PESERTA perlu mendapat bimbingan dari segi mendapatkan idea, menyusun dan mempersembahkan idea berkenaan dalam Gelanggang Raja Lawak. |
Cadang bimbing calon dalam perkara asas sebelum berlawak
ADA sesuatu yang masih terbuku dalam diri juri profesional program realiti Raja Lawak musim ketiga, Zaibo. Sepanjang pengamatannya sehingga episod kelima yang berlangsung Jumaat lalu, dia mendapati masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki oleh setiap peserta.
Sambil menyifatkan kebanyakan peserta masih belum mampu menguasai teknik menyampaikan lawak dengan berkesan, cadang Zaibo, setiap peserta perlu diberi bimbingan terutama dalam perkara asas sebelum membuat lawak jenaka.
“Daripada pemerhatian saya setakat ini persembahan peserta masih lagi berada pada tahap sederhana. Kalau musim terdahulu kita boleh nampak siapa yang menonjol dan siapa yang tidak, kali ini kita tak tahu sehinggalah mereka tampil membuat persembahan pada malam itu.
“Melihat keadaan ini saya dapati kebanyakan peserta masih mempunyai masalah dari segi penyampaian. Mungkin disebabkan teknik penyampaian untuk menghiburkan penonton kurang berkesan. Perkara ini juga mungkin disebabkan kurang bimbingan dari segi asas untuk menjadi seorang penghibur,” tegas Zaibo ketika ditemui sejurus selepas program Gelanggang Raja Lawak musim ketiga yang berlangsung di Studio 1, Astro Jumaat lalu, berakhir.
Katanya, untuk menjadi seorang pelawak yang berjaya, mereka perlu ada tiga perkara ini sebagai asas sebelum membuat sebarang persembahan.
MANBELON tidak kecewa walaupun tersingkir. |
“Sebagai pelawak mereka perlu ditekankan dengan proses bagaimana mencari bahan untuk persembahan bermula daripada mencari idea, menyusun bahan dan bagaimana cara yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu bahan itu.
“Berdasarkan apa yang diberikan pihak penerbitan setakat ini bukanlah tidak mencukupi sebagai contoh dengan membawa personaliti di akademi mereka dan memberikan panduan serta tips berguna cuma perkara itu masih belum memadai.
"Setakat ini program ini hanya mengeksploitasi bakat peserta seratus peratus dan mencungkil kemampuan setakat yang mereka ada. Itu saja,” luahnya.
Mengulas persembahan kesemua peserta secara keseluruhannya, Zaibo berkata setakat ini dia melihat peserta berkumpulan lebih menonjol berbanding peserta solo.
“Bagaimanapun, kebanyakan peserta masih belum konsisten dalam persembahan mereka setiap minggu.
Begitupun, saya tidak mengharapkan persembahan mereka menyerlah awal kerana bimbang peserta ketandusan idea pada masa akan datang.
“Saya lihat kebanyakan mereka lebih banyak berusaha untuk bersaing dengan peserta lain. Sepatutnya mereka kena bersaing dengan diri mereka terlebih dulu kerana dengan cara itulah mereka dapat memperbaiki mutu persembahan mereka,” katanya.
Ditanya apakah peserta wanita mampu bertahan dalam program itu memandangkan kedudukan mereka sentiasa goyah walaupun mempamerkan persembahan bermutu, Zaibo berkata perkara itu sebenarnya banyak bergantung kepada undian SMS.
“Kebanyakan pengundi adalah golongan wanita yang mengundi lelaki. Dan kalau kita lihat menerusi program realiti Akademi Fantasia misalnya, peserta wanita jarang mendapat undian seperti peserta lelaki.
“Bagaimanapun, saya akui persembahan peserta wanita memang hebat dan saya harap ada di antara mereka berjaya ke peringkat akhir. Jika tidak ia apasti mengecewakan saya,” ujar Zaibo lagi.
Giliran Man Belon tersingkir
APA yang dinyatakan Zaibo nyata bukanlah sesuatu yang direka-reka kerana peserta yang tersingkir minggu lalu, Manbelon mengakui sebagai peserta dia menghadapi masalah dalam menyampaikan bahan.
“Kebolehan setiap peserta memang berbeza-beza dan saya akui agak sukar untuk mendapatkan idea, menyusun dan menyampaikannya supaya menjadi sesuatu yang melucukan.
“Jadi saya harap selepas ini, pihak Astro dapat memberikan pendedahan dalam tiga asas ini supaya lawak yang dihasilkan bukan lawak merapu atau bodoh seperti yang didakwa ramai,”luah Manbelon atau nama sebenarnya Sutarmin Tukichan.
Melakonkan watak Pontianak yang ditiru daripada filem Pontianak Harum Sundal Malam, Manbelon berkata penyingkirannya itu memang sudah dijangka.
“Saya akur dengan keputusan penonton dan saya akui persembahan saya kurang mantap malam ini. Pun begitu saya tidak kecewa kerana sekurang-kurangnya saya menimba banyak pengalaman serta mempelajari banyak benda baru untuk saya gunakan dalam persembahan saya di luar selepas ini,” ujarnya yang akan kembali menjual belon selepas ini.
Selain Zaibo, turut menilai persembahan peserta untuk minggu kelima yang bertemakan tiru watak filem ialah Fauziah Nawi, Shamsul Ghau Ghau dan Ahmad Idham sebagai juri jemputan.
Dengan penyingkiran Manbelon bermakna tinggal tujuh peserta bersaing merebut tempat ke pusingan akhir antaranya Am, Mohammad Amirullah Azmi (Amir) manakala peserta wanita, Jihan dan Rafizzan Yaacob (Yann). Sementara berkumpulan Sepah, LNJ manakala Chot dianggotai Hazmeer Hassan dan Muhd Shaiful Bakri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: