Sunday, April 24, 2011

Figos harapkan tuah nama baru


PASUKAN Figos (barisan depan) bergambar dengan pasukan Ziemal FC yang menundukkan mereka pada perlawanan akhir kategori Terbuka Wanita Rentap Futsal Putrajaya pada tahun lalu.


KUALA LUMPUR - Naib juara kategori Terbuka Wanita musim lalu, Figos Alpha tidak mahu mengalami kekecewaan lagi pada Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan bermula pada 26 hingga 29 Mei depan.

Sebaliknya, pasukan yang mahu menukar namanya kepada Phoenix itu bertekad untuk menebus kekecewaan pada final tahun lepas dengan impian untuk menjulang gelaran juara pada saingan tahun ini.

Pengurus pasukan, Shamsul Azizan menjelaskan bahawa dia akan menghantar dua pasukan untuk kategori Terbuka Wanita dalam misi mendominasi dua kedudukan teratas pada kejohanan empat hari tiga malam di Kompleks Futsal 1Malaysia Presint 18, Putrajaya.

“Sasaran kami sudah pasti untuk muncul juara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Menurut Shamsul, walaupun saingan kali ini semakin sukar dan mencabar, namun pasukan itu tidak akan berputus asa.

“Saya dimaklumkan kejohanan itu semakin besar dan meriah, malah hadiahnya juga semakin bertambah. Jadi saingan kali ini pasti menarik,” katanya.

Pada final kategori Terbuka Wanita tahun lepas, Figos Alpha tewas 0-1 kepada pasukan dari Sabah, Ziemal FC manakala satu lagi pasukan mereka, Figos Beta terkandas di separuh akhir dan menduduki tempat keempat.

Turun dengan nama baru iaitu Phoenix A dan B, Shamsul menjelaskan dia menetapkan sasaran untuk kedua-dua pasukannya layak ke final, sekali gus mendominasi saingan kategori Terbuka Wanita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: