Thursday, February 5, 2009

Terima segala kritikan - Nabil


NABIL RAJA LAWAK.


FILEM berjudul Sifu & Tongga arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen yang mempertaruhkan Saiful Apek dan juara Raja Lawak Astro musim kedua, Nabil sudah mula menemui penonton di pawagam sejak 29 Januari lalu.

Berkisar tentang telatah lucu Sifu, lakonan Saiful Apek dan Tongga (Nabil) yang pertama kali memasuki ibu kota Kuala Lumpur selepas bertahun-tahun 'terperap' dalam gua. Kemunculan Nabil di layar perak memang ditunggu-tunggu kalangan peminatnya.

Masakan tidak, ini adalah filem lakonan Nabil yang pertama ditayangkan.

Sifu & Tongga memulakan latar cerita tentang perkampungan suku Watson yang menyembunyikan diri dalam gua di hutan selepas melarikan diri daripada kekejaman tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Kisah Mila (Fouziah Gous), anak kepada ketua suku Watson (Piee), dilarikan Tammy (Erra Fazira) yang mahu menjadikannya sebagai bahan rencana membuatkan Sifu dan Tongga bertindak menyelesaikan misteri kehilangan Mila.

Bermula detik itu, atas bantuan Sifu yang mampu berkomunikasi dengan alam ghaib, mereka kemudiannya bertindak keluar dari kepompong untuk mencari Mila.

Namun, sebagai filem pertama lakonannya yang ditayangkan di pawagam, Nabil sememangnya tidak lari daripada menerima apa jua kritikan.

Di pihaknya sahaja, kritikan-kritikan yang didengari antaranya mempersoalkan elemen lawak pembawaan Nabil serta lakonannya yang dikatakan kurang mantap.

Memberi maklum balas terhadap segala kritikan tersebut, Nabil bagaimanapun menganggapnya sebagai sesuatu yang lumrah.

"Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Manusia memang suka mengkritik. Filem luar yang menelan belanja besar dan pelakon ternama Hollywood pun dikritik juga.

"Kebolehan manusia ada tahap-tahapnya yang tersendiri. Begitu juga saya. Kita tidak mampu memuaskan hati semua orang,'' katanya saat dihubungi Hits, baru-baru ini.

Selain Nabil, Saiful Apek, Fouziah Gous, Erra Fazira dan Piee, Sifu & Tongga turut membariskan pelakon seperti Azad Jazmin, Datuk Jalaluddin Hassan, Along Charm Raja Lawak, Rozita Che Wan, Shamsul Ghau Ghau, Jaafar Onn, Din Beramboi, Ruminah Sidek, Nana AF dan Iqram Dinzly.

Menyambung bicara, Nabil berkata, sebagai pendatang baru, dirinya bersedia menerima apa jua kritikan yang pasti akan dijadikan panduan untuk kelangsungan penglibatan seninya selepas ini.

"Kalau dapat komen tidak bagus, ini adalah masanya untuk menilai sejauh mana kemampuan kita.

"Tetapi, bagi saya, yang penting adalah kepuasan dan enjoy dengan apa jua yang dilakukan,'' tambahnya.

Ditanya tentang perkembangan terbaru mengenai dirinya, Nabil memberitahu bahawa dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Momok The Movie dan Kecoh Betul.

"Selain terlibat sebagai pengacara Ewah Ewah bersama Kak Engku (Raja Azura), saya turut menjadi hos rancangan Studio Nabil di TV9.

"Saya juga baru menerima tawaran untuk berlakon dalam filem Mantera,'' ujarnya.

Tidak kisah kahwin sesama artis

Dalam pada itu, Hits tidak ketinggalan bertanyakan tentang kisah Nabil yang dikatakan mempunyai hubungan dengan pelakon Irma Hasmie.

Ringkas menjawab persoalan tersebut, Nabil menjelaskan hubungannya bersama Irma hanyalah sekadar kawan.

Diajukan soalan sama ada dirinya sudah bersedia untuk berkahwin sesama artis, Nabil berkata : "Saya masih belum bersedia untuk kahwin. Tapi kalau ada jodoh sesama artis, apa salahnya. Mereka juga adalah manusia.'

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: