Monday, April 18, 2011

Bkay Tolak Jadi Peguam

MENYEDARI bukan mudah untuk memasuki pasaran Melayu, bekas ratu cantik, Tryambikay Vendages atau mesra dengan panggilan Bkay Nair, 29, mengakui perlu bekerja keras untuk terus berada dalam industri hiburan ini.

Menurut Bkay, setiap kejayaan memerlukan kesungguhan dan pengorbanan. Oleh itu, dia kini berpuas hati kerana sudah melakukan semuanya dengan bersungguh-sungguh.

Malah pengorbanannya meninggalkan kerjaya dalam bidang guaman merupakan langkah berani yang diambilnya semata-mata ingin memberi fokus dalam dunia hiburan.

Dia bernasib baik, percubaannya berhasil apabila berjaya membintangi filem Ratu The Movie arahan Profesor Madya A Razak Mohideen yang baru sahaja ditayangkan pada Mac lalu.

“Saya sebenarnya sudah setahun setengah berada dalam industri ini, saya tidak gentar berdepan cabaran kerana minat yang mendalam dalam bidang ini.

“Sebenarnya sejak berusia lima tahun lagi saya sudah didedahkan dengan seni apabila memasuki kelas tarian klasikal India. Ketika di sekolah menengah pula, saya belajar menari zapin.

“Minat tentang seni memang sudah digilap sekian lama dan atas sebab ini juga saya memberanikan diri pergi ke uji bakat untuk iklan komersial dan filem sehingga terpilih untuk berlakon dalam Ratu The Movie,” katanya.

Gadis berasal dari Johor ini, pernah menyandang gelaran Miss India Tourism 2007/2008, malah pernah tersenarai sebagai finalis Miss Malaysia India Global 2008/ 2009.

Namun begitu, gadis muda ini tidak pernah bergantung kepada kecantikannya semata-mata sebagai pakej utama menjadi artis.

“Wajah dan rupa paras hanyalah bonus untuk berada dalam industri ini. Selebihnya adalah ilmu dan usaha keras kita untuk kekal berada dan mencapai sesuatu sebagai penghargaan diri.

“Saya sudah memilih untuk berada dalam dunia hiburan. Jadi saya tidak akan menoleh ke belakang lagi,” katanya.

Jelas Bkay dia kini bakal membintangi dua buah filem arahan A Razak Mohideen iaitu Bujang Terlajak dan Raya Tak Jadi. Selain dua siri drama Gerak Khas.

Ditanya sejauh mana dia ingin melangkah dalam industri ini, Bkay memberitahu dia hanya mengharap masyarakat menerima kehadiran artis bukan Melayu sepertinya.

“Saya hanya ingin buat yang terbaik dan berharap agar diterima oleh industri dan masyarakat.

“Bagi bidang lakonan saya yakin pakej fasih berbahasa Malaysia dan mempunyai wajah anak mami membolehkan saya membawa watak wanita Melayu,” katanya.

Ditanya tentang kefasihan berbahasa Malaysia, Bkay berkata sejak kanak-kanak, dia membesar dalam kelompok masyarakat Melayu. Malah bapanya juga merupakan kakitangan kerajaan dan banyak bergaul dengan orang Melayu.

“Saya juga bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kulai, Johor yang mana pelajarnya semua Melayu. Justeru, saya sudah terbiasa dengan budaya dan adat Melayu.

“Selain itu, kawasan tempat tinggal kami juga kebanyakannya Melayu, jadi saya sudah biasa dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: