Saturday, February 21, 2009

RM10 juta berbaloi - Rodzee


BERGANDINGAN... Hairul dan Mazlina sebagai pasangan suami isteri.


KEBANYAKAN kos pembikinan filem-filem tempatan yang dihasilkan adalah kurang daripada RM3 juta.

Namun, lain pula dengan filem epik yang berkisarkan perjuangan pahlawan terbilang Tanah Melayu, Pahlawan Mat Kilau yang dianggarkan bakal menelan belanja RM10 juta.

Filem terbitan Lagenda Studios Sdn. Bhd. ini, adalah filem kedua negara yang membabitkan kos yang besar selain filem epik terbitan Infiniti Production Sdn. Bhd., iaitu Puteri Gunung Ledang yang menelan belanja kira-kira hampir RM20 juta.

“Kalau orang kata perbelanjaan RM10 juta membazir, bagi saya jawapannya tidak. Anggaran perbelanjaan bagi filem ini tidak besar memandangkan kita perlu membina semula set bagi empat buah kampung dan juga lima babak peperangan yang melibatkan lebih 300 orang.

“Selain penyediaan set latar belakang, 20 peratus filem ini meliputi teknik janaan komputer (CGI) terutamanya dalam membantu babak peperangan.

“Kita kalau boleh mahukan kesempurnaan, dengan kreativiti yang ada kita perlukan ketelitian dan ketelitian itulah yang memerlukan kos yang tinggi kerana memakan masa yang lama,” kata Rodzee ketika majlis pelancaran filem tersebut di Finas, Hulu Kelang baru-baru ini.

Filem yang bakal memulakan penggambaran sekitar April ini dijadualkan memakan masa produksi selama 90 hari di sekitar Bota, Perak dan Pahang.

Memberanikan diri menghasilkan filem yang mahal, penerbit dan juga pengarah filem itu, Rodzee A. Razak tidak gentar sekiranya Mat Kilau turut menerima nasib sama seperti Puteri Gunung Ledang apabila pulangannya tidak mampu menimbal semula kos yang telah dilaburkan.

“Saya mahu buat sesuatu yang boleh membantu memberi pendidikan dan pengetahuan kepada orang ramai. Melalui filem bercorak sejarah sebeginilah masyarakat boleh mengetahui tentang sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan kita dahulu.

“Saya yakin jika filem ini digarap sebaiknya dan dibuat dengan teliti ia bukan sahaja mampu menaikkan nama filem ini tetapi juga barisan para pelakonnya yang masih belum dikenali.

“Jika filem ini tidak memperoleh keuntungan, bagi saya tak apa asalkan pulang modal pun sudah memadai,” kata Rodzee penuh optimis.

Pada majlis yang disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia , Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu, watak utama yang memegang peranan sebagai Mat Kilau, Mohd. Hairul Nizam Ibrahim, 25, diperkenalkan.

Turut diperkenalkan ialah watak Yang Chik iaitu isteri kepada Mat Kilau, Mazlina Omar, 26.

Barisan pelakon ternama lain turut menjayakan filem tersebut termasuklah Sabree Fadzil, Shahrudin Thamby, Khir Rahman, Badrul Muhayat, Roslan Salleh dan Serina Redzuawan.

Bercerita tentang pemilihan watak Mat Kilau, Rodzee memberitahu segala kriteria yang diperlukan untuk memegang watak tersebut hampir dilengkapi oleh Hairul Nizam.

Berperwatakan menarik, tinggi, handal dalam ilmu persilatan, kuat beragama, bersikap adil serta menyayangi keluarga adalah antara syarat yang berjaya menawan hati pihaknya meletakkan Mohd. Hairul Nizam sebagai hero filem tersebut.

“Hairul bukan sahaja pandai bersilat, tetapi juga berpendidikan. Dia mempunyai pakej yang paling hampir dengan Mat Kilau,” jelas Rozdee yang melakukan kajian selama dua tahun tentang sejarah perjuangan dan latar belakang keluarga Mat Kilau.

Mengenali ‘Mat Kilau’

Tiada sebarang pengalaman beraksi di hadapan lensa kamera bukan kekangan buat anak muda ini mencuba nasib dalam bidang lakonan.

Percaya terhadap bakat dan ilmu persilatan yang ada, jurulatih Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia ini memberanikan diri hadir ke lokasi uji bakat yang diadakan di Restoran Saloma tidak lama dahulu rupa-rupanya memberi satu lembaran baru buatnya apabila terpilih sebagai pelakon utama.

“Saya sebelum ini memang tidak pernah berlakon. Saya cuba mengetengahkan kriteria dan ilmu persilatan yang saya tahu.

“Ketika ke uji bakat, saya berempat termasuk guru silat serta dua rakan perempuan berjaya terpilih untuk berlakon dalam filem ini. Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk melakonkan watak utama.

“Filem ini mengisahkan sejarah dan perjuangan tokoh terdahulu sebab itu saya rasa ingin mencuba. Kalau diberi peluang saya nak tunjukkan ilmu persilatan dan mahu menjadi ikon persilatan negara,” katanya.

Seperti Hairul yang menerima latihan vokal dan lakonan setiap hari yang disediakan oleh Lagenda Studios Sdn. Bhd., pasangannya yang menjayakan watak Yang Chik iaitu Mazlina Omar turut menerima latihan yang serupa.

“Dalam filem ini saya tidak bersilat, tetapi sebagai isteri kepada Mat Kilau, peranan saya ialah sentiasa memberi sokongan kepada suami. Di sebalik kelembutan Yang Chik sebagai isteri, dia seorang yang tegas,” katanya.

1 comment:

  1. Haaa 10juta, Harap kualiti filem juga setanding dgn perbelanjaannya. Pelakon2 yg berpengalaman spt Sabree Fadzil, Shahrudin Thamby, Khir Rahman, Badrul Muhayat, Roslan Salleh dan Serina Redzuawan Harapnya juga akan meninggalkan kesan yg mendalam pada hati para penonton. Lama tak nampak Sabree Fadzil berlakon, his come back bagus la.Org yg punya bakat2 besar & byk pengalaman mcm ini yg harus di contohi. Bukan sekadar yg mengejar glamer semata2. All da best!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: