![]() |
| ERRA Fazira dan Ziana Zain merupakan pilihan Sohaimi Mior Hassan untuk menjadi rakan duet dalam projek terbarunya. |
POPULARITI lagu Kalau Berpacaran telah meninggalkan kesan yang cukup besar buat seniman berjiwa besar bernama Sohaimi Mior Hassan.
Melodi yang ringkas dan rancak serta liriknya yang sarat dengan unsur pengajaran membuatkan lagu itu kini berada dalam senarai teratas lagu-lagu popular.
Kalau Berpacaran juga membuktikan kolaborasi penyanyi senior dan junior memang mampu menuai hasil yang cukup lumayan jika mengambil pendekatan yang bijak serta kreatif.
Sohaimi sendiri tidak pernah menyangka gabungannya bersama penyanyi rap, Altimet dan penyanyi serta komposer muda, Ana Raffali menerusi lagu itu berjaya memikat hati pencinta muzik tempatan.
Namun, cerita kurang enak mula bertebaran apabila Sohaimi dikatakan bersengketa dengan Ana sehingga menyebabkan hubungan mereka kini cukup tegang.
"Ingin saya jelaskan di sini, segala cerita yang anda dengar itu adalah tidak benar sama sekali. Tidak pernah pula saya bermasam muka dengan Ana seperti yang didakwa.
"Cuma, isu mula timbul apabila saya ingin mendapatkan hak cipta untuk lagu Kalau Berpacaran apabila saya mahu menerbitkannya menjadi sebuah album.
"Syarikat rakaman Universal Music yang dinaungi Ana bagaikan main tarik tali dengan saya dalam memberikan pengesahan untuk hak cipta tersebut dengan pelbagai alasan.
"Sedangkan masa saya sudah suntuk dan saya mahu Kalau Berpacaran...The Album ini keluar dalam tempoh yang ditetapkan.
"Saya sudah beri tempoh sekitar enam bulan untuk mereka menyempurnakan apa jua proses yang berkaitan. Saya melakukan semua itu kerana tidak mahu ada masalah yang akan timbul di kemudian hari.
"Selepas perbincangan antara pihak mereka dengan Warner Music Malaysia, semuanya berjalan lancar dan mereka memberi kebenaran untuk memuatkan lagu itu dalam Kalau Berpacaran...The Album ini," jelas Sohaimi ketika menjawab pertanyaan berhubung isu berkenaan.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran album Kalau Berpacaran...The Album di Red Box, The Gardens, Mid Valley, di ibu negara, baru-baru ini.
Mengulas tentang sambutan lagu Kalau Berpacaran yang mendapat maklum balas yang cukup menggalakkan itu, dia bersyukur dengan kejayaan lagu tersebut.
Menyingkap sejarah terhasilnya lagu tersebut, Sohaimi memberitahu idea mula timbul sekitar dua tahun lalu ketika sedang memandu.
Ujarnya lagi, inspirasi lagu itu datangnya daripada lagu Cari Jodoh nyanyian kumpulan Wali Band dari Indonesia.
Dek kerana tertarik dengan melodi rancak lagu tersebut, secara tidak langsung ia telah memberikan idea kepada Sohaimi untuk mencipta sebuah lagu yang mempunyai nuansa yang serupa.
"Kalau diikutkan, lagu itu hanya dinyanyikan oleh saya dan Altimet sahaja. Dalam Bengkel Cipta Ekspres anjuran Badan Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan tahun lalu, lagu itu diangkat sebagai pemenang keseluruhan.
"Dari situ, timbullah idea untuk kami menjadikan ia sebagai sebuah single. Sebelum pemilihan Ana, ada beberapa nama penyanyi wanita yang menjadi pilihan kami antaranya Najwa Mahiaddin.
"Tetapi, apabila memikirkan Ana telah menyanyikan lagu itu sewaktu di Port Dickson maka kami memutuskan untuk menjemput Ana merakamkan lagu tersebut.
"Malah, Ana juga mengubah suai sedikit lirik mengikut kesesuaian pada bahagian nyanyiannya," cerita Sohaimi yang turut mencipta sebuah lagi lagu pada bengkel itu iaitu Sayang Abah.
Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk mengulangi resipi yang sama untuk lagu terbarunya nanti.
Untuk itu, Sohaimi memilih Erra Fazira sebagai pasangan duet terbarunya menerusi lagu Dalam Rumah Tangga.
Bagi Sohaimi, dia melihat Erra mempunyai vokal yang sesuai untuk menyanyikan lagu tersebut yang juga berirama rancak.
"Kalau saya pilih Ana sekali lagi, memang tidak sesuai kerana lagu ini tentang alam rumah tangga. Erra mempunyai vokal yang manja dan saya fikir ia amat sesuai untuk lagu Dalam Rumah Tangga ini.
"Kalau mengikut perbincangan secara lisan, Erra memang sudah bersetuju tetapi memandangkan dia masih lagi terikat dengan kontrak bersama syarikat rakamannya, kami perlu melakukannya mengikut prosedur yang betul.
"Bukan itu sahaja, saya juga mahu berduet dengan Ziana Zain untuk sebuah lagu balada yang akan dicipta tidak lama lagi," ujar seniman berusia 54 tahun itu lagi.
Biarpun sudah lebih dua dekad menjadi anak seni, Sohaimi dengan jujur memberitahu, dia masih lagi kekok dengan dunia glamor dan seboleh-bolehnya tidak mahu terlalu menonjolkan dirinya.
Barangkali perasaan Sohaimi itu ada kaitan dengan kehilangannya pada waktu dia mula-mula menjadi penyanyi sekitar awal tahun 80-an.
Ketika itu, dia kerap ke luar negara kerana menyambung pengajian sekali gus bekerja di sana lalu membuatkan kehadirannya sebagai seorang penyanyi bagaikan tidak disedari jika dibandingkan dengan penyanyi seangkatannya.
"Sehinggakan anak-anak saya tidak pernah tahu bahawa saya sebenarnya seorang penyanyi sehinggalah mereka menyambung pengajian di universiti. Apabila mereka tanya, barulah saya menjelaskan kepada mereka.
"Kalau ada yang mahu saya muncul dalam persembahan pentas, saya akan menolaknya melainkan persembahan makan malam eksklusif.
"Bidang nyanyian ini sebenarnya merupakan satu hobi kerana saya memiliki perniagaan sendiri yang perlu diuruskan. Apa pun saya berterima kasih untuk segala sokongan yang diberikan lewat ini kepada saya," kata Sohaimi yang memiliki suara yang cukup maskulin ini.
Atas alasan itu, dia mengharapkan Kalau Berpacaran…The Album akan mendapat sambutan daripada peminat yang cuba untuk mencari lagu tersebut.
Sohaimi juga memberitahu dia menerbitkan album kelimanya itu atas permintaan peminat yang masih lagi mahu mendengar lagu-lagu dendangannya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: