Saturday, February 21, 2009

Siapa juara My Starz LG 2?


EMPAT finalis My Starz LG yang akan berentap di pentas akhir 22 Februari ini (dari kiri) Nashrin, Wana, Hairi dan Cassie.


BERMINGGU sudah berlalu, program realiti televisyen popular di TV3, My Starz LG musim kedua bakal melabuhkan tirainya esok (22 Februari) dengan menampilkan empat finalis berbakat, Wana, Nashrin, Hairi dan Cassie.

Bertarung di pentas akhir, juara akan membawa pulang wang tunai RM10,000, keperluan rumah tajaan LG serta kontrak rakaman bersama label rekod ternama, Warner Music.

Disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menerusi TV3 pada pukul 9 malam, konsert akhir mensyaratkan finalis menyanyikan dua buah lagu iaitu secara solo dengan genre pilihan masing-masing dan berduet bersama penyanyi popular tanah air.

Untuk itu, Wana akan berduet bersama Jamal Abdillah, Cassie (Sarah Raisuddin) Nashrin (Misha Omar) manakala Hairi yang serasi dengan genre rock memilih Fiq sebagai pasangan duetnya.

Bagi nyanyian secara solo, Wana memilih lagu Ku Pendam Sebuah Duka nyanyian Khadijah Ibrahim dan Ku T’lah Jatuh Cinta (Agnes Monica).

Anak muda berasal dari Pulau Pinang, Nashrin pula akan mengalunkan lagu Kaulah Segalanya nyanyian Hazrul Nizam dan Si Gadis Ayu (Black Dog Bone). Manakala Hairi pula akan menyanyikan Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain) dan Kau Yang Bernama Seri (Handy Black).

Memilih lagu Langit Ke Tujuh nyanyian Sharifah Zarina, Cassie turut mempertaruhkan vokalnya dengan nyanyian lagu Ku Mahu (Siti Nurhaliza).

Mengimbas kembali perjalanan My Starz LG musim kedua, seramai 12 peserta telah tersenarai untuk beraksi melontarkan kehebatan vokal masing-masing bagi merebut gelaran juara.

Dengan penyingkiran demi penyingkiran yang dilakukan saban minggu bermula Oktober lalu, sepanjang berada di My Starz, kesemua mereka telah menerima tunjuk ajar dan nasihat daripada mentor yang dilantik.

Pasukan mentor terdiri daripada Lah Ahmad selaku guru vokal, Syaiful Baharim (perunding imej) serta Raimee Salleh (koreografer).

Mohamad Azri Abdullah menjadi peserta terakhir yang disingkirkan di konsert ke-11 minggu lalu dan penyingkiran itu memberi laluan kepada Wana, Nashrin, Hairi dan Cassie untuk bersaing di konsert akhir.

Di konsert akhir, format pemarkahan bergantung kepada keputusan juri iaitu sebanyak 70 peratus manakala selebihnya terletak di tangan penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Juri tetap pada malam tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah Hattan dan Liza Hanim manakala Ajai selaku juri jemputan.

Menariknya, selain menyaksikan kehebatan finalis, artis ternama turut dijemput untuk mengadakan persembahan seperti Mawi, Faizal Tahir dan Rossa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: