USAI pementasan beberapa siri teater sejak awal tahun, kini tiba giliran Belbis Sdn. Bhd., dengan kerjasama Istana Budaya mementaskan teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an (KMJ) yang akan menemui penonton pada 25 Mei depan.
Menariknya tentang KMJ 60-an, barisan pelakon yang membintangi teater muzikal itu bukan hanya terdiri daripada muka-muka baru seperti Dafi, Ana Raffali dan Iqbal Mazlan (Pilih Kasih), tetapi turut dilakonkan oleh penyanyi-penyanyi dari era 60-an.
Antaranya ialah Datuk Ahmad Jais, A. Rahman Onn, L. Ramlee, J. Sham, A. Halim, Husin Ismail, A. Rozaimi, Fatimah M. Amin termasuk dua buah band yang akan mengiringi keseluruhan teater tersebut iaitu The Rhythm 60’s dan The Wanderers.
Menurut pengarah persembahan yang juga merupakan pengarah skrip, Lokman Abdul Ghani, meskipun ia merupakan sebuah teater muzikal, namun ia masih dilengkapi dengan sebuah jalan cerita.
“Teater berkenaan akan mempersembahkan lakonan dari tiga era berasingan iaitu era 60-an, 70-an dan 80- an.
“Begitupun, 80 peratus merupakan babak pada era 60-an termasuk elemen imbau kembali, manakala selebihnya akan berkisar pada tahun 1970-an dan 80-an sebagai penyambung cerita,” katanya yang ditemui selepas sidang akhbar memperkenalkan para pelakon di Istana Bambu, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.
Ditanya tentang pemilihan Dafi, Anna dan beberapa muka baru dalam dunia teater, Lokman memberitahu, dia amat yakin dengan kemampuan semua pelakon yang telah dipilih.
“Selain Dafi dan Ana, kita juga ada Gambit, Azrul (Raja Lawak) dan Anne Ngasri. Secara keseluruhan, saya yakin dengan mereka meskipun ia merupakan percubaan pertama Ana dan Dafi.
“Sebenarnya sejak awal, saya sasarkan mahu mencari pelakon, bukan penyanyi. Tetapi semua pelakon terikat dengan komitmen masing-masing. Atas sebab itu, saya tawarkan kepada penyanyi dan mereka berminat.
“Lagipun pada saya, penyanyi juga sudah tidak asing dengan pentas kerana mereka menyanyi pun di atas pentas,” ujarnya.
KMJ 60-an mengisahkan Rey yang kembali ke kampung halaman selepas sekian lama menghilangkan diri. Dengan menggunakan teknologi moden, dia telah ditemukan semula dengan rakan karibnya, Azizan selepas hampir 30 tahun berpisah.
Perjumpaan mereka telah banyak mengimbau sejarah terutama semasa mereka menuntut di kolej. Namun begitu, Rey sebenarnya cuba mencungkil berita tentang kekasihnya, Rose yang dikenali semasa menuntut di kolej yang sama sekitar tahun 60-an.
Sementara itu, bagi Dafi dan Anna, peluang ditawarkan berlakon teater merupakan peluang untuk mereka mengorak selangkah lagi ke arah cabang industri hiburan.
“Saya memang minat teater sejak menuntut di universiti dan tawaran ini saya terima sebagai salah satu peluang untuk saya mencuba bakat dalam teater.
“Sebagai persediaan, saya perlu bersedia mental dan fizikal serta vokal kerana saya juga akan menyanyi sebanyak dua atau tiga buah lagu nanti,” ujar Ana.
Dafi pula memberitahu dia teruja kerana berpeluang berlakon teater untuk kali pertama. “Lebih mengujakan saya kerana ia dipentas di Istana Budaya,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, Ketua Pegawai Eksekutif Belbis Sdn. Bhd., Afandy Alias dan antara barisan pelakon seperti Ifa Raziah, Siri Nursaida Tarudin dan Radhi Khalid.
Teater muzikal KMJ 60-an akan dipentaskan bermula 27 Mei sehingga 5 Jun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: