Sunday, April 3, 2011

Beku tonton bola sepak

GEDUNG TERSOHOR...pelancong pasti tidak melepaskan peluang berbelanja di pusat beli-belah Harrods.
GEDUNG TERSOHOR...pelancong pasti tidak melepaskan peluang berbelanja di pusat beli-belah Harrods.

HASRAT mengunjungi kota London, ibu negara Britain atau United Kingdom, sememangnya sudah lama tersemat di hati. Kota raya yang menjadi nadi ekonomi dunia itu sebenarnya sentiasa menggamit kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

Bandar raya yang dikatakan tidak pernah tidur itu menjadi magnet kepada semua golongan manusia, daripada 'kaki shopping' hinggalah golongan korporat dan pelabur antarabangsa.


Saat yang ditunggu-tunggu untuk menjejakkan kaki di kota bersejarah itu akhirnya tiba apabila penulis diberi kesempatan mengiringi rombongan pemenang Samsung Chelsea Football Contest yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-21 Senheng Electricals Sdn Bhd (Senheng), akhir Februari lalu.


  • Foto

    MEGAH...pintu masuk stadium West Ham United di Upton Park.

  • Foto

    TUMPUAN PELANCONG... London Bridge yang merentangi Sungai Thames.

  • Foto

    MIMPI JADI NYATA...penulis mengadakan 'sidang akhbar' di Stadium Chelsea, London.

  • Foto

    PELUANG KEEMASAN... dapat pengalaman menyaksikan perlawanan West Ham United bertemu Liverpool.

Malah, kesempatan yang boleh diibaratkan bagai pucuk dicita ulam mendatang itu lebih bermakna kerana penulis bukan saja berpeluang mengunjungi kota raya London yang tersohor itu, tetapi juga duduk sebangku dengan peminat bola sepak tempatan di dalam Stadium West Ham United di Upton Park, Newham, timur London.


Dalam stadium berkapasiti 40,000 penonton itu, penulis berpeluang menyaksikan secara langsung perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) antara West Ham yang melayan kunjungan pasukan terkemuka Inggeris, Liverpool. Keputusan perlawanan pada 27 Februari itu agak mengejutkan apabila Liverpool dibelasah West Ham 3-1.


Pada perlawanan tengah hari berkenaan, penulis bersama 45 ahli rombongan yang ditaja Senheng dan Samsung menyaksikan dengan mata kepala sendiri betapa fanatiknya peminat bola sepak England sehingga sanggup meredah cuaca menghampiri paras beku semata-mata mahu memberikan sokongan padu kepada pasukan pilihan masing-masing.

Terdahulu pada hari pertama menjejakkan kaki di bumi London, penulis bersama anggota rombongan dibawa menjelajah ke Stadium Chelsea FC menerusi program 'Stadium Tour' yang turut membawa pengunjung ke bilik persalinan pemain Chelsea.


Mengikut program asal, ahli rombongan sepatutnya menyaksikan pertembungan antara Chelsea menentang Birmingham City, namun perlawanan itu dibatalkan pada saat akhir tanpa diketahui puncanya.Namun kepuasan tetap terpancar pada wajah setiap ahli rombongan yang juga peminat Chelsea bersama pasangan masing-masing selepas berpeluang bergambar bersama jersi 'ori' yang digantung dalam bilik persalinan bintang pasukan itu, selain menyaksikan kehebatan West Ham membelasah bintang Liverpool.


London bukan destinasi asing buat pelancong dari negara kita, malah ada di antara ahli rombongan kami menyatakan mereka beberapa kali mengunjungi kota wisata penuh bersejarah ini.


Malah, pemandu pelancong berbangsa Inggeris yang mengiringi kami memberitahu, ada di kalangan pelancong Malaysia sebenarnya lebih mengenali London berbanding penduduk kota raya itu sendiri.


London mempunyai sekitar 7.2 juta penduduk pelbagai bangsa dan kumpulan etnik. Satu perempat penduduknya dikatakan bukan keturunan Anglo-Saxon. Berdasarkan perangkaan terbaru, hampir dua juta penghuni kota London berasal dari pelbagai negara di seluruh dunia.


Difahamkan, pelancongan adalah industri kedua terpenting London dengan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun.


Angka tidak rasmi menyatakan, kira-kira 28 juta pelancong membanjiri London setiap tahun dan sekitar 40 peratus daripada jumlah itu adalah pelancong luar negara.


Terlalu banyak tempat serta aktiviti menarik yang disaji oleh kota raya London kepada pelancong. Bagi yang gemar membeli-belah, Oxford Street pasti tidak terlepas daripada aturcara lawatan.


Jalan Oxford sepanjang dua kilometer itu menjadi syurga buat pelancong yang ingin berbelanja, maka tidak hairan ia sentiasa padat dengan manusia dari pagi hingga malam.


Di kota Londonlah terletak gedung beli-belah paling tersohor dunia seperti Harrods, Selfridges, Marks and Spencer dan Woolworths yang tidak putus-putus melayan kunjungan orang ramai.


Ketika penulis tiba di London, musim dingin sudah di penghujungnya, jadi banyak toko dan gedung mula mengadakan jualan murah untuk menghabiskan stok musim sejuk.


Pelancong juga pasti tidak mahu melepaskan peluang mengunjungi objek pelancongan penting lain seperti Istana Buckingham, muzium patung lilin Madame Tussauds, menara jam besar Big Ben, The Tower of London dan Tower Bridge yang merentangi Sungai Thames.


London kini giat mempromosikan Sukan Olimpik musim panas yang bakal diadakan pada 2012. Pelbagai persiapan infrastruktur rancak dilaksanakan.


Kompleks Olimpik Park London 2012 yang terletak kira-kira sejam perjalanan dengan bas dari pusat kota London kini turut menjadi antara agenda itenari lawatan pelancong walaupun pembinaannya belum mencecah 50 peratus.


London sememangnya bertuah kerana diminati pelancong dari segenap pelusuk dunia kerana keindahan alam semulajadinya serta beratus-ratus binaan bersejarah, namun 21 pasangan yang ditaja Senheng dan Samsung pastinya lebih bertuah kerana berpeluang melancong ke satu daripada destinasi impian pelancong di seluruh dunia itu. Terima kasih Senheng!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: