Saturday, April 2, 2011

Ada cerita tersendiri

ZARIDA...sentuhan hiasan pada gelang Pandora bawa makna tersendiri untuk si pemakai.
ZARIDA...sentuhan hiasan pada gelang Pandora bawa makna tersendiri untuk si pemakai.

JENAMA barang kemas antarabangsa, dari Eropah pula. Ia kedengaran agak mahal namun mereka yang sudah mengenali jenama Pandora memang mudah jatuh cinta.

Bukan saja jatuh cinta pada deretan koleksinya yang cukup pelbagai, malah peragaan harganya yang rata-rata mampu dimiliki kebanyakan kita.


  • Foto

    KECIL ANGGUN...antara reka bentuk butiran hiasan termasuk reka bentuk mahkota.

  • Foto

    DIBAWA KE MANA SAJA...warna-warni menambah seri penampilan.

  • Foto

    MEMPESONA...untuk mereka yang gemarkan emas.

  • Foto

    CANTIK...barang kemas daripada perak tidak kurang cantiknya.

Apa tidaknya, barang kemas Pandora terutama gelang tangan daripada koleksi Moments yang juga aksesori paling terkenalnya boleh ‘dicipta’ sendiri.

Selepas memperoleh bahagian asas iaitu gelang yang terdiri daripada perak atau kulit, keseluruhan gelang kemudian diisi dengan pilihan butiran hiasan kecil yang tampil dalam pelbagai reka bentuk cukup unik dan menarik.


“Saya sendiri gemarkan butiran hiasan dengan reka bentuk kek cawan. Bagi saya, kombinasi perak dan emas pada hiasan itu sesuai digayakan untuk pelbagai acara,” kata Pengarah Eksekutif Habib Jewels Franchise Sdn Bhd, Datin Zarida Noordin.


Berbicara dengan penuh minat dan rasa teruja, Zarida membawa perhatian penulis pada reka bentuk kecil yang boleh dipasang pada gelang seperti bentuk hati, mahkota, ikan, bunga dan kasut.

“Istimewanya, setiap butiran itu mungkin membawa sesuatu maksud kepada si pemakai, justeru, gelang itu tidak sekadar hiasan sebaliknya sesuatu yang ada cerita tersendiri dan sangat dekat di hati.

“Setiap gelang pula dibahagikan kepada tiga bahagian yang setiap bahagian boleh dimuatkan dengan butiran hiasan kecil itu mengikut cita rasa masing-masing. Ia begitu peribadi lantas tiada sesiapa akan memakai gelang serupa,” katanya.

Ada lebih daripada 800 jenis butiran hiasan kecil disediakan menerusi rekaan berkualiti tinggi yang dihasilkan daripada perak, emas dan batuan berharga itu.

Pilihannya yang warna-warni tampak menarik untuk wanita dalam pelbagai peringkat usia, sama ada si kecil mahupun dewasa. Selain gelang tangan, ia turut mengetengahkan himpunan cincin, anting-anting dan rantai.

Pandora, jenama barang kemas nombor dua di dunia bermula di Copenhagen, Denmark, pada 1982 hasil usaha sepasang suami isteri yang menjadikannya terkenal di Eropah.

Ia kemudian dibawa ke Australia oleh seorang wanita Denmark dan meraih nama di sana. Begitu juga di Amerika Syarikat (AS) yang turut diperkenalkan warga Denmark yang mengembangkan lagi sayap perniagaannya dan kini, jenama terbabit berada di lebih 40 negara.

“Ketika mengembara ke luar negara, saya lihat jenama ini memang menarik dan berbeza. Ketika satu persidangan di Amerika Syarikat, ramai yang memperkatakan barang kemas jenama ini yang mampu bertahan meskipun ketika krisis ekonomi di AS.

“Kami kemudian menghubungi Pandora awal tahun lalu dan secara kebetulan, syarikat berkenaan merancang untuk mengembangkan perniagaannya di Asia termasuk Malaysia,” katanya.

Ruang pameran Pandora pertama di negara ini dibuka pada 30 September 2010
di pusat beli-belah Bangsar Village II, diikuti dengan pembukaan di Empire Shopping Gallery pada bulan berikutnya.

Kedua-dua ruang pameran ini menempatkan rangkaian aksesori Pandora paling besar manakala bilik pameran lain sehingga kini berada di Ampang Point, Suria KLCC dan Pavilion Kuala Lumpur.

Menjelang akhir tahun ini, dijangka ada dua atau tiga lagi bilik pameran barang kemas itu bakal menjengah pasaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: