|
|
DI kota sebesar Beijing pelawat mempunyai banyak pilihan untuk menghabiskan percutian. Bagi yang melawat buat kali pertama, pemilihan destinasi mungkin antara perkara paling sukar ditentukan.
Bandar raya Beijing atau Peking yang bermula lebih daripada 3,000 tahun merupakan pusat tamadun manusia antara yang tertua di dunia. Berikut adalah sebahagian daripada destinasi utama yang paling dikunjungi pelancong di Beijing.
Forbidden City
Salah satu daripada pilihan yang wajib dikunjungi jika melawat ibu negara China adalah Forbidden City (Kota Larangan) yang terletak di tengah-tengah pusat sejarah Beijing.
Kota lama yang dikelilingi tembok setinggi 10 meter itu dibina antara tahun 1406 hingga 1420 pernah menjadi kediaman maharaja Dinasti Ming dan Qing. Di dalamnya terdapat 9,999 bilik yang menjadi penginapan pegawai kerajaan, pekerja dan gundik maharaja.
Forbidden City dibuka setiap hari daripada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Jika masuk melalui Gerbang Meridien, pelawat dinasihatkan mendapatkan peta bagi memudahkan perjalanan di kawasan seluas 720,000 meter persegi itu.
Selain peta, pelawat juga boleh mendapat khidmat penunjuk arah yang boleh bertutur di dalam bahasa Inggeris dengan bayaran 40RMB.
Setiap tahun, kota yang dibina dengan jutaan tenaga manusia dan ribuan artis ini menerima kunjungan sekurang-kurangnya lapan juta pelancong melalui kedua-dua pintu utama di sebelah utara dan selatan.
Dataran Tiananmen
Tidak jauh dari Forbidden City, pelawat boleh meneruskan kunjungan ke dataran bersejarah rakyat China yang dibina pada zaman Dinasti Ming (1415). Lapangan perhimpunan umum yang terletak di tengah bandar Beijing ini merupakan dataran terbesar di dunia dengan keluasan 440,000 meter persegi.
Dataran Tiananmen menempatkan Dewan Peringatan Mao, Muzium Revolusi China, Muzium Sejarah China, Menara Pintu Gerbang Heavenly Peace, Menara Gerbang Zhengyang dan Taman Zhongshan. Dataran yang mendapat nama daripada Gerbang Tiananmen itu adalah tempat berlangsungnya upacara-upacara terbesar anjuran kerajaan.
Tembok Besar Mutianyu
Terletak di Huairou kira-kira 70 kilometer timur laut Beijing, tembok Mutianyu berdiri sebahagian daripada Tembok Besar China yang paling terpelihara sehingga kini.
Tembok setinggi tujuh hingga lapan meter itu menempatkan 22 menara tinjau yang diposisi pada setiap satu kilometer.
Laluan selebar lima meternya pula menyajikan pemandangan hutan dan beberapa aliran jeram.
Tembok utara yang bersambung dengan Jiankou di bahagian barat dan Lianhuachi di sebelah timur itu menjadi antara pertahanan terpenting kota Beijing dan turut menempatkan makam-makan diraja.
Tembok Besar China sepanjang 6,400 kilometer bermula di Gentian Shanhaiguan di Hebei merentasi banjaran tinggi ke Teluk Bohai di timur negara itu.
Fragrant Hill
Taman Fragrant Hills merupakan satu lagi destinasi tumpuan pelancong di Beijing kerana himpunan pokok-pokok maple yang menjadikan kawasan berbukit itu dilitupi 'aura merah' setiap kali musim luruh.
Kawasan yang dipenuhi dengan lebih 28,000 spesies pokok termasuk lebih 200 pokok-pokok purba itu adalah lokasi terbaik bagi yang ingin mendekati keharmonian alam semula jadi selepas kepenatan menjelajah bandar.
Setiap tahun bermula pada pertengahan Oktober hingga awal November, taman bukit dengan ketinggian 557 meter yang dibina pada 1186 di zaman Dinasti Jin itu akan padat dengan pengunjung sempena penganjuran Festival Daun Merah.
Untuk menikmati pemandangan terbaik di taman seluas 395 ekar, pelancong boleh memilih sama ada menaiki kereta kabel atau secara trekking.
Dari puncak, pelawat disajikan Sungai Yongding yang berliku seperti helaian sutera, Jambatan Marco Polo, Gunung Shijing, Istana Musim Panas dan Gunung Jade Spring. Bagi yang bernasib baik, pemandangan tanpa kabus mempamerkan panorama bandar Beijing yang terletak kira-kira 30 kilometer dari situ.
Wangfujing
Salah satu daripada perkara yang tidak boleh dilepaskan oleh pengunjung semasa berada di Beijng semestinya peluang untuk membeli-belah. Kota yang dihuni oleh lebih 22 juta penduduk itu boleh diibaratkan syurga bagi yang ingin memuaskan nafsu berbelanja.
Jalan Wangfujiang di daerah Dongcheng di sebelah timur Dataran Tiananmen misalnya membariskan premis jualan berprestij dan gerai-gerai jualan berharga sederhana.
Pusat perniagaan yang bermula sejak dari Dinasti Ming itu kini dipenuhi pasar raya mewah seperti Plaza Oriental (Dongfang Guangchang) dan Plaza Sun Dong An yang mengetengahkan barangan berjenama dan berkualiti tinggi.
Pada sebelah malamnya, pelawat yang bertandang ke kawasan ini (pasar malam) boleh mencuba kepelbagaian makanan eksotik yang tidak boleh didapati di kebanyakan restoran.
Opera
Satu lagi tarikan di kota yang diiktiraf antara enam kota paling purba di dunia itu adalah persembahan opera yang merupakan salah satu daripada seni kebudayaan terhebat tamadun China.
Bagi kebanyakan orang, melawat Beijing boleh dianggap tidak lengkap tanpa menonton opera.
Tayangan yang bermula pada sebelah petang biasanya berterusan sehingga tengah malam dengan menggabungkan lakonan, nyanyian dengan muzik tradisional, dialog, pergerakan badan, akrobatik dan pertarungan yang cukup mengasyikkan.
Selain destinasi dan peluang yang diceritakan di sini, sebenarnya banyak lagi tarikan menarik yang boleh dinikmati pelancong sekiranya berkunjung ke Beijing, semuanya bergantung kepada cita rasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: