![]() |
| Ku Abdul Rahman Ku Ismail (tengah) bersama Badruddin Amiruldin (kanan) melawat tapak penjagaan benih pokok pinang di rumah salah seorang peserta projek e-Kasih di Guar Chempedak, Kedah. |
MENYELUSURI keindahan kawasan kampung sekitar Gunung Jerai, Kedah yang indah pasti menemukan kita panorama rumah-rumah kayu lama yang memberi teduhan kepada golongan pertengahan di negeri tersebut.
Kadang kala terselit jua beberapa buah rumah banglo mewah berada di tengah-tengah sawah padi yang terbentang luas.
Terlintas di benak fikiran mengapa begitu berbeza sekali taraf kehidupan penghuninya.
Pastinya, setiap rezeki itu akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang rajin berusaha mencari sumber pendapatan mereka.
Menyedari masih terdapat golongan yang hidup didalam kedaifan di negara ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan yang dikenali sebagai Projek e-Kasih.
Menurut Penyelaras Projek e-Kasih bagi daerah Yan dan Pendang, Kedah, Hamzah Abdul Matheen, program tersebut diwujudkan bagi mengurangkan kadar kemiskinan terutamanya bagi golongan miskin tegar.
"Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menghapus dan mengurangkan kadar kemiskinan.
"Program ini juga merupakan salah satu usaha di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui jabatan serta agensi kerajaan seperti FAMA agar membantu golongan miskin keluar daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK)," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Cek Belian Pokok kepada peserta e-Kasih, di Taman Mesralam FAMA, kaki Gunung Jerai, Guar Chempedak, Kedahbaru-baru ini.
Hadir sama pada majlis adalah Ahli Dewan Undangan Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail dan Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin.
Program yang telah dimulakan pada tahun ini oleh FAMA memberi tumpuan kepada lapan buah kawasan Parlimen di seluruh negara iaitu Terengganu, Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Bagi negeri Kedah, FAMA telah memilih Parlimen Jerai dan Baling sebagai tumpuan utama.
Sebanyak 50 sasaran utama bagi Ketua Isi Rumah (KIR) iaitu 25 KIR daripada miskin tegar dan 25 KIR lagi daripada golongan miskin telah dipilih dari kedua-dua daerah tersebut.
Pemilihan tersebut adalah berdasarkan senarai dalam pendaftaran program e-Kasih bagi Parlimen Jerai yang dikeluarkan oleh pihak Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Ke semua peserta tersebut perlu melalui proses temuduga bagi menyaring dan memastikan hanya yang benar-benar layak mendapat bantuan tersebut oleh pihak FAMA negeri Kedah.
Kemudian pengesahan peserta tersebut akan dilakukan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) seterusnya oleh Mesyuarat Group Daerah.
Setelah berjaya, setiap peserta akan mengikuti kursus motivasi dan asas pengurusan projek sebelum dibekalkan dengan peralatan mengikut keperluan projek masing-masing.
Bagi Projek Landskap e-Kasih ia dikelolakan oleh Cawangan Florikultur FAMA dan setiap urusan pembelian produk yang dikeluarkan akan dikendalikan oleh Pusat Operasi (PO) Sungai Petani bagi kawasan Parlimen Jerai.
Setiap peserta projek tersebut akan dibekalkan peralatan untuk memelihara pokok hiasan serta anak benih.
Peserta hanya perlu menjaga anak benih tersebut sehingga usia yang ditetapkan sebelum anak benih tersebut dibeli semula oleh FAMA untuk dipasarkan ke dalam dan luar negara.
Hasil belian tersebut mampu menambah pendapatan peserta daripada RM500 ringgit sebulan.
Malah, untuk memudahkan peserta, mereka turut boleh melaksanakan projek tersebut di rumah masing-masing dan bagi mereka yang tidak memiliki tanah pihak FAMA turut menyediakan tapak khas di Taman Mesralam, Kaki Gunung Jerai dan di sekitar Kompleks Penghulu Mukim Dulang.
Antara jenis pokok yang dipelihara untuk projek tersebut adalah terdiri daripada pokok pinang kuning.
Jelas Hamzah pokok tersebut mendapat sambutan yang amat mengalakan daripada pembeli terutamanya dari Singapura.
Tambah beliau, bagi fasa pertama, setiap peserta akan dibekalkan sebanyak 700 anak benih, selepas genap tempoh dua bulan.
FAMA melalui Unit Florikultur akan membeli balik semua anak benih pada kadar harga RM3 sepokok (anak benih).
'Pada fasa pertama ini, setiap peserta akan memperoleh pendapatan tambahan sehingga RM2,100 berdasarkan harga RM3 sepokok..
"Fasa kedua dan seterusnya peserta dikehendaki membeli sendiri anak benih berbekalkan modal pada belian pertama tadi," ujarnya.
Proses tersebut akan berterusan sehingga setiap peserta mampu melaksanakan projek tersebut dengan sendiri melalui penambahan pelbagai lagi jenis pokok hiasan bagi menambah pendapatan mereka.
Bagi FAMA, bantuan awal tersebut adalah lebih berkesan daripada bantuan kewangan semata-mata kerana melaluinya, para peserta akan dilatih untuk berusaha dan mencari jalan keluar daripada kepompong kemiskinan yang membelenggu mereka.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: