Sunday, April 24, 2011

Gajet teman Zuraidah


SELAIN memudahkan urusan, kata Zuraidah gajet merupakan imej kepada kerjaya seseorang.


PERSONALITINYA begitu mempesonakan. Beliau ramah dengan semua orang bahkan petah berbicara. Penasihat Kehormat Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Datuk Zuraidah Atan juga tidak kenal erti lelah dalam melaksanakan tugasnya.

Pada pertemuan dengan Jurnal baru-baru ini, beliau baru sahaja pulang daripada bermesyuarat di Putrajaya. Sehari sebelumnya, beliau menghadiri satu program di Ipoh, Perak.

“Dalam hidup ini, kita memerlukan semangat untuk menjalani aktiviti seharian. Hidup akan kosong tanpanya.

“Bagi mendapatkan semangat, kita perlu mempunyai wawasan dalam setiap pekerjaan yang ingin dilakukan.

“Kita perlu ada rasa untuk bersaing dengan semua orang dan sentiasa ingin melakukan yang terbaik,” ujar Zuraidah berfalsafah.

Katanya lagi, setiap anak muda sepatutnya rasa bersalah kerana berhibur atau berehat sedangkan kerja mereka masih tertangguh atau belum dibereskan dengan bersungguh-sungguh.

Perbankan

Zuraidah memulakan karier dalam bidang perbankan pada tahun 1984 walaupun beliau sebenarnya seorang lulusan undang-undang.

Dalam masa lima tahun, beliau dipilih menyandang jawatan Naib Presiden OCBC.

Untuk 10 tahun berikutnya, Zuraidah diberi kepercayaan menerajui bahagian kewangan korporat, pasaran modal dan penstrukturan korporat.

Kemudian, beliau menjawat posisi sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Merchant Bank (kini Affin Investment Bank). Beliau ialah wanita Melayu pertama yang mengetuai sebuah bank di Malaysia.

Selepas berhenti daripada bidang perbankan, Zuraidah kembali menjadi pengamal undang-undang serta melibatkan diri dalam aktiviti amal bersama NCSM.

“Di NCSM, kami mahu menyedarkan masyarakat tentang bahaya penyakit kanser dan perlunya langkah pencegahan awal.

“Terbaru, kami menganjurkan Relay For Life yang akan mengumpulkan semua badan bukan kerajaan dan pesakit kanser yang selamat.

“Program itu diadakan pertama kali pada tahun 2007. Tahun ini ia akan diadakan di tiga lokasi iaitu Melaka, Bangi, Selangor dan Pulau Pinang,” tambahnya.


DI NCSM, Zuraidah mahu menyedarkan masyarakat tentang bahaya penyakit kanser.


Menurut Zuraidah, aktiviti tersebut amat memenatkan.

“Namun, perasaan mahu membantu dan menyedarkan masyarakat perihal bahaya kanser menyebabkan kami tetap menganjurkannya.

“Malah, tahun ini kami buat di tiga tempat berbeza pula,” kata Zuraidah lagi.

Gajet

Zuraidah ada cara tersendiri untuk menguruskan jadual hariannya yang sentiasa padat.

“Saya menggunakan kalendar di Internet kerana ia dapat diakses menerusi semua gajet pada bila-bila masa,” katanya.

Malah beliau ialah penggemar gajet elektronik dan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi itu sejak dahulu lagi.

“Kini saya mempunyai dua buah telefon pintar jenama BlackBerry dan sebuah iPhone selain iPad, Galaxy Tab dan komputer riba.

“Semua itu memudahkan kerja saya. Ia sangat praktikal dengan keadaan saya yang sentiasa sibuk. Selain itu, gajet seperti itu adalah imej kepada kerjaya kita.

“Saya ingat lagi pada tahun 1990-an, saya akan memastikan semua pekerja di bahagian saya menggunakan intranet untuk berinteraksi,” ulasnya.

Bagi Zuraidah dalam meniti kejayaan, seseorang itu perlu mengelakkan daripada berkawan dengan beberapa jenis individu walaupun beliau mengakui jaringan hubungan sosial sangat penting.

“Cuba jauhi individu yang sentiasa bersifat negatif dalam semua perkara tanpa menilai apa sumbangannya kepada komuniti dan masyarakatnya.

“Jenis yang kedua pula ialah individu yang selalu membawa anda ke bawah dan tidak membantu untuk maju,” kata Zuraidah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: