Sunday, February 1, 2009

Tini & Sol tunggu hari bahagia

Seorang selebriti terkenal, seorang lagi bekerja di belakang tabir sahaja. Kerana dia selebriti, sudah pasti ini akan menjadi tumpuan apabila mahu mendirikan rumah tangga. Sudah pasti sedikit sebanyak akan terkena tempias populariti pasangannya itu.

Itulah hakikat yang terpaksa ditempuhi penyampai radio Hot FM, Kartini Kamalul Arifin dan pasangannya Nursulhi Jasmin (Sol) yang bakal mendirikan rumah tangga Februari ini.

Mereka mahu cerita perkahwinan ini agar tidak disiarkan terlalu awal sebelum hari bahagia menjelang kerana bimbang berlaku perkara yang buruk nanti.

Bukan mudah mengorek cerita daripada Sol kerana dia bukanlah selebriti popular seperti Tini yang sudah biasa berhadapan dengan media. Namun ia tidak menjadi penghalang kepada pengurus acara Hot FM ini untuk terus bercerita mengenai bakal isteri popularnya.

Mereka yang bakal dinikahkan di Dewan Perdana Felda 22 Februari ini. Majlis resepsi juga diadakan selepas majlis pernikahan bertemakan tradisional dengan rona merah hati, warna kegemaran Tini.

Pada saat usia semakin menginjak dewasa, mungkin sudah tiba masa untuk pasangan ini membina mahligai impian mengikut jejak langkah yang lain. Sudah pasti satu lagi fasa kehidupan bakal dilalui mereka yang pastinya akan mematangkan mereka.

l Buat persiapan sendiri

Sudah pasti setiap pasangan mengharapkan agar perkahwinan yang bakal mereka bina akan bergemerlapan dan menjadi hari yang paling diingati dalam hidup. Bukan mahu menandingi sesiapa, tetapi cukuplah jika ia meninggalkan kenangan manis kepada keluarga dan peminat.

Menurut Tini, untuk majlis resepsi bagi pihaknya, boleh dikatakan hampir semua persediaan dilakukan oleh kaum keluarganya terutama ibunya.

"Bukan Tini tak percayakan pada perunding perkahwinan, tapi ahli keluarga sendiri yang mahu terlibat sama dalam perkahwinan ini. Jadi, tidak ada salahnya untuk Tini dan keluarga sama-sama berganding bahu.

"Boleh dikatakan keseluruhan persiapan termasuklah bunga telur dan hiasan dalam dewan akan dibuat sendiri. Ia akan memberikan lebih kepuasan kepada Tini," ujar bekas pengacara 3R ini.

Jika kebanyakan artis lain sanggup ke luar negara semata-mata untuk membeli persiapan perkahwinan, lain pula ceritanya bagi pasangan ini. Kebanyakan keperluan boleh didapati di negara sendiri.

"Tak praktikal rasanya semata-mata mahu ke luar negara bagi mendapatkan barang-barang perkahwinan." kata Tini.

l Sol lelaki yang baik

Lewat petang berbicara mengenai pasangan ini, Tini mengatakan rasa kagumnya bila mendapat 'petunjuk' untuk bersuamikan Sol sebagai pilihan hati. Jelasnya, Sol bukanlah seorang lelaki yang romantik tetapi lebih praktikal. Sikap praktikal yang ditunjukkan oleh Sol selama inilah yang membuatkan Tini lebih menghargai hubungan tersebut.

"Keserasian antara kami memang wujud sejak mula-mula menjalinkan hubungan lagi. Tini seorang yang lasak dan tidak mempunyai karakter yang agak kuat.

"Jika menghadapi sebarang masalah atau dilanda kesedihan, Sol pandai memujuk dan memberikan nasihat kepada Tini. Sikap itulah yang benar-benar membuatkan Tini 'cair' dan mahu menjadi suri hidup Sol.

"Paling mencabar apabila melalui episod percintaan jarak jauh. Apa tidaknya, Tini menyambung belajar di London, manakala Sol pula di Malaysia.

"Kami hanya berhubung melalui e-mel dan hanya sesekali menelefon. Apa tidaknya, pada waktu itu baru Tini rasakan bahawa masa yang ada bersama memang terhad dan cukup Tini hargainya.

"Kalau ada bersama sudah pasti banyak perkara yang dapat dikongsikan bersama-sama. Tapi pada waktu itu Sol bukanlah orang pertama yang tahu apa sahaja perkara yang berlaku pada Tini," katanya pemilik Ijazah Kewartawanan dari Universiti of London.

Bila memasuki alam perkahwinan nanti, kata Tini tidak banyak perkara yang bakal berubah dalam hidupnya. Dahulu hanya dia keseorangan menghadapi suka dan duka, tetapi akan datang dia sudah punya pasangan yang bakal mendengar setiap kisah yang berlaku dan sama-sama menghadapinya.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa perkahwinan adalah penamat segala- galanya. Tini pula optimis bahawa perkahwinan adalah satu permulaan kepada kehidupan yang sebenar. Tidak banyak perkara yang akan berubah jelasnya.

Apa yang penting, dia mahu perkahwinan ini bakal mematangkannya dan menjadikannya lebih baik berbanding sebelumnya.

l Keluarga terkejut

Bagi Sol pula, saat yang paling sukar dilupakan apabila membawa Tini berjumpa dengan keluarganya di Kota Tinggi, Johor. Bukan kerana keluarganya tidak merestui, tetapi hampir kesemua ahli keluarganya terkejut dengan bakal isterinya, seorang selebriti terkenal.

"Memang saya merahsiakannya daripada pengetahuan ahli keluarga yang lain. Tetapi, akhirnya saya terpaksa memberi tahu juga apabila hubungan menjadi semakin serius. Setakat ini keluarga saya dapat menerimanya dan gembira dengan perkahwinan ini.

"Bagi saya, Tini seorang yang suka dimanjakan. Sikapnya yang berterus terang juga memang saya senangi," ujar anak kelahiran Johor ini.

Adatlah menjadi orang popular, sudah pasti menjadi tumpuan peminat. Sol juga tidak terkecuali terkena tempiasnya. Bagi Sol, dia sudah bersedia menghadapi semuanya asalkan ia tidak menjejaskan kehidupan mereka.

Sol juga tidak akan menghadkan aktiviti seni Tini selagi dia pandai untuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga serta menjaga batas-batas sebagai seorang isteri nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: