Saturday, February 21, 2009

Nash Bukan niat hina isteri




SETELAH turun naik mahkamah hampir dua tahun dek pergolakan rumah tangganya dengan pengasas produk kecantikan terkenal Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya, air mata jantannya berderai jua.

Vokalis kumpulan Lefthanded, Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, dilihat tidak mampu menahan sebak sebaik mendengar keputusan yang dibuat Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad, di Mahkamah Tinggi Shah Alam , Khamis lalu.

Mahkamah telah membenarkan Nash menggunakan wang dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) dan hartanah yang bernilai sebanyak RM880,000 yang didaftarkan di atas namanya, setelah mereka disahkan masih lagi pasangan suami isteri pada 12 November lalu.

Keputusan itu secara automatik telah membatalkan perintah injunksi yang diperoleh secara ex-parte (sebelah pihak) oleh isterinya yang sebelum ini menghalang Nash daripada melakukan sebarang transaksi dan pindah milik semua harta di atas.

Pelbagai persoalan yang timbul sepanjang kes rumah tangga pasangan ini berlangsung. Sungguhpun, Nash telah memperoleh pembatalan injunksi, tetapi khabarnya hubungannya dengan isteri belum ada kesudahan. Hubungan mereka semakin memburuk seolah-olah tidak mampu diselamatkan lagi ekoran pelbagai insiden yang terjadi akhir-akhir ini.

Malah, pada 2 Januari lalu isterinya telah memfailkan permohonan cerai secara taklik dan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur telah menetapkan tarikh 8 April depan untuk mendengar perbicaraan kes tersebut.

Kosmo! cuba membongkar apa yang tersembunyi di sebalik hati Nash berhubung dengan keputusan mahkamah, kelmarin. Ketika ditemubual, Nash tidak banyak bercakap malah sering menjawab dengan kata-kata 'no comment' kepada beberapa soalan. Barangkali berdiam diri itu lebih baik kepada penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu. Ikuti temu bual antara Kosmo! dan Nash semalam iaitu sehari selepas keputusan itu diumumkan.

Apa perasaan Nash sekarang setelah mahkamah membatalkan injunksi tersebut?

Saya bersyukur dengan apa yang terjadi. Bermacam dugaan yang Allah berikan pada saya dan saya amat menghargainya. Saya juga berharap semuanya akan berjalan dengan baik selepas ini.

Apa maksud Nash 'semuanya akan berjalan dengan baik'? Apakah hubungan kalian akan diselamatkan?

Maksud saya, saya berharap tidak ada lagi hal-hal yang seperti ini. Saya harap benda ini tidak akan diperbesarkan lagi.


BAHAGIA hanya seketika meskipun perkahwinan mereka berlandaskan cinta.


Saya simpati bila ada pendapat ramai mengatakan Nash berkahwin atas dasar harta semata-mata, komen Nash sendiri bagaimana?

Allah Maha Besar. Mulut orang saya tidak boleh tutup. Biarlah!

Selepas ini bagaimana hubungan kalian?

Kalau boleh saya tidak mahu komen.

Apakah ini bermakna masalah dengan isteri akan diselesaikan?

Hubungan saya dengannya macam biasa, tidak ada apa-apa masalah. Kami masih lagi sah sebagai suami isteri.

Tetapi Watie telah membuat permohonan untuk cerai taklik?

Bab cerai itu kita sama-sama tunggu di mahkamah. Cuma saya harap, doakan yang terbaik buat saya.

Adakah kes pergolakan rumah tangga ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap hidup Nash sebagai seorang selebriti?

Kesannya memang banyak kerana perkara ini saya telah menimba banyak pengalaman dan bersyukur. Ia membuatkan saya lebih matang dan berhati-hati dengan apa saja yang mendatang. Sebenarnya ia satu pengajaran dalam kehidupan dan saya amat bersyukur.

Dalam keluaran Kosmo! semalam, Nash ada menyebut supaya Watie menjadi seorang isteri yang beriman dan solehah. Boleh huraikan?

Sebenarnya apa yang saya katakan bukan menuding kepada sesiapa atau kepada dia. Saya katakan pada semua wanita bergelar isteri supaya jadilah isteri yang solehah. Sebab itu saya tidak menyebut nama sesiapa ketika membuat kenyataan tersebut. Saya tidak menghina sesiapa.

Sekali lagi, agak-agaknya ke mana arah hubungan rumah tangga Nash dan dia selepas ini?

Saya tidak boleh berkata banyak. Apa yang boleh saya cakap saya harap kita sama-sama doa yang terbaik.


NASH tidak mahu bercakap banyak tentang isu rumah tangganya yang kini bagaikan ‘telur di hujung tanduk’.


Saya tak kalah – Watie

DALAM pada itu, Kosmo! mendapatkan pula kenyataan isteri Nash, Sosilawati Lawiya supaya isu perihal rumah tangga mereka ini dibaca secara lebih seimbang. Watie ketika ditemubual kedengaran cukup pasrah dengan keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah itu.

Nash menitiskan air mata di mahkamah selepas dia menang kes, apa perasaan Watie melihat suami menangis?

Ini bukan hukuman gantung, saya tidak faham kenapa dia perlu menangis. Keputusan mahkamah Khamis lalu bukannya bermakna saya kalah atau dia menang. Perintah injunksi yang dibuat semasa kes pengesahan lafaz terbatal dengan sendirinya, kerana kami masih lagi sah sebagai suami isteri.

Selepas menang kes, Nash ada menasihatkan supaya Watie menjadi isteri solehah, bersediakah?

Memang saya berkahwin dengan dia pun sebab nak cari suami soleh dan beriman, yang boleh membimbing saya menjadi seorang isteri yang solehah. Tetapi nampaknya dia yang selalu ceritakan keburukan saya. Ini maknanya dia juga telah menjatuhkan maruah dirinya sendiri sebab tak dapat mendidik isteri dia menjadi solehah. Mana ada perempuan yang tak hendak jadi wanita solehah, tetapi suami pun perlu fikir untuk jadi suami yang soleh juga.

Apa tindakan Watie seterusnya?

Saya sudah memohon cerai taklik dan dalam minggu depan saya membuat permohonan perintah injunksi yang baru dan kali ini nilainya telah bertambah.


BAGI Watie, masih ada ruang untuk Nash membaiki kecelaruan rumah tangga mereka.


Berapa?

Duit ASB RM200,000, ASW RM200,000, rumah RM480,000 dan Public Mutual RM500,000.

Atas dasar apa Watie mahu membuat permohonan terbaru ini?

Itu duit hasil perniagaan saya, dia kenalah pulangkan balik kerana saya ada semua bukti. Salah ke saya nak menuntut hak saya kembali?

Nash tidak banyak komen bila ditanya mengenai hubungan kalian, bagi Watie sendiri, masihkah ada harapan?

Hubungan kami sudah tidak ada apa-apa lagi. Kami bukan macam suami isteri lain. Dia pun tidak cari saya dan tidak ajak saya balik ke rumahnya.

Kata Nash juga, sebagai isteri Watie yang sepatutnya pulang ke rumah dia,bukan suami yang kena ikut isteri. Kenapa tak buat macam itu?

Saya pernah cakap hendak datang ke rumah dia sebelum kes dibawa ke mahkamah. Tetapi dia jawab, kalau saya datang dia akan keluar dari rumah. Dia pun tak pernah 'memujuk' saya untuk balik ke rumah dia. Mana tempat yang dia sediakan untuk saya sebagai isteri? Jadi saya nak buat macam mana lagi sebab dia sendiri tidak pernah berusaha untuk jernihkan semula hubungan kami.

Apa perasaan Watie apabila kisah rumah tangga mendapat liputan meluas media?

Malu! Saya malu sangat terutamanya dengan anak-anak. Kasihan mereka kerana suami selalu cakap yang buruk tentang saya di media. Saya tidak pernah pun mengaibkan dia kerana saya masih hormat sebagai suami. Sepatutnya dia pun kenalah jaga maruah saya sebagai isterinya. Sabar setiap orang ada hadnya. Kalau saya seorang yang angkuh dan sombong, saya tak akan bantu dan percaya dengan mudah kepada dia.

Ada pihak yang mengatakan Watie berkahwin kerana ingin tumpang populariti Nash supaya melariskan lagi perniagaan, betul ke?

Saya ikhlas berkahwin dengannya. Memang saya cintakan dia masa tu sebab nampak dia lelaki beriman dan boleh bimbing hidup saya. Tentang tumpang populariti rasanya tak timbul sebab sebelum kahwin, produk dan perniagaan saya juga sudah stabil. Saya terima dia sebagai jodoh tetapi tidak sangka jadi begini pula.

Orang keliru, kenapa Watie memohon cerai taklik, tiada ada jalan yang lebih baikkah?

Sebagai isteri, kalau suami tidak pulang ke rumah selama tiga bulan, dan mengeluarkan semua duit hasil titik peluh saya, haruskah saya berdiam? Saya berhak untuk menuntut cerai apabila rasa perkahwinan ini tidak bahagia. Selama ini pun dia tidak memberi kasih sayang, masa dan perhatian terhadap saya. Lagipun sepanjang kes kami berlangsung, dia memburukkan saya. Kalau saya ini buruk sangat pada pandangannya kenapa tidak dilepaskan saja, kenapa mengantung saya tidak bertali?

Ditakdirkan jika Nash mahu kembali, bagaimana?

Saya masih isterinya, cerai di tangannya. Kalau dia minta saya kembali, saya terima dengan hati yang terbuka. Tetapi kalau saya ini bukan lagi isteri pilihannya, lebih baik kami berpisah. Dan saya juga berharap dia bertemu dengan jodoh yang diidamkan.

Menyesal atau tidak bergelar isteri kepada orang popular macam Nash?

Saya tidak pernah menyesal, saya anggap dia jodoh saya. Cuma hingga sekarang saya tidak tahu apa yang dia hendak? Ikhlaskah dia berkahwin dengan saya?

Adakah kes ini menjejaskan reputasi Watie sebagai ahli perniagaan dan seorang ibu?

Kalau perniagaan tidak ada apa-apa masalah, semuanya berjalan seperti biasa. Cuma anak-anak yang turut menanggung malu. Saya harap kami masih boleh berbincang secara baik. Saya sedia memberikan dia ruang dan peluang.

Mungkin Watie ada nasihat untuk wanita di luar sana?

Saya ingin menasihatkan supaya wanita memilih suami bukan dari luaran saja tetapi nilai dari segi hati, kejujuran, keikhlasan. Kalau sayang macam mana pun, perlu beringat dan berhati-hati. Mungkin saya salah sebab meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: