Monday, April 18, 2011

78 pelesit rempit ditahan


SEBAHAGIAN daripada motosikal dan pemiliknya yang ditahan dalam operasi di sekitar bandar Seremban semalam.


SEREMBAN - Kira-kira 100 pelesit rempit yang sedang asyik menunjukkan aksi masing-masing di sekitar bandar ini bertempiaran lari apabila diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi awal pagi kelmarin.

Dalam operasi kira-kira pukul 2 pagi itu, kumpulan pelesit rempit berkenaan menunjukkan pelbagai aksi berani seperti 'superman' di atas jalan raya sebelum lokasi berkenaan digempur pihak berkuasa.

Beberapa pelesit rempit juga bertindak berani apabila cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal melawan arus bagi menggelak ditahan.

Bagaimanapun, sebanyak 78 motosikal berjaya ditahan dan diperiksa sebelum dikenakan pelbagai tindakan atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, sebanyak 53 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos dan enjin.

Katanya, empat buah motosikal juga disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana membuat pengubahsuaian haram.

"Serbuan itu dilancarkan selepas kita mendapati beberapa lokasi di bandar ini mula menjadi tumpuan pelesit rempit berlumba dan mempamerkan aksi-aksi berbahaya.

"Kita juga telah membuat risikan sejak beberapa minggu lalu di lokasi-lokasi yang dikenal pasti ini sebelum melancarkan operasi," katanya di sini semalam.

Ujarnya, mereka yang ditahan dan diperiksa dalam operasi berkenaan berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 20-an.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: