|
|
SEMUA orang sedia maklum, personaliti popular tanah air, Aznil Nawawi merupakan antara penerima pingat kebesaran sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-35 pada 2 Februari lalu.
Beliau dianugerahkan bintang Johan Mahkota Wilayah yang disampaikan oleh Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada majlis yang berlangsung di Balai Rong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur.
Lalu, apabila Aznil menyiarkan nota syukurnya kepada Ilahi serta rakaman terima kasih kepada peminat-peminatnya di atas penganugerahan itu dalam blog peribadinya, banyak komen positif yang diterima Aznil atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil.
Sebilangan besar komen yang disiarkan dalam aznilnawawi.blogspot.com mendoakan Aznil agar lebih berjaya dalam kerjaya yang diceburinya.
Namun, antara komen yang lebih menyentuh perasaan sudah tentu yang mengingatkan Aznil agar sentiasa menjaga nama baik, reputasi dan terus mengekalkan kecemerlangan dalam berkarya.
Harapan mereka Aznil akan terus mengekalkan imej yang mesra serta tidak meninggi diri selain mendoakan anak seni kelahiran Kuala Lumpur itu dijauhi oleh segala anasir-anasir yang cuba menjatuhkan nama baiknya.
Kepada Aznil, Hits ajukan persoalan mengenai maklum balas positif yang diterima daripada peminat-peminatnya.
Menurut penyampai stesen radio popular Era itu, segala doa dan harapan yang diluahkan peminat-peminatnya itu akan menjadi bekalan dan panduan buatnya untuk mengharungi cabaran pada masa depan.
"Saya sedar tanggungjawab menjadi semakin besar, apa lagi selepas menerima pengiktirafan sebegini, saya harus bijak menjaga hati dan perasaan dan menghormati pihak yang memberi anugerah ini.
"Kepada saya secara peribadi, anugerah ini bermakna saya memikul kepercayaan dan amanah yang sangat besar.
"Justeru, saya akan terus berhati-hati dan berikrar akan melakukan kerja dengan sebaik yang mungkin," janji Aznil kepada seluruh anggota masyarakat.
Berkongsi saat-sat manis apabila menerima surat memaklumkan penerimaan pingat kebesaran itu, kata Aznil, dia begitu terharu.
"Semua ini rezeki yang telah ditentukan oleh Allah. Saya terlalu bersyukur dan gembira sebaik dimaklumkan mengenai penganugerahan bintang daripada kerajaan sempena sambutan Hari Wilayah.
"Ini bermakna, saya harus bekerja lebih keras untuk terus berbakti kepada negara tercinta dan bidang seni yang sangat saya sayangi ini," kata Aznil yang sentiasa berkongsi kegembiraan dengan seluruh ahli keluarga yang disifatkannya sebagai tulang belakang kejayaannya.
Apa yang lebih bermakna buat Aznil juga, selaku anak jati Kuala Lumpur, personaliti berusia 47 tahun itu akan terus bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menjadikan tempat tumpah darahnya itu lebih maju dan setanding dengan kota metropolitan dunia.
Sekali lagi janji Aznil buat seluruh anggota masyarakat, anugerah yang diberikan oleh kerajaan akan menjadi penyuntik semangat beliau dan rakan-rakan artis yang lain untuk terus melakukan tugas yang diamanahkan dengan ikhlas.
"Tidak pernah sekelumit di hati ini terfikir untuk diiktiraf sedemikian rupa oleh kerajaan dan Yang Di Pertuan Agong.
"Berada dalam Balai Rong Seri, Istana Negara itu sahaja sudah bagai mimpi jadi kenyataan bagi saya, apa lagi bersalaman dan dikalungkan bintang oleh Yang di-Petuan Agong," kata Aznil dalam nota penghargaan yang disiarkan dalam blognya itu.
Kepada penyokong-penyokongnya, Aznil merakamkan terima kasih yang tidak terhingga sekali gus mengharapkan semangat dan doa akan terus mengiringinya sepanjang berjuang di dalam industri hiburan tanah air.
Kata Aznil juga, dia mahu terus disayangi dan menyayangi semua orang.
"Disayangi dan menyayangi merupakan sifat yang sungguh murni dalam hidup. Saya sentiasa berdoa kepada Allah agar saya disenangi dan disayangi oleh semua orang," jelas Aznil yang juga terkenal sebagai seorang pelakon dan penyanyi.
Menurut bekas pengacara Akademi Fantasia itu lagi, ketika ini, dia mahu menjadi individu yang lebih bertanggungjawab terhadap usaha memupuk kasih sayang sesama insan.
"Saya harap, tugas yang sama dipikul oleh seluruh rakyat Malaysia yang lain. Kita harus memiliki rasa kasih dan cinta sesama insan.
"Bila kita disayangi, ia bermakna kita disenangi dan keakraban itu akan menjadikan kehidupan kita lebih bermakna," katanya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: