mengenang segala yang sudah berakhir. Hati Fasha juga sudah terkunci untuk kembali menerima cinta saat ini.

"Ramai cuba mendekati tetapi saya terlalu sibuk dengan undangan lakonan. Alhamdulillah, hidup saya masih seperti biasa. Saya tidak sunyi tetapi saya tidak tahu esok lusa bagaimana. Cuma apa yang dapat saya katakan, pintu hati saya masih tertutup untuk menerima cinta lelaki ketika ini. Tidak tahu kenapa, mungkin kerana saya sudah penat dengan apa yang dilalui dulu,” katanya.


Fizz berhati-hati pilih kawan

RAMAI masih ingat kontroversi yang pernah berlaku antara aktor kelahiran Raub, Pahang ini dengan seorang produser, apabila Fizz Fairuz didakwa mula lupa diri selepas namanya membolosi senarai aktor popular. Tanpa perlu melatah, Fizz mengharungi semua itu dengan sabar. Ketika sedang mendaki puncak, dia sentiasa mengingatkan dirinya supaya tidak sesekali bongkak dan alpa kerana apa diterimanya ini hanya pinjaman.

Fizz, 32, memegang prinsip untuk tidak menggigit tangan yang pernah memberinya rezeki, sekali pun hatinya terusik apabila dilabel mula lupa diri.

"Sebagai pelakon saya perlu merendah diri. Isu ketidakpuasan hati boleh dibawa berbincang. Tetapi jika ada pihak yang melatah, lebih baik saya berdiam diri dan bertenang. Untuk apa membalas jika hanya memburukkan keadaan? Saya tidak mahu kontroversi menjadi duri ketika karier saya sedang berkembang. Saya tidak seperti sesetengah pelakon yang pantas mendaki populariti. Saya menanti lama untuk berada di sini.

"Apabila sudah memperolehnya hasil perjuangan yang diimpikan, wajarkah saya membunuh usaha panjang saya itu dengan tangan sendiri? Jangan kerana kontroversi nanti peminat menyampah dan perlahan-lahan menjauhkan diri. Itu paling saya takut berlaku," katanya.

Berada dalam senarai aktor popular, barangkali memberi kelebihan kepada Fizz untuk terlebih dulu menilai skrip yang datang. Namun itu tidak bermakna, Fizz membelakangkan setiap tawaran yang datang.

Pemuda ini masih bertolak ansur kerana baginya, setiap tawaran yang datang perlu dihormati. Jika terlalu cerewet dan terus menolak skrip yang kurang berkenan di hati, Fizz bimbang nanti akan ada yang berkecil hati.

"Saya tidak mahu disalah anggap kerana saya sedia bekerjasama dengan sesiapa saja. Saya akan cuba tolong walaupun terpaksa bekerja di bawah pengarah baru. Saya seorang yang suka memberi peluang kepada orang yang mahu berkarya.
Kejayaan sesuatu produksi bukan hasil usaha individu, sebaliknya setiap tangan memainkan peranan untuk menjadikannya cantik apabila disiarkan kepada khalayak," katanya.

Fizz akur keramahan dan sikapnya yang suka mengusik mungkin menimbulkan salah faham. Disebabkan itu dia berhati-hati dalam memilih kawan supaya tiada yang terasa dengan sikap bebas lakunya itu.

Lima tahun menjalin cinta dengan Almy Nadia, Fizz akur masa untuk berfoya-foya sudah berlalu dan kini dia memikirkan secara serius keinginan mengakhiri zaman bujangnya. Perkara itu sudah pun diajukan kepada keluarganya dan andai tiada halangan, mereka akan disatukan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, kata Fizz, tarikh yang dicari masih belum ditemui memandangkan dia terikat dengan penggambaran sehingga September depan.

“Alhamdulillah, Tuhan memberikan rezeki yang panjang untuk saya. Almy juga memahami, cuma sekarang kami mencari ruang untuk melaksanakan hasrat yang lama tertunda itu. Insya-Allah dalam tahun ini juga kami akan disatukan. Cukuplah saya hidup membujang, lagipun Almy sudah lama menanti jadi saya tidak mahu mempersia-siakan kepercayaannya,” kata Fizz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: